ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN
Setiap insan pasti pernah mengalami peristiwa manisnya masing-masing didalam mengharungi kehidupan yang singkat ini. Hakikat hidup insan begitulah, disulami dengan peristiwa manis dan pahit sebelum di jemput bertemu Tuhan. Kebahagian yang pernah dialami oleh insan kadangkala insan sangat menginginkan peristiwa manis itu berulang-ulang kembali terjadi. Itulah fitrah naluri insan yang sihat jiwanya.
Setiap insan mungkin berbeza sudut kegembiraannya, jika ditanya kepada peniaga yang mengejar kekayaan, pasti peristiwa manis buatnya apabila dapat memiliki perniagaan yang menguntungkan dan jawatan tinggi yang memegahkan. Beralih kepada si mabuk cinta pula, pasti saat manisnya bersama dengan kekasih hatinya.
Demikianlah beberapa pandangan situasi manusia dalam menilai peristiwa yang membahagiakan didalam hidupnya. Namun apakah jenis kebahagian yang hakiki didalam hidup insan?
Hakikat kebahagian dan kemanisan bagi insan itu terletak pada rohani dan jiwa yang kaya dengan iman, berilmu yang bermanfa'at dan beramal soleh dengan ilmu yang dianugerahkan. Maka inilah kebahagian yang sejati pada diri insan apabila berjalan dibumi Tuhan dengan penuh keimanan dan beramal soleh diatas ilmu. Quran membicarakan perihal ini didalam surah Yunus,
"Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka (orang-orang yang berilmu) bergembira (berbangga), kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa (kesenangan duniawi) yang dikumpulkan (oleh manusia)"~Yunus,58
Allah menghendaki orang-orang yang beriman dan berilmu merasakan bahagia berada diatas liku-liku keilmuan melebihi kesenangan duniawi yang dikejar oleh kebanyakkan manusia yang buta jiwanya dalam mengenal iman dan ilmu.
Syeikh 'Abd ar-Rahman as-Sa'di berkata, "Kenikmatan (yang berupa) agama (iman) yang bergandingan dengan kebahagiaan dunia dan akhirat (jelas) tidak bisa dibandingkan dengan semua kenikmatan duniawi yang hanya sementara dan akan hilang"(Kitab “Taisiirul Kariimir Rahmaan” hal.366)
Ramai dalam kalangan insan menganggap bahawa kebahagia berhajat kepada harta, pangkat, atau kemewahan hidup didunia. Tidak dinafikan itu mungkin menjadi penyebab kepada kebahagian sebahagian hidup insan, namun hakikat kesenangan itu akan hilang dan lenyap apabila berakhirnya hidup insan. Berapa ramai artis yang memiliki semua kesenangan itu namun dikhabarkan mati akibat stress dan tekanan? berapa ramai insan yang disangka bahagia dilihat pada zahir kemewahan yang dimilikinya namun sentiasa meminta nasihat daripada ahli motivasi berkenaan jiwa? Quran adalah penawar rohani dan jasmani insan, yang apabila diselaminya terasalah kemujarabannya oleh si penyelam.
"Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Rabbmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah: "Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik daripada apa (kesenangan duniawi) yang dikumpulkan (oleh manusia)"~Yuunus,57-58
Jika direnung semua ini, dapat difahami bahawa apabila Allah SWT kumpulkan didalam hati insan hidayah dan iman serta melimpahkan taufiqNya, itulah hakikat kebahagian didalam hidup insan didunia.
Kemuncak kebahagian insan yang beriman dan beramal soleh
Saat yang paling indah di akhirat kelak bagi insan yang beriman dan beramal soleh didunia mendapat hadiah yang paling bermakna daripada Rabbnya yang Maha Kaya iaitu syurga dan bertemu dengan Rabbnya yang menciptakannya.
"Barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Rabbnya(Allah) maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan Allah dengan apapun dalam beribadah kepada-Nya”~al-Kahfi,110
Inilah kemuncak kebahagian seorang hamba yang dha’if, hidup didunia sering meraih keampuanan dan menunduk penuh hina dihadapan Rabbnya didalam sujudnya, menjunjung Islam dan Iman didalam setiap keputusannya hidupnya.
Dalam sebuah doa daripada al-Imam Hasan al-Basri, “Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik amalan kami sebelum ajal (menjemput) kami, dan jadikanlah sebaik-baik hari (bagi) kami adalah hari ketika kami berjumpa dengan-Mu”( Dinukil oleh Imam Harith bin Abi Usamah dalam Musnad al-Harith 2/756- Bugyatul baahits)
Doa orang soleh, memiliki kencintaan kepada Rabbnya yang mendalam. Apabila bertemunya dua cinta di suasana syurga, itulah pertemuan seorang hamba yang Soleh dengan Rabnya Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Syurga yang sering diidamkan ketika hidup didunia, menjadi milik insan yang beramal soleh didunia untuk kehidupan yang kekal di akhirat kelak.
“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (surga) dan tambahannya (melihat wajah Allah Ta’ala). Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya”~Yuunus,26
Al-Imam Ibn Kathir berkata, "(Kenikmatan) yang paling agung dan tinggi (yang melebihi semua) kenikmatan di syurga adalah memandang wajah Allah yang maha mulia, kerana inilah "tambahannya" yang paling agung (melebihi) semua (kenikmatan) yang Allah berikan kepada para penghuni syurga. Mereka berhak mendapatkan kenikmatan tersebut bukan (semata-mata) kerana amal perbuatan mereka, tetapi kerana kurnia dan rahmat Allah"(Tafsir al-Quran al-‘Azim, Ibn Kathir, 4/262)
Oleh yang demikian, insan yang merasakan tenang mentaati Allah SWT dan manisnya iman itu serta merasa indah beribadah kepada Allah SWT, telah meraih kebahagian hakiki didunia dan menempa kemuncak kebahagian di akhirat kelak – insyAllah.
No comments:
Post a Comment