Saturday, 26 April 2014

Usah Kejar "Bangkai Anak Kambing"



ABU FAROOQ NIK MOHAMAD SYAZRIN


Terngiang-ngiang ditelinga saya akan satu hadith yang dibaca oleh guru kami Ust.Syazalie Hirman hafizahullah semasa beliau membacanya di Institut Ibn al-Qayyim(IQ),Pulau Pinang. Ketika itu saya masih menuntut di UiTM Pulau Pinang, diwaktu malam pergi ke IQ untuk “menadah” kitab. Hadith tersebut diriwayatkan oleh sahabat Jabir bin Abdillah, menceritakan bahawa suatu hari Nabi SAW berjalan melewati pasar melalui sebahagian jalan dari arah perumahan dan para sahabat bersama Baginda SAW. Lalu Baginda SAW melewati seekor bangkai anak kambing yang telinganya kecil(cacat). Maka Nabi SAW pun menariknya dan memegang ditelinganya kemudian Nabi SAW bersabda :

أيكم يحب أن هذا له بدرهم؟
“Siapakah diantara kamu yang mahu untuk (membeli) ini baginya (hanya) dengan satu dirham?”

فقالوا : ما نحب أنه لنا بشيء وما نصنع به؟
mereka(para sahabat) jawab : “kami tidak mahu kerana ia tidak berguna bagi kami, dan apa kami (boleh) buat dengannya?”

قال : أتحبون أنه لكم؟
Baginda bersabda : “apakah kamu semua mahu bahawa ia bagi kamu (dengan percuma)?”

قالوا : والله لو كان حياًًّ كان عيباًّ فيه، لأنه أسك فكيف وهو ميت؟
Mereka(para sahabat) jawab : “demi Allah! Sekiranya ia hidup sekalipun, ada cacat padanya kerana telinganya kecil, inikan pula ia bangkai?”

فقال : والله للدنيا أهوان على الله من هذا عليكم
Baginda bersabda : “Demi Allah! Bagi dunia itu lebih hina disisi Allah daripada (bangkai anak kambing cacat) ini disisi kamu semua.”(Riwayat Muslim. Rujuk : Mukhtasar Sahih Muslim, al-Imam al-Munziri, Dar al-Hadith 2003, no.2078, hal.604-605)


Jangan mengejar “Bangkai anak kambing cacat”

Sungguh faqir kehidupan seseorang itu jika dunia menjadi tujuan utamanya dan manusia menjadi harapannya sehingga hilang kemuliaan diri. Apakah yang sebenarnya yang dicari baginya adalah “bangkai anak kambing cacat” yang penuh hina disisi Allah SWT. Lihatlah hadith diatas dengan mata hati penuh keinsafan diri, betapa ia menyentap jiwa yang lalai dengan dunia dan isinya.
Al-Imam al-Munziri rahimahullah didalam karyanya Mukhtasar Sahih Muslim ketika ingin membawa hadith diatas beliau memberi tajuk:

باب : في الزهد في الدنيا وهوانها على الله عز وجل
“Bab : pada (menyatakan) zuhud pada dunia dan hinanya ia(dunia) disisi Allah ‘azza wa jalla”

Manusia tidak disuruh untuk menjadi kusut masai, baju terkoyak sini sana, atau berjalan dengan kaki tidak beralas untuk mengecapi zuhud. Hal ini demikian kerana, tiada contoh terbaik untuk ummat ini melainkan Rasulullah SAW dan para Sahabatnya r.’anhum serta generasi awal Islam. Para Sahabat r.’anhum zuhud, namun perwatakan mereka tegas dan mereka terurus sehingga digeruni lawan, disayangi rakan-rakan.

Zuhud itu adalah memurnikan jiwa ikhlas mencari jalan Tuhan sehingga jelas matlamat dibangkitkannya, lalu menghasilkan jiwa yang menjauhi sesuatu yang tidak bermanfaat buat kampung akhiratnya.

Ikhlaslah wahai jiwa

Semua orang boleh sebut “aku ikhlas..” atau “aku buat kerana Allah..” dan seumpamanya, namun didalam jantung hatinya hanya Allah SWT dan dirinya sendiri sahaja yang tahu samada dia ikhlas ataupun tidak. Sememangnya kita tidak suruh untuk menguji keikhlasan orang lain, berpada dengan zahir sahaja namun yang perlu dibicarakan adalah keikhlasan diri sendiri, apakah telah benar ikhlas walