Friday, 20 July 2012

Manusia Adalah Musafir Yang Fakir

ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN

..hakikat insan apabila ia bermusafir berjauhan dengan keluarga dan sahabat karib di kampung halaman, memberi kesan kepada pergantungannya kepada Rabb yang Meciptakan langit dan bumi. Keheningan malam seorang musafir mencari bekal di perantauan lebih sepi dirasainya. Itulah naluri yang diajar oleh Baginda Nabi SAW agar ummatnya senentiasa merasakan diri ini seperti musafir yang berjauhan dengan pergantungan makhluk agar pergantungan dan tawakkalnya kepada Rabbnya semakin hari semakin penuh dan bermakna buatnya.

Daripada Ibn 'Umar r.'anhuma beliau berkata, Rasulullah SAW pernah memegang kedua bahuku lalu bersabda, "Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir" Ibn Umar berkata, "Jika engkau berada di petang hari jangan menunggu datangnya pagi dan jika engkau berada pada waktu pagi hari jangan menunggu datangnya petang. Pergunakanlah masa sehatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati."(HR Bukhari)
Masa seorang musafir yang berpijak di tempat orang, tidak seperti masa seorang yang hidup bersama keluarganya meniti hari bersama yang tersayang disekeliling. Seorang musafir masanya terkejar-kejar mengisi aktiviti mencari bekal tujuan dirinya bermusafir. Apabila bekalnya sudah cukup dan tujuannya sudah selesai di perantauan, sang musafir akan kembali ke tempat asalnya yang senentasia bermain-main dibenaknya ketika diperantauan.

 gambar saya bermusafir ke pulau pinang, singgah di masjid terapung.

Demikian insan, berasal daripada tempat yang sangat indah tidak terbanding indahnya iaitu syurga. Maka hakikat insan adalah musafir yang hadir di dunia diperantauan mencari bekal kembali ke "kampung" halamannya yang telah jauh ditinggalkan. Sangat indah perkataan Ibn Qayyim r.h ketika menyebutkan bahawa kerinduan, kecintaan dan harapan seorang muslim kepada syurga adalah kerana syurga merupakan tempat tinggalnya semula. Seorang muslim sekarang adalah tawanan musuh-musuhnya dan diusir dari negeri asalnya kerana iblis telah menawan bapak kita, Adam a.s dan dia melihat, apakah dia akan dikembalikan ke tempat asalnya atau tidak. Oleh kerana itu, alangkah bagusnya perkataan seorang penyair:

"Palingkan hatimu pada apa saja yang kau cintai,
Tidaklah kecintaan itu kecuali pada cinta pertamamu,
Iaitu Allah jalla wa 'ala,
Berapa banyak tempat tinggal di bumi yang ditempati seseorang,
Dan selamanya kerinduannya hanya pada tempat tinggalnya yang semula,
Iaitu syurga."


Maka Ibn 'Umar r.'anhuma memberi nasihat yang sangat tinggi nilainya, bahawa beliau r.'anhuma menyatakan hidup insan ini senentiasa perlu berwaspada akan kematian yang tidak pasti lewat dan awalnya. Maka seorang musafir, selesaikanlah tugasnya sebelum terlewat mendapat bekal yang diidamkan untuk dibawa pulang ke "kampung" halaman.

Wallahu a'lam.

Allamdulillaahilladzi bi ni'matihi tatimmush shoolihaat..

No comments:

Post a Comment