ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN
..Islam adalah agama yang ditegakkan berasaskan wahyu(al-Quran & Sunnah Sahih) dan fakta. Bukan sahaja didalam hal keagamaan, malah didalam hal sains & teknologi Islam tidak benarkan berbicara tanpa fakta dan kajian. Cuba perhatikan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari ini, Rasulullah SAW melarang ummah mendatangi dukun/tukang tilik/tukang tenung untuk meramal sesuatu yang akan terjadi di masa hadapan sedangkan peroses itu tidak berasaskan wahyu mahupun fakta/kajian.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sesiapa mendatangi dukun(kaahinan) lalu membenarkannya(mempercayai yang dikatakan oleh dukun),maka kufurlah dia terhadap apa yang diturunkan ke atas Muhammad SAW."(Riwayat al-Bukhari)
Sebarang ramalan atau jangkaan tidaklah Islam melarang secara mutlak, tetapi setiap perlakuan perlulah berasaskan wahyu dan fakta. Islam meraikan kepakaran seorang doktor yang memiliki ilmu dalam bidang kedoktoran dan berbicara tentang bidang itu berlandaskan ilmu dan kajian yang telah dibuat. Maka ramalan atau jangkaan doktor tentang tarikh kelahiran seorang bayi didalam perut ibunya pada sekian waktu tidaklah salah didalam Islam. Namun tidaklah kita meyakini ramalan itu atau jangkaan itu seperti mana kita meyakini/beriman kepada Qadha' dan Qadar Allah SWT. Walaubagamanapun seseorang tetap perlu meyakini ketentuan dan keputusan Allah 'azza wa jalla dalam segala hal dalam masa yang sama bersuha mencapai kehendak. Demikian juga ramalan cuaca yang diramal bukan dengan menurut percakapan orang ramai semata sebaliknya ramalan dibuat setelah melalui proses analisa dan kajian tertentu daripada masa ke semasa.
Fenomena ummah dewasa ini sangat mendukacitakan apabila kebanyakkannya mundur dalam menegakkan Islam berasaskan wahyu dan fakta. Jika dilihat pada sebahagian ummah yang mempelajari ilmu sains & teknologi mereka sangat gigih membuat rujukan dan membuat kajian/eksperimen demi membuktikan apa yang mereka pelajari dan lakukan itu tidaklah satu pembohongan atau palsu. Tambahan pula di universiti penuh dengan kemudahan-kemudahan makmal dan alatan untuk membuat kajian terhadap sesuatu ilmu sains yang dipelajari. Islam tidak melarang semua perkara itu selagi tidak menyanggahi prinsip syara', namun fenomena itu tidak berlaku pada para penuntut ilmu syar'i(agama). Ummah sebahagian besarnya tidak mementingkan wahyu dan fakta apabila berbicara tentang agama atau melakukan sesuatu amalan yang sepatutnya lebih penting mencari kesahihhan dan pembuktian terhadap perkara tersebut.
Didalam hal agama, ummah kini lebih gemar mengamalkannya apabila sesuatu perkara agama itu dilakukan oleh orang ramai ataupun orang berjawatan dalam bidang agama. Islam tertegak atas hujjah(wahyu) dan fakta, bukanlah atas ramainya orang melakukannya. Allah SWT mengancam hamba-Nya yang menilai kebenaran agama di sudut itu, firman-Nya :
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah” ~Al An’am,116
“Alif laam miim raa. Ini adalah ayat-ayat Al Kitab (Al Qur’an). Dan Kitab yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu adalah benar; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepadanya).”~Ar Ra’du,1
Didalam sebuah hadtih Rasulullah SAW menggambarkan perihal seorang Rasul yang diutuskan sebelum Baginda yang sedikit ummatnya ketika mengadap Allah SWT, sedangkan setiap Rasul itu pembawa berita yang benar belaka lagi pendakwah yang paling sempurna.
Rasulullah SAW bersabda,
“Diperlihatkan kepadaku umat manusia seluruhnya. Maka akupun melihat ada Nabi yang memiliki pengikut sekelompok kecil manusia. Dan ada Nabi yang memiliki pengikut dua orang. Ada Nabi yang tidak memiliki pengikut” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Terdapat lagi di dalam ayat al-Quran yang lain dan hadith Nabi SAW yang membicarakan perihal kebenaran itu tidaklah terletaknya pada perlakuan kebanyakkan manusia ataupun perkataan orang lain selain Rasulullah SAW. Maka wajiblah kepada ummah dizaman ini kembalikan disiplin ilmu Islam berasaskan wahyu(al-Quran dan as-Sunnah) walaupun ia bukan daripada amalan atau percakapan orang ramai.
Al Fudhail bin Iyadh rahimahullah (wafat 187 H) berkata: “Janganlah engkau menganggap buruk jalan-jalan kebenaran karena sedikit orang yang menjalaninya. Dan jangan pula terpedaya oleh banyaknya orang-orang yang binasa” (Dinukil dari Al-Adab Asy-Syar’iyyah 1/163)
Ingatlah, yang menghitung amalan,percakapan dan pengakuan manusia adalah Allah SWT dihari akhirat, bukanlah orang kebanyakkan. Pada hari yang tidak ada naungan selain naungan Allah SWT, semua orang membawa amalan masing-masing, dan semua orang berlepas diri antara satu sama lain. Ingatlah ketika itu yang menjadi bekal adalah amalan, dan amalan yang diterima adalah yang bertepatan dengan apa yang diajar oleh Baginda SAW sahaja. Taatilah Allah SWT(Al-Quran) dan taatilah Rasulullah SAW(as-Sunnah) serta dahulukanlah kedua-duanya melebihi selainnya.

No comments:
Post a Comment