Sunday, 7 October 2012

Menyambut Semangat Pendakwah Facebook

ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN

Dewasa ini, sistem telekomunikasi semakin pesat berkembang dalam pelbagai cara dan alat. Sistem telekomunisakasi kini juga sudah menjadi satu medium dalam penyampaian pelbagai maklumat. Perubahan fasa kehidupan ini sangat memberi kelainan pada generasi kini kerana setiap maklumat dapat disebarkan dan diterima dengan pantas tanpa sempadan ( world without boundary ) daripada beberapa agensi media sesebuah negara khususnya. Hal ini sangat bermanfaat bagi manusia umumnya dan bagi seorang muslim yang mukmin khususnya apabila dikaitkan dengan tuntutan menyampaikan ajaran agama Allah ‘Azza wa Jalla (iaitu Islam). Seperti yang diamanatkan oleh Nabi junjungan Muhammad SAW didalam sebuah hadith mafhumnya,

“..sampaikanlah dari ku (olehmu), walaupun satu ayat..” (HR Bukhari no.3461)

Firman Allah SWT mafhumnya :
“siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah,mengerjakan amal soleh dan berkata;’sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.’” ~ Surah Fushilat,33

Seorang Muslim itu yang beriman dengan kerasulan seorang insan yang bernama Muhammad bin Abdillah semestinya mengambil bahagian dalam misi dakwah kerana telah diamanatkan kepada kita daripada Baginda SAW yang telah meninggalkan kita 1400 tahun dahulu. Rasulullah SAW meninggalkan dua perkara yang paling penting dalam penyebaran agama Allah SWT iaitu sumber utamanya adalah Al-Kitab(Quran) dan Sunnah Baginda SAW. Itulah hujjah! Islam ditegakkan dengan hujjah Al-Kitab dan Sunnah Nabi SAW yang sudah lengkap apabila wafatnya Baginda SAW. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT didalam surah al-Maa’idah,

“..pada hari ini telah Ku sempurkan bagi kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan nikmatKu kepadamu, dan telah Ku redhai Islam sebagai agamamu..”~al-Maa’idah,3

Tiadalah seorang muslim yang mukmin itu meragui atau mengakui bahawa Islam masih perlu ditokok tambah ataupun diubah caranya (selain cara Nabi SAW) melainkan dikhawatiri  aqidahnya akan rosak. Kita mohon agar dilindungi oleh Allah SWT daripada hal begitu.

Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy r.a, Nabi SAW bersabda (mafhumnya), “agama itu nasihat. Kami(para sahabat r.a) bertanya, ‘Untuk siapa?’ Baginda SAW menjawab, ‘untuk Allah, dan Kitab-Nya, dan Rasul-Nya, dan para pemimpin kaum muslimin, dan bagi manusia umumnya.’” (HR Ahmad no.16982,Muslim no.55, dan Abu Daud no.4944)

Menurut Imam Nawawi rhm, ‘nasihat itu wajib sekadar yang mampu dengan syarat seorang itu mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima,suruhannya akan dipatuhi dan dirinya tidak terancam.’


Disiplin Ilmu dalam penyebaran Hujah Islam.

Walaupun penyebaran atau dakwah Islam disebarkan melalui media (Internet khususnya) ia tidak juga terlepas daripada disiplin ilmu dakwah. Setiap penyebaran al-Quran dan Hadith mestilah melalui proses disiplin ilmu yang betul. Hal ini yang paling penting dalam penyebaran hujjah(dalil) Islam kerana setiap yang dimafhumkan atas al-Quran dan Hadith akan menjadi pegangan orang mukmin dalam segala aspek kehidupan seseorangnya. Kerana itu, seorang pendakwah(da’i) wajib mengetahui disiplin ilmu ini dan tidak memandang enteng serta mengamalkannya ketika berhujjah dan menyampaikannya.

Niat
Seorang pendakwah(da’i) perlulah meluruskan dan memurnikan niat dalam penyebaran hujah Islam iaitu hanya kerana menginginkan keredhaan Allah SWT  melalui cara yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Hal ini demikian kerana, setiap amal soleh yang telah sempurna sifatnya itu dinilai disisi Allah SWT berdasarkan niat seseorang. Nabi SAW telah memberatkan hal ini kepada para sahabat r.’anhum ajma’in khususnya dan kepada seluruh umatnya umumnya melalui sebuah hadith sahih yg sangat masyhur dalam kalangan ahli ilmu mahupun penuntut ilmu, iaitu mafhumnya :

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsah,Umar Bin al-Khattab r.a berkata,’aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap(insan) akan mendapat(pahala) apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya,dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau wanita yang ingin dinikahinya,maka hijrahnya(mendapat) atas apa yang diniatkannya.” (HR Bukhari no1. Muslim no.1907,Abu Daud no.2201,al-Tirmidzi no.1646 dan dlm riwayat selainnya)

Al-Kitab(Al-Quran)
Al-Quran[1] adalah salah satu daripada dua sumber utama hujah(dalil) Islam dalam berdakwah iaitu Al-Quran dan Hadith Nabi SAW. Al-Quran diturunkan melalui malaikat Jibril a.s dalam bentuk sebutan ayat-ayat didalam bahasa ‘arab. Firman Allah SWT mafhumnya :

“kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu,diturunkan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui” ~ Surah Al-Fushilat 41:3

Walaupun demikian,didalam surah ali-‘Imran ayat yang ke-7 Allah SWT  berfirman mafhumnya :

