Sunday, 24 March 2013

"Ulul Albaab" golongan daripada Al-Quran


ABU FAROOQ NIK MOHAMAD SYAZRIN
www.facebook.com/saifullahalfarouq

“Ulul Albaab” bukanlah istilah atau penamaan yang baru, malah telah sekian lama sejak al-Quran diturunkan. Ulul Albaab adalah istilah yang diberi oleh Allah SWT didalam al-Quran yang mana mereka memiliki ciri-ciri dan upaya yang tersendiri. Ramai dalam kalangan kita kini menggunakan nama “ulul albaab” untuk tujuan tertentu, namun ketepatan penamaan itu pada mereka dengan apa yang disifatkan oleh al-Quran samada selari atau tidak perlu dibahaskan semula. Walaubagaimanapun al-Quran bukan hanya datang membawa istilah itu semata, malah turut bersamanya sifat-sifatnya yang perlu diketahui.

Apakah Ulul Albaab?
   Ulul Albaab seperti yang diterjemahkan oleh buku-buku terjemahan al-Quran sebagai “golongan yang memiliki akal/pemikiran yang sihat”. Secara bahasa, “albaab” adalah kata jama’(plural form) bagi perkataan “Lubb” bermaksud isi atau inti. Maka secara bahasanya Ulul Albaab adalah orang-orang yang memiliki isi atau inti. Namun secara isitlah pula Ulul Albaab adalah “Ashabul ‘Uquul”(golongan yang memiliki akal yang sihat) lalu mereka menggunakan akal sihat itu untuk merenung kebesaran ciptaan Allah SWT dan memimiliki beberapa sifat yang digariskan didalam al-Quran.



Sifat-sifat Ulul Albaab
Terdapat 16 ayat didalam al-Quran yang menyebut istilah “ulul albaab” dan membawa beberapa ayat lain menerang sifat-sifat golongan ini. Secara umumnya ulul albaab adalah golongan yang disifatkan oleh Allah SWT dengan sifat-sifat yang murni lagi berfikiran matang. Antaranya :

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi ulul albaab(orang-orang yang berakal sihat)”~aali-‘Imran,190

Didalam surah Aali-‘Imran ayat ke-190 ini Allah SWT membawa istilah ulul albaab dan diikuti dengan ayat-ayat seterusnya sehingga ayat ke 194 Allah SWT membawa ciri-ciri ulul albaab. Mereka adalah :

“orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk serta dalam keadaan berbaring..”~Aali-‘Imran,191

Kata ilmuan terkenal dalam bidang tafsir al-Hafiz Al-Imam Ibn Kathir didalam tafsirnya, “.. mereka tidak pernah terputus daripada mengingatNya dalam semua keadaan mereka. Lisan, hati, dan jiwa mereka semuanya selalu mengingat Allah SWT.”(Tafsir al-Quran al-‘Azim, Ibn Kathir)

“..dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi..”~Aali-‘Imran,191

“Mereka memahami semua hikmah yang terkandung didalamnya yang menunjukkan kebesaran penciptaanNya, kekuasaanNya, pengetahuanNya, hikmahNya, pilihanNya, dan rahmatNya..”(Tafsir al-Quran al-‘Azim, Ibn Kathir)

“..(lalu mereka berkata): “Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini sia-sia.””~Aali-‘Imran,191

Kata guru kami Dr. Abdullah Yasin hafizahullah didalam tulisan beliau, “..didorong oleh sifat tadzakkur(mengingati) dan tafakkur(berfikir) inilah, maka Ulul Albaab selalu berkata: Ya Allah, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari siksa neraka..”(http://www.al-nidaa.com.my/seruan/index.php/makalah/al-quran/272-siapakah-ulul-albaab)

Berdasarkan ayat ini juga kita mengetahui bahawa Ulul Albaab apabila mereka telah merenung kebesaran penciptaan Allah SWT, timbul didalam jantung hati mereka perasaan mengagongkan Allah SWT dan takut akan siksaNya lalu memohon kepadaNya agar dihindari daripada siksa neraka. 

