ABU FAROOQ NIK MOHAMAD
SYAZRIN
Terngiang-ngiang ditelinga saya akan satu hadith yang dibaca oleh
guru kami Ust.Syazalie Hirman hafizahullah semasa beliau membacanya di Institut
Ibn al-Qayyim(IQ),Pulau Pinang. Ketika itu saya masih menuntut di UiTM Pulau
Pinang, diwaktu malam pergi ke IQ untuk “menadah” kitab. Hadith tersebut diriwayatkan
oleh sahabat Jabir bin Abdillah, menceritakan bahawa suatu hari Nabi SAW
berjalan melewati pasar melalui sebahagian jalan dari arah perumahan dan para
sahabat bersama Baginda SAW. Lalu Baginda SAW melewati seekor bangkai anak
kambing yang telinganya kecil(cacat). Maka Nabi SAW pun menariknya dan memegang
ditelinganya kemudian Nabi SAW bersabda :
أيكم يحب أن هذا له بدرهم؟
“Siapakah diantara kamu yang mahu untuk (membeli) ini baginya
(hanya) dengan satu dirham?”
فقالوا : ما نحب أنه
لنا بشيء وما نصنع به؟
mereka(para sahabat) jawab : “kami tidak
mahu kerana ia tidak berguna bagi kami, dan apa kami (boleh) buat dengannya?”
قال : أتحبون أنه لكم؟
Baginda
bersabda : “apakah kamu semua mahu bahawa ia bagi kamu (dengan percuma)?”
قالوا : والله لو كان
حياًًّ كان عيباًّ فيه، لأنه أسك فكيف وهو ميت؟
Mereka(para sahabat) jawab : “demi Allah!
Sekiranya ia hidup sekalipun, ada cacat padanya kerana telinganya kecil, inikan
pula ia bangkai?”
فقال : والله للدنيا
أهوان على الله من هذا عليكم
Baginda bersabda : “Demi Allah! Bagi dunia
itu lebih hina disisi Allah daripada (bangkai anak kambing cacat) ini disisi
kamu semua.”(Riwayat Muslim. Rujuk : Mukhtasar Sahih Muslim, al-Imam
al-Munziri, Dar al-Hadith 2003, no.2078, hal.604-605)
Jangan
mengejar “Bangkai anak kambing cacat”
Sungguh faqir kehidupan seseorang itu jika
dunia menjadi tujuan utamanya dan manusia menjadi harapannya sehingga hilang
kemuliaan diri. Apakah yang sebenarnya yang dicari baginya adalah “bangkai anak
kambing cacat” yang penuh hina disisi Allah SWT. Lihatlah hadith diatas dengan
mata hati penuh keinsafan diri, betapa ia menyentap jiwa yang lalai dengan
dunia dan isinya.
Al-Imam al-Munziri rahimahullah didalam
karyanya Mukhtasar Sahih Muslim ketika ingin membawa hadith diatas beliau
memberi tajuk:
باب : في الزهد في الدنيا وهوانها على الله
عز وجل
“Bab
: pada (menyatakan) zuhud pada dunia dan hinanya ia(dunia) disisi Allah ‘azza
wa jalla”
Manusia tidak disuruh untuk menjadi kusut masai, baju
terkoyak sini sana, atau berjalan dengan kaki tidak beralas untuk mengecapi
zuhud. Hal ini demikian kerana, tiada contoh terbaik untuk ummat ini melainkan
Rasulullah SAW dan para Sahabatnya r.’anhum serta generasi awal Islam. Para
Sahabat r.’anhum zuhud, namun perwatakan mereka tegas dan mereka terurus
sehingga digeruni lawan, disayangi rakan-rakan.
Zuhud itu adalah memurnikan jiwa ikhlas mencari jalan
Tuhan sehingga jelas matlamat dibangkitkannya, lalu menghasilkan jiwa yang
menjauhi sesuatu yang tidak bermanfaat buat kampung akhiratnya.
Ikhlaslah wahai jiwa
Semua orang boleh sebut “aku ikhlas..” atau “aku buat
kerana Allah..” dan seumpamanya, namun didalam jantung hatinya hanya Allah SWT dan
dirinya sendiri sahaja yang tahu samada dia ikhlas ataupun tidak. Sememangnya
kita tidak suruh untuk menguji keikhlasan orang lain, berpada dengan zahir
sahaja namun yang perlu dibicarakan adalah keikhlasan diri sendiri, apakah
telah benar ikhlas walau dipuji dan diuji? Masing-masing tahu jawapannya. Entah
yang membaca artikel ini mungkin lebih ikhlas daripada yang menulisnya, entah
yang duduk diatas lantai mendengar ilmu disampaikan disana-sini mungkin lebih
ikhlas daripada yang bercakap diatas kerusi empuk, entah berapa ramai manusia
yang tidak dikenali pun dalam kalangan penduduk bumi mungkin lebih ikhlas dan
soleh daripada beberapa orang tokoh agama. Semua perhitungan ini tidak
diketahui melainkan Allah SWT yang tidak tersembunyi disisiNya segala sesuatu
pun.
