Saturday, 25 August 2012

Antara Kesedihan, Kekecewaan dan Putus Harapan

ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN

Antara  unsur utama yang terdapat didalam jasad seorang insan adalah perasaannya. Unsur ini memainkan peranan penting buat insan dalam mengharungi hidup di dunia ini sehinggakan ia mempengaruhi percakapan dan tindakan insan itu sendiri. Perasaan terletak pada jantung hati manusia, tidak ada sesiapapun yang mengetahuinya melainkan jika ia diluahkan secara fizikal. Mungkin sebahagian daripada kita pernah mendengar kisah seorang yang putus cinta lalu kecewa sehingga membuatnya hilang pertimbangan akal yang waras terus membunuh diri. Kisah sebegini tidak asing lagi bagi kita, seringkali keluar didada akhbar. Mungkin pelbagai tanggapan timbul atas tindakan yang tidak sihat ini, namun yang pasti ia berpunca daripada jantung hati yang kecewa dan putus harapan untuk terus hidup. Rasulullah SAW pernah bersabda didalam hadith riwayat Bukhari dan lain-lain memperingati para sahabat Baginda SAW juga memperingati kita akan kehadiran jantung hati didalam jasad insan,

“..ingatlah didalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, segumpal daging itu adalah (jantung) hati.”(HR Bukhari, Muslim, dan Abu Daud)




Allah SWT menjadikan manusia ini sangat unik pelbagai jenis bentuk dan rupa, demikian juga jantung hati manusia, Allah SWT ciptakan penuh dengan rasa suka, duka, kecewa, dan sedih apabila ia berinteraksi dengan persekitarannya. Bersama jantung hati itu, Allah SWT jadikan pula kehidupan bagin insan bermacam jenis warna, berlainan corak bagi setiap orang mengikut kehendakNya yang penuh hikmah. Ramai orang terlupa hakikat ini, sehinggakan apabila ia ditimpa musibah perasaannya sangat gundah dan meronta kekecewaan berpanjangan.

Setiap Musibah Tersebunyi Kebaikan di Sisi Allah
Suka saya kongsikan disini kisah yang dibawakan oleh guru saya didalam kuliahnya, sehinggakan kisah ini menyentuh jantung hati saya serta mengandungi beberapa pengajaran yang boleh diambil iktibar. Kisah itu tentang sepasang suami isteri yang bernikah dan memiliki beberapa orang cayaha mata. Setelah beberapa tahun berumah tangga si isteri tidak lagi dilayan seperti awal pernikahan oleh suaminya malah rumah sekadar tempat persinggahan sang suami menukar pakaikan untuk ke pejabat. Si suami itu telah berlaku curang dan memiliki perempuan simpanan diluar sehingga pernah saban minggu tidak pulang ke rumah. Isteri yang solehah ini memendam rasa kecewa dan juga menyembunyikan penyakit yang dihidapinya sehingga terlantar ke hospital sedang suami tidak menjenguknya. Sehinggalah saat kritikal isteri itu di hospital, si suami dikhabarkan rakan sepejabatnya bahawa isterinya sedang tenat bertarung nyawa di hospital. Lantas suami itu berasa bersalah atas segala kekhilafannya dan semua itu tidak berguna lagi buatnya kerana setibanya dirumah, mayat isterinya sedang dimandikan dan dipersiapkan untuk pengebumian. 

Mungkin di satu sudut kita lihat bertapa berdosanya sang suami itu atas ketidakadaliannya kepada isterinya malah bergelumang dengan maksiat saban minggu. Tetapi  apabila Allah SWT mencabut nyawa isterinya, Allah SWT campakkan juga hidayah didalam jantung hatinya sehingga air mata membasahi pipinya memohon ampun pada Tuhan yang Maha Pengampun. Itulah hikmah kematian isterinya yang tidak ramai orang melihatnya namun ia pasti ada. 



Setiap musibah dan kekecewaan yang Allah SWT campakkan didalam hidup insan itu, adalah untuk menggoncangkan jantung hatinya kepada hidayah Allah SWT serta kembali kepada Rabbnya untuk membersihkan jiwa yang telah jauh dibawa arus duniawi. Maka terduduklah insan di sejadah dikeheningan malam apabila menyahut hidayah ini, bercucuranlah airmatanya memohon ampun dan taubat kepada Rabnya yang Maha Sempurna.

Jangan Putus Harapan, sungguh Allah sangat hampir
Kesedihan dan kekecewaan yang melanda hidup insan kadangkala membuatkan insan putus harapan untuk terus mengharungi hidup ini serta merasakan ia adalah pengakhiran hidup. Hakikatnya  kesedihan dan kekecewaan yang hadir itu bukanlah seperti yang disangkakan, namun ia sangat berhajat kepada pengharapan dan semangat baru, dan itulah yang seringkali Allah SWT berikan kepada orang mukmin seharusnya disedari hal itu dan meyakininya. Allah SWT melarang kita berputus asa keatas rahmatnya,

“Katakanlah(wahai Muhammad):  “Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah..”~az-Zumar,53

Allah SWT sangat hampir pada hamba-hambaNya sehinggakan Dia menanti hamba-hambaNya memohon kepadanya untuk Dia perkenankan. Allah berfirman,

“dan apabila hamba-hambaKu  bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah hampir. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu..”~al-Baqarah,186



Ketahuilah, jika kita luahkan sesuatu perkara itu kepada insan lain untuk meredakan jiwa yang gundah itu, mungkin dia dengar dan ingat saat kita menceritakan padanya itu. Tetapi luahan pada Allah SWT lebih Dia memahami hambaNya dan pasti Dia tidak melupakannya.

“..siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Rabbnya dan tidak ada ketakutan pada mereka dan tidak pula mereka bersedih.”~Al-Baqarah,112

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment