NIK MOHAMAD SYAZRIN
Kuala Mu mungkin ada sebahagian
daripada kita tidak mengetahuinya. Ia adalah kawasan pedalaman perkampungan
orang asli, yang terletak di Sungai Siput, Perak. Sebelum sampai di Kuala Mu
terlebih dahulu perlu melintasi Felda Lasah, lalu menaiki kenderaan pacuan
empat roda untuk meredah tebing bukit dan hutan tebal selama hampir tiga jam.
Saya pun tidak menyangka bahawa disebalik gunung-ganang dan hutan tebal itu,
terdapat insan yang menjalani kehidupan. Saya tidak seorangan kesana,
sebaliknya turut bersama-sama rakan-rakan sekampus dan yang lain-lain merupakan
satu anjuran daripada Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Pulau Pinang.
Matlamat Pengembaraan.
Tujuan kami ke sana untuk
menyampaikan Islam kepada anak-anak kampung orang asli dengan pendekatan yang
sedikit berbeza, dalam masa yang sama ingin memberi bantuan di sudut makanan
dan perkhidmatan. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar daripada awal
sehingga akhir program. Kehadiran kami disambut mesra oleh penduduk kampung
keseluruhannya lebih-lebih lagi anak-anak kecil disana.
Saya di atas
pacuan empat roda.
Kehidupan yang ringkas.
Kehidupan orang asli sungguh
ringkas dan jauh berbeza dengan keadaan orang di Bandar. Saya kira ada
sebahagian daripada mereka tidak bekerja, namun ketiadaan pekerjaan tidak
memberi kesan negatif pun kepada mereka. Hal ini kerana, mereka hidup
berasaskan makanan yang ada di sekeliling mereka yang mana boleh didapati
bila-bila masa mereka mahu. Saya sempat berbual pendek dengan salah seorang
pegawai Yayasan al-Khalifah (saudara Azhar) yang turut bersama dalam menjayakan
program ini, beliau seorang yang giat mengikuti rombongan ke perkampungan orang
asli di semenanjung Malaysia dan tidak terlepas juga Sabah dan Sarawak. Menurut
beliau, makanan asasi mereka adalah ubi kayu. Namun, jika tiba musim buah
mereka turut menikmati buah-buahan kerana terdapat kebun buah-buahan disana
yang mungkin sebahagian besar milik mereka.
Inilah
salah satu kampung di Kuala Mu.
Mereka
mendapatkan sumber air daripada sungai secara terus, dan sepanjang kami berada
disana kami juga turut menggunakan air sungai untuk memasak, mandi, dll. Disana
tiada kemudahan kuasa elektrik pada setiap rumah, hanya ada pada kawasan
tertentu seperti sekolah dan dewan. Mereka menggunakan sistem solar secara
meluas untuk mejana elektrik bagi kawasan-kawasan tertentu itu. Saya sempat
melihat stesen sistem solar itu berhampiran dengan sekolah, yang mana sukar
dilihat di di kawasan Bandar.
Kami
gotong royong menyiapkan tandas.
Orang miskin.
Walaupun mereka
hidup dalam keadaan ringkas, miskin, dan serba kekurangan, semua itu tidak
menjadikan mereka kehilangan nilai diri atau kekayaan jiwa sehingga mereka
meminta-minta. Mereka bukanlah satu golongan yang meminta-minta, namun menerima
dengan senyuman ketika diberi. Islam mengajar ummat agar menyayangi orang
miskin, berbuat baik pada mereka, bergaul dengan mereka, dan hiburkan mereka.
Sebagaimana Abu Dzar al-Ghifari RA membawakan wasiat Rasulullah SAW dengan
mengatakan,
“Kekasihku
(Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku dengan tujuh perkara, “supaya aku mencintai
orang-orang miskin dan dekat dengan mereka…”(Sahih. Riwayat Ahmad dll)
Wasiat ini
bukanlah hanya pada Abu Dzar RA, sebaliknya untuk ummat Islam keseluruhannya.
Orang miskin yang dimaksudkan oleh Baginda SAW ini adalah mereka yang hidup
dalam keadaan kekurangan, namun mereka tidak meminta-minta sehingga maruah
tergadai, namun mereka tiada keupayaan dalam mencari keperluan. Kita juga
disuruh agar melepaskan kesusahan insan lain, sehinga mendapat ganjaran yang
besar disisi Allah. Golongan orang asli salah satu golongan yang dalam
kesempitan, dan mereka memiliki keupayaan yang terhad dalam mencari keperluan
hidup. Sabda Rasulullah SAW,
“Sesiapa yang
menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang mukmin, Allah akan menghilangkan
darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan kesulitan
orang yang dililit hutang, Allah akan memudahkan atasnya di dunia dan
akhirat…”(Riwayat Muslim)
Kami
bersama anak-anak orang asli seusai program.
Harapan mereka.
Pada malam
kedua (malam terakhir) kami disana, selepas solat berjema’ah kami sempat
mendengar ucapan ringkas Penghulu Kampung (Pak Hadu) ditujukan untuk kami
sebelum pulang keesokan harinya. Ucapan yang penuh harapan dan rasa terima
kasih kepada kami agar kami terus kunjung ke kampung mereka seboleh mungkin
untuk memberi bantuan, dorongan, dan tunjuk ajar. Saya kira ini bukanlah tugas
kami semata, malah merupakan tugas seluruh ummat Islam yang ada. Janganlah kita
termasuk dalam orang-orang yang mendustakan agama. Sebagaimana firman Allah
SWT,
“Tahukan kamu
(orang) yang mendustakan agama?. Mereka itu adalah orang yang mengherdik anak
yatim. Dan tidak mendorong memberi makan orang miskin..”~al-Ma’un,1-3
Kata al-Imam
Ibn Kathir, “Iaitu orang faqir yang tidak memiliki untuk memenuhi dan mencukupi
keperluannya.”(Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir)
Wallahu a’lam.




assalamu'alaikum...
ReplyDeletemasyaallah..entry ni memberikan keinsafan dan kesedaran pada insan2 yang lain..betapa ramai yang masih memerluka kita untuk berdakwah kepada mereka..bukan hanya di medium laman sosial,tpi yg lebih memerlukan kita di luar sana..
moga2 sgala kebaikan atau ibadat kita yang sedikit ni memberikan manfaat dan mendpt rahmat dan redha Allah s.w.t..
''sampaikanlah walau satu ayat''.
wallahua'lam..sekadar melewati blog ini..:)
alhamdulillah.. terima kasih
Delete