Saturday, 23 March 2013

Kehidupan dunia, Iman dan Taqwa



ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN

Manusia dijadikan dalam pelbagai bangsa, rupa, warna kulit, tutur bahasa, dan gaya hidup yang berbeza. Semua insan umumnya perlu menjalani kehidupan sebagaimana yang telah Allah SWT tetapkan daripada awal lagi dimana perkara itu tidak dapat dipilih mengikut citarasa sendiri. Namun Allah SWT tidak jadikan semua itu sebagai nilai untuk membezakan kedudukan manusia disisiNya, sebaliknya setiap insan dibezakan atas dasar iman dan taqwa.

Dunia sebuah kehidupan yang singkat
        Dunia sebuah kehidupan yang singkat kerap kali diberi peringatan antara kaum muslimin sehingga tidak ada yang apabila diberi peringatan tentang hakikat kehidupan yang singkat disini melainkan mereka akur dan sudah mengetahui. Walaupun telah ramai yang mengetahui perihal ini, tidak ramai yang benar-benar menghayatinya. Yang memberi peringatan ini bukanlah bererti sudah sepenuhnya menghayati hakikat ini, namun sama-sama dalam perjuangan mendapatkan penghayatan hakikat kehidupan dunia yang singkat. 

Dalam maksud untuk mencapai penghayatan ini, seorang muslim tidak dapat tidak perlu membandingkan kehidupan dunia dengan kehidupan di akhirat kelak. Apabila kehidupan dunia dipisahkan jauh dengan kehidupan di akhirat, maka bilangan umur terasa tersangat jauh dan panjang. Maka, apabila kehidupan sekarang dibandingkan dengan kehidupan di akhirat jelaslah terasa singkatnya kerana dunia bakal hancur dan ia akan berakhir serta perpindah disana yang kekal dan lebih baik.

“padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan kekal.”~al-A’la,17

Kata guru kami Dr. Mohd Asri Zainul Abidin hafizahullah didalam tulisannya, “Kita ini hanyalah bilangan hari dan waktu. Apabila sebahagian bilangan itu pergi, pergilah sebahagian dari kita ini. Setiap bilah hari yang meninggalkan kita, membawa bersamanya pelbagai coretan, kenangan, rahsia, cerita, derita, bahagia dan segala rupa warna dan rasa. Sebahagian yang tinggal menunggu giliran untuk melalui peristiwa yang sama. Mungkin berbeza nama hari, bulan dan tahun, tetapi tetap sama pada keadaan dan peranan. Ia akan membawa lagi sebahagian dari kita pergi meninggalkan kehidupan dunia ini. Sehinggalah pada saat tamatnya bilangan terakhir, maka ketika itu berakhirlah kehidupan kita di dunia ini.”(http://drmaza.com/home/?p=1839)

Iman dan Istiqamah
Saya bukanlah ahli ilmu untuk membicarakan perkara yang besar ini, hanya sekadar ingin berkongsi sedikit ilmu yang ada untuk hikmah bersama. Dalam meniti kehidupan seharian di dunia, manusia tidak dapat mengetahui bila maut akan menimpanya. Sesiapa yang membaca tulisan ini, pasti pernah melalui berita-berita tentang kematian manusia sekeliling akibat pelbagai sebab dan cara. Bukanlah satu kesalahan untuk kita bertanya “sebab” atau “bagaimana” kematian berlaku, kerana setiap yang berlaku itu bersamanya juga Allah ‘Azza wa Jalla jadikan sebab dan cara ia terjadi namun sebagai insan yang beriman, perlu lihat sesuatu kejadian itu dengan lebih luas dari kacamata iman.
“Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya..”~al-Mulk,2

Untuk kembali berhijrah ke Daar al-Aakhirah, sesuatu ketetapan yang pasti ini, tiada perkara yang lebih bernilai untuk dibawa bersama melainkan keyakinan yang murni dan perkara-perkara yang didirikan atas dasar keyakinan itu. Itulah “Iman dan Istiqamah”.  Salah seorang sahabat Rasulullah SAW pernah meminta nasihat kepada Baginda SAW dimana nasihat itu beliau tidak meminta selain kepada Baginda SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda,
“Katakanlah! “aku beriman kepada Allah” kemudian istiqamahlah”(riwayat Muslim dan selainnya)

Taqwa
Kita sering juga diingatkan dengan taqwa sekurang-kurangnya bagi mukminin seminggu sekali ketika mendengar khutbah solat juma’at. Namun, apakah kita telah benar-benar mengejar taqwa degan mengetahui sifatnya dan jalan menujunya?, mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang mencari ketaqwaan disisi Allah SWT. Allah SWT berfirman (mafhumnya), 

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”~al-Hujurat,13

Kata Al-Alusi rahimahullah, “Sesungguhnya yang paling mulia dan paling tinggi darejatnya di antara kamu disisi Allah di dunia mahupun di akhirat adalah yang paling bertaqwa. Jika kamu ingin saling berbangga, saling berbanggalah dengan takwa (kamu).”(Ruuhul Ma’ani, 19/290)

Sunnguh banyak ciri-ciri orang-orang yang bertaqwa yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah, namun suka saya dalam menyimpulkan sifat taqwa itu dengan firman Allah SWT (mafhumnya),

“dan bersegeralah kamu kepada pengampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”~Aali-‘Imran,133

Berdasarkan ayat yang mulia ini kita dapat mengetahui bahawa antara sifat orang bertaqwa itu adalah yang bersegera mengejar ampunan Allah SWT, dalam erti kata lain sentiasa mohon ampun dan bertaubat pada Allah SWT dan medambakan syurga nan indah. Maka perlu diingatkan juga (untuk diri saya khususnya) bahawa kepenatan orang-orang beriman dan bertaqwa pasti akan dibalas di akhirat kelak dengan syurga yang nikmatnya tidak terbanding degan nikmat dunia.

No comments:

Post a Comment