Sarjana hadith besar dalam Islam yang namanya tidak
asing lagi pada masyarakat Islam terutama sekali dalam kalangan penuntut ilmu
hadith iaitu al-Imam al-Bukhari rahimahullah memulakan karya agungnya yang
dikenali sebagai Sahih al-Bukhari telah meletakkan hadith niat diawal-awal
penulisannnya. Walaupun disana terdapat perbahasan panjang dalam kalangan
sarjana selepas al-Imam al-Bukhari akan perbuatan al-Imam al-Bukhari rhm
meletakkan hadith niat itu kerana secara tersurat ia tidak sesuai diletakkan
dibawah tajuk Permulaan Wahyu(bukan niat). Namun tidak kurang juga sarjana
Islam yang mengatakan ia seolah-olah menggambarkan bahawa al-Imam al-Bukhari
rhm menginginkan agar sesiapa yang membaca tulisannya itu khususnya hadith-hadith
Nabi SAW untuk membetulkan niat-niat masing-masing, ikhlas semata-semata kerana
Allah SWT.
Ikhlas sesuatu yang
dicari
Ikhlas adalah sesuatu yang perlu dicari. Insan perlu
bermujahadah(bersungguh-sungguh) mencari keikhlasan sebagaimana insan
bermujahadah dalam perkara-perkara lain. Oleh yang demikian sarjana besar dalam
bidang fiqh al-Syafi’e dan bidang hadith, al-Imam al-Nawawi rahimahullah
membuka bab diawal-awal karyanya berjudul Riyadh al-Soliheen :
باب الإخلاص
وإحضار النية في جميع الأعمال والأقوال والأحوال البارزة والخفية.
“bab Ikhlas dan menghadirkan(mendatangkan)
niat dalam seluruh perbuatan, ucapan, keadaan, (dalam keadaan) nyata dan
tersembunyi(rahsia).”
Lalu dibawah bab itu beliau membawa
hadith-hadith Nabi SAW yang berkaitan dengan niat secara kolektif. Antaranya
hadith Nabi SAW ketika Baginda SAW memberitahu isterinya Aisyah r.’anha, Sabda
Baginda SAW :
يغزو جيش
الكعبة فإذا كانوا ببيداء من الأرض يخسف بأولهم وآخرهم. (قالت) قلت : يا رسول الله
كيف يخسف بأولهم وآخرهم وفيهم أسواقهم ومن ليس منهم؟ قال : يخسف بأولهم وآخرهم ثم
يبعثون على نياتهم. متفق عليه وهذا لفظ البخاري.
“akan diserang ka’bah itu oleh segolongan tentera, maka apabila mereka
berada di bumi Baida’[1],
dihapuskan mereka dari awal hingga akhir.” Aisyah berkata : “Wahai Rasullah,
bagaimana (pula) dihapuskan dari awal hingga akhir (sedangkan) dalam kalangan
mereka ada orang awam(rakyat) dan juga orang yang bukan daripada
mereka(tentera)?” Sabda Baginda SAW : dihapuskan mereka dari awal hingga akhir
kemudian mereka dibangkitkan nanti atas niat-niat mereka (masing-masing)”(Riwayat
al-Bukhari dan Muslim dan ini adalah lafaz (riwayat) al-Bukhari)
Lihatlah menerusi hadith ini, betapa
sarjana Islam memperingati ummat agar sentiasa niat itu perlu dibetulkan dan
betapa ikhlas itu menjadi “pintu” amal diterima. Demikian juga Allah SWT telah
memperingati kita agar jauhi syaitan dan jadikan ia sebagai musuh, bagaimana?
Firman Allah SWT :
قَالَ
فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ.
إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ.
“(iblis) berkata : demi kemuliaanMu, pasti
akan aku sesatkan mereka(hamba-hambaMu) semua. Kecuali hamba-hambaMu dalam
kalangan mereka (yang) Mukhlas”~Sad,82-83
Syaitan boleh menyesatkan sesiapa sahaja
kecuali orang yang “mukhlas”, iaitu menurut guru kami Dr.Mohd Asri hafizahullah
salah satu tafsirannya adalah orang-orang yang diikhlaskan oleh Allah SAW. Maka
sesiapa sahaja boleh syaitan sesatkan tidak kira samada ustaz, tuan syeikh, dan
lain-lain, tetapi bukan orang-orang yang diikhlaskan oleh Allah SWT. Ayat ini
sekaligus mengangkat kedudukan ikhlas itu ditempat yang tertinggi dalam rangka
menjadikan syaitan sebagai musuh untuk dijauhi. Demikianlah “ikhlas” sesuatu
yang perlu dicari dengan bersungguh-sungguh bukan sekadar ucapan dibibir.
Usah mengejar “bangkai anak kambing cacat”.
No comments:
Post a Comment