“(lalu mereka berkata): Ya Tuhan kami, sesungguhnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.”~Aali-‘Imran,192

Orang-orang yang berakal sihat (ulul albaab) sangat takut akan azab neraka dan membenci kezaliman. Kezaliman itu samada kesyirikan ataupun maksiat merupakan ciri-ciri ahli neraka, maka ulul albaab sangat menginginkan diri mereka jauh daripada sifat ahli neraka. Seterusnya ulul albaab berdoa lagi, 

“Ya tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada keimanan (iaitu): “berimanlah kamu kepada Tuhanmu”, maka kamipun beriman..”~Aali-‘Imran,193

Ulul Albaab termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyambut seruan keimanan yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diatas keimanan itu mereka mentaati Allah SWT dan RasulNya. Apabila menyedari hakikat iman itu, maka ulul albaab memohon ampun pada Allah SWT, 

“Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti”~Aali-‘Imran,193

Selanjutnya ulul albaab memohon,
“Wahai Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui perantaraan rasul-rasul Mu. Dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.”~Aali-‘Imran,194

Berdasarkan ayat ini, dapat difahami bahawa ulul albaab meyakini janji Allah SWT dan RasulNya yang disampaikan diatas lisan RasulNya. Lalu ulul albaab memohon pada Allah SWT dengan menyebut sifatNya yang mulia iaitu Allah SWT tidak memungkiri janji.

Selain daripada ayat-ayat diatas yang membicarakan tentang sifat-sifat ulul albaab, saya tertarik dengan ayat lainnya yang turut membicara tentang sifat ulul albaab. Saya kira sifat yang diangkat oleh al-Quran didalam ayat yang lain ini rata-ratanya telah hilang pada sebahagian manusia khususnya umat Islam masa kini. Ayat-ayat yang disebutkan diatas menyifatkan ulul albaab disudut keimanan mereka terhadap penciptaan langit dan bumi oleh Allah SWT, mengagongkanNya, dan memohon padaNya. Pada ayat yang lain ini pula Allah SWT menyifatkan ulul albaab disudut kematangan akal mereka dalam berfikir untuk kehidupan mereka secara umum. 

“..sampaikanlah khabar gembira kepada hambaKu. (iaitu) mereka yang mendengar perkataan, lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya; mereka itulah orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah ulul albaab”~az-Zumar,17-18

Ayat ini telah memberi satu makna yang sangat jelas dalam menyifatkan ulul albaab bahawa mereka itu adalah golongan yang berperinsip dalam hidup terhadap pendapat-pendapat atau perkataan-perkataan yang pelbagai disekeliling mereka. Mereka bukanlah golongan fanatik jauh sekali golongan yang membawa fanatisme sesebuah kelompok, sehingga mereka tidak mendengar perkataan lain melainkan yang datang daripada kelompok yang mereka iktiraf sahaja. Terutamanya golongan agama dan penuntut ilmu agama masa kini, apabila mereka tidak memiliki sifat ulul albaab ini maka kekeliruan makin bertambah dan fitnah barangkali tercipta berpunca daripada menjauhi sifat ulul albaab.

Dalam mengulas ayat ini, guru kami Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, “..Maka tidak termasuk dalam golongan Ulul Albab mereka yang menelan apa sahaja berita yang didengar dan khabar yang disampaikan tanpa mampu membuat penilaian yang baik. Bukan dari golongan Ulul Albab masyarakat yang dipenuhi dengan berita palsu, khabar angin, fitnah mengfitnah dan segala keburukan yang lain. Juga bukan Ulul Albab masyarakat yang menelan apa sahaja khabar yang termuat dalam media dan internet tanpa mampu membuat penilaian yang betul.

Bahkan saya kata; tidak menjadi Ulul Albab mereka yang mendengar ceramah di masjid atau surau jika menelan semua yang diceramahkan itu tanpa menilai dengan nilaian yang betul dan matang. Bukan sedikit juga pandangan atau pendapat yang dibuat atas nama agama atau oleh orang yang bergelar agama tetapi tidak menepati agama..”(http://drmaza.com/home/?p=164)

Ulul Albaab juga amat mengambil berat terhadap ilmu agama sehingga mereka menggunakan akal mereka untuk mendalami ilmu agama untuk mengetahui antara iman dan kufur, sunnah dan bid’ah, kebenaran dan kebatilan.

“..dan orang yang mendalam pengetahuannya dalam ilmu (agama) berkata; “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu daripada sisi Tuhan kami.” Dan tidak dapat mengambil pelajaran melainkan ulul albaab”~Aali-‘Imran,7

Semoga Allah SWT memasukkan kita dalam kalangan orang yang menggunakan akal ini untuk mendalami ilmu untuk beramal kerana Allah SWT sehingga ia memberi manfa’at untuk kehidupan dunia dan akhirat serta memasukkan kita dalam kalangan ulul albaab.

No comments:

Post a Comment