ABU FAROOQ NIK MUHAMMAD
Alhamdulillah segala puji-pujian milikNya jua. Nikmat
yang Allah berikan kepada kita tidak dapat dihitung, bahkan terlalu banyak.
Kita akan menjadi manusia yang tidak berterima kasih
kepada Tuhan, jika asyik mempertikai dan menyoal setiap sudut yang kita tidak
miliki. Karenah ini bukan sahaja tidak mensyukuri nikmat Tuhan, bahkan hilang
kemuliaan diri terhadap sesama manusia.
Syukur bukanlah sekadar lafaz dibibir “Aku bersyukur..”,
atau “Alhamdulillah..” lebih pada itu, sekiranya syukur dengan harta yang
diberi, berbelanja pada jalanNya dan pada jalan-jalan yang diredhaiNya.
Syukur dengan anggota badan yang sempurna, dengan
menggerakkan anggota badan untuk mentaati perintahNya, samada laranganNya atau
suruhanNya.
Konsep syukur yang salah bukan sahaja merosakkan manusia
lain dengan durjana-durjana yang dilakukan, lebih parah diri terasa sudah
banyak bersyukur.
Nikmat
Kembara menuntut ilmu merupakan sebuah nikmat bagi saya
pada ketika ini. Saya sebenarnya tidak pernah terfikir ia menjadi sebuah nikmat
buat saya, Allah SWT merezeqikan nikmat pada hamba-hambaNya dengan jalan yang
pelbagai.
Saya pernah coretkan dilapangan ini beberapa ketika yang
lalu bekenaan kembara saya ke Darul Hadith, Kelantan. Banyak perkara yang saya
pelajari disitu, berupa pengajian ilmu Islam secara langsung khususnya ilmu
bahasa ‘arab dan fiqh al-hadith.
Penuntut ilmu
Ada dalam kalangan rakan-rakan di laman sosial saya
bertanya saya melalui ruang bual peribadi soalan-soalan berkaitan hadith dan
lain-lain lagi. Ada juga yang gelar saya dengan gelaran “ustaz”. Sekiranya
kalimah “ustaz” itu adalah predikat untuk seseorang yang menguasi banyak
ilmu-ilmu Islam, maka saya tidak layak untuk itu. Saya penuntut ilmu.
Ada juga yang memuliakan saya dengan gelaran “tuan”. Saya
hanya penuntut ilmu dan saudara pada kaum muslimin seluruhnya.
Saya hanya memiliki sedikit kelebihan ilmu, dan ini
adalah semata-mata peluang belajar yang Allah kurniakan kepada saya. Ikhlaskah
saya menuntut ilmu? Soalan ini saya sendiri tidak mampu menjawabnya sebaliknya
mohon doa semua agar Allah mengikhlaskan kita dalam segala amal baik kita.
Aku ingin kembara lagi
Saya ingin kembara lagi. Dengan izin dan kurnianya, saya
ingin kembara ke Madrasah(pondok) Darul Uloom, Jerteh, Terangganu pada malam
ini untuk bersama dalam Daurah Tafsir al-Quran bersama ilmuan dalam bidang
tafsir al-Quran yang tidak ramai yang mengenali beliau iaitu Maulana Abdul
Hadi, mudir kepada madrasah tersebut. Mohon doa para pembaca yang dikasihi buat
saya agar dapat menamatkan pengajian selama 40hari disitu lengkap tafsir 30juz
al-Quran.
Bagi
sesiapa yang belum mengenali al-Fadhil Maulana Abdul Hadi, beliau boleh diumpamakan sebagai permata di dasar laut yang walaupun
alim(berilmu) tetapi tidak dikenali ramai. Beliau adalah kelahiran
madrasah Binori Town Karachi, Pakistan. Beliau telah memberi
perhatian yang besar kepada ilmu tafsir sejak menjadi pelajar lagi.
Tidak hairanlah sekembalinya ke tanah air beliau telah
menghidupkan program pengajian kilat tafsir yang dinamakan sebagai Daurah
Tafsir. Silsilah ilmu tafsir yang diperolehi oleh beliau ialah menerusi
turutan berikut:
Mufti Muhammad, Syeikh Abdul Ghani (juga bapanya),
Syeikh Ghulamullah, Syeikh Husain Ali al-Wani, Syeikh Muhammad Mazhar
(pengasas madrasah Mazahir Uloom Saharanpur) dan Syeikh Rashid Ahmad Gangohi
(salah seorang penaung madrasah Darul Uloom Deoband). Guru beliau Mufti Muhammd
bin Abd Ghani tinggal di Rahimankhan, Rawalpendi.
Manhaj(metodologi) yang digunakan oleh Maulana
Abdul Hadi dalam pengajaran tafsir adalah berasal daripada Maulana Husin Ali
al-Wani yang merupakan sahabat kepada Maulana Yahya iaitu ayah kepada Maulana
Zakaria Kandahlawi.(lihat : http://basooir.com/lesson/daurah-tafsir-maulana-abdul-hadi/)
Sebenarnya saya pernah buat lawatan ke Madrasah Darul
Uloom itu bersama rakan-rakan seperjuangan semasa belajar di Darul Hadith
al-Nabawi, Kelantan tidak lama dahulu. Ketika itu saya melihat beliau adalah
seorang yang mesra, ucapannya jelas, dan nasihatnya membekas.
Gambar Maulana Abdul Hadi yang
sempat saya ambil ketika mendengar nasihat daripada beliau.
Pada ketika itu saya telahpun terdetik dibenak ini untuk hadir
sekali lagi di madrasah beliau bukan untuk ziarah, tetapi untuk “menadah” kitab
dengan beliau. Alhamdulillah, Allah SWT Maha Kaya, merezeqikan kepada saya
detik yang diidamkan ketika itu kurang daripada sehari sahaja lagi. Sekali lagi
saya mohon doa para pembaca yang dikasihi agar Allah membetulkan niat-niat kita
dalam kebaikan.
ini kawasan belajar di Madrasah Darul Uloom tersebut. Beliau mengekalkan sistem dan suasana belajar sebagaimana di pusat-pusat pengajian hadith di India dan Pakistan.
Kata ahli hadith, "ilmu tidak dapat diperolehi dengan badan yang manja".
Sungguh, aku ingin kembara lagi.


Assalamualaikum warahmatullah..
ReplyDeleteAnta ikuti daurah tafsir di pondok Maulana Abdul Hadi tahun berapa..?