“Dialah(Allah) yang menurunkan al-Kitab(Quran) kepada kamu. Di antara (ayat)nya ada ayat-ayat yang muhkamat[2],itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain(ayat-ayat) mutasyabihat[3].....”[4]  Maka dapat disimpulkan bahawa al-Quran mengandungi ayat-ayat yang muhkamat dan mutasyabihat yang setiapnya memiliki maksud samada secara muhkam(jelas) ataupun secara mutasyabih(samar/pelbagai tafsiran). Dikaitkan kepada pendakwah atau penyebar hujah Islam yang ini melalui media internet khususnya iaitu melalui tulisan, hendaklah pendakwah itu mengenal pasti apakah jenis ayat itu sebelum di sampaikan. Jika ayat itu adalah yang mutasyabih maka hendaklah dilakukan rujukan demi rujukan melaului kitab-kitab tafsir ulama’ salaf as-soleh supaya maksudnya berada dalam konteks yang betul.

Hadith atau Sunnah Nabi SAW
Hadith[5] juga tergolong dalam sumber hujah yang utama didalam Islam  setelah al-Quran. Disebalik kitab-kitab Hadith yang ada pada zaman ini, para Muhaddithin[6] sebelumnya telah melalui satu bidang ilmu Hadith yang sangat merumitkan iaitu bidang ilmu Musthalahul-Hadith[7]. Inilah disiplin ilmu yang telah ditempuh oleh Muhaddithin sebelum mereka mengeluarkan martabat/kedudukan kepada sesebuah hadith, dengan penilaian sanad(rantaian pelapor/rawi) dan matan(teks) sesebuah hadith. Sebagai contoh pelbagai martabat/kedudukan sesebuah hadith iaitu sahih, hasan, dan dha’if(lemah). Adapun hadith maudhu’(palsu), hakikatnya ia bukan lah hadith. Hanya disebut “hadith” kerana merujuk kepada pereka atau pemalsu hadith itu. Sama situasinya jika kita mengatakan wang palsu, hakikat wang palsu bukan wang, namun ia disebut “wang” merujuk kepada pereka wang itu. Maka sebagai seorang yang ingin menyebarkan hadith Nabi SAW hendaklah serba sedikit mengetahui kedudukan/martabat sesebuah hadith sebelum disebarkan kerana hal ini sangat penting sebelum disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. 

 
kitab Mustolah al-Hadith yang ringkas, ditulis oleh Syeikh Ibn Soleh al-Utsaimin, diterjemah dalam bahasa Indonesia.



Jika sandaran kepada Nabi SAW perkara yang maudhu’(palsu), haram hukumnya meriwayatkan hadith yang maudhu’(palsu) dan haram menyandarkan sesuatu hadith kepada Nabi SAW tanpa membuat kepastian. Hadith palsu atau dikenali sebagai hadtih maudhu’ adalah haram untuk dibaca di depan khalayak ramai melainkan diterangkan kepalsuannya.[8] Didalam sebuah hadith Nabi SAW bersabda mafhumnya :

“Sesungguhnya berdusta ke atasku(menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain(nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja,maka siaplah tempatnya dalam neraka.”[9]  Hadith ini hadith mutawatir.[10]

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) tentang hadith ini; ianya merangkumi setiap pendusta keatas Nabi SAW dan semua jenis pendustaan ke atas Baginda SAW.[11]

Oleh itu setiap hadith yang di ambil dari mana-mana sumber khususnya daripada laman sesawang sebelum disebarkan hendaklah meniliti martabat hadith itu  terlebih dahulu. Dimanakah kedudukan kita di akhirat kelak jika kita memandang enteng tentang hal yang disankarkan kepada Nabi SAW yang telah menyebabkan kita sering menyebarkan hadith palsu?

“jadilah kamu ketika menyeru manusia seperti pokok buah-buahan;mereka membalingnya dengan batu dan dia mengugurkan buah kepada mereka"


[1] Kata-kata Allah SWT
[2] Ayat-ayat yang jelas,tegas dan mudah difahami.
[3] Ayat-ayat yang mengandungi beberapa pengertian dan tidak dapat ditentukan pengertian mana yang dimaksudkan kecuali setelah diselidik secara mendalam;atau ayat-ayat yang pengertiannya hanya Allah yang mengetahui seperti ayat-ayat yang berhubung dengan perkara yang ghaib,misalnya ayat-ayat mengenai hari kiamat,syurga,neraka dan lain-lain(sifat Allah).
[4] Rujuk Terjemahan al-Hidayah Al-Quran Karim,Rasm Uthmani,Surah Ali-‘Imran,ayat 7.
[5] Apa saja yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW samada perbuatan, percakapan, pengakuan, dan sifat Nabi Muhammad SAW.
[6] Ulama’ hadith.
[7] Sebuah disiplin ilmu untuk mengetahui keadaan seorang rawi dan keabsahan riwayat yang ia bawa,apakah dapat diterima atau tidak,Sheikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin.
[8] Rujuk buku Selangkah ke Arah Memahami Sunnah,Dr Mohd Asri Zainal Abidin.
[9] Hadith sahih,Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
[10] Lihat Ibn al-Salah,’ulum al-hadith,m.s 239,cetakan dar al-Fikr al-Mu’asarah,Beirut.
[11] Ibn Hajar al-‘Asqalani,Fath al-Bari,1/270,cetakan:Dar al-Fikr,Beirut.

No comments:

Post a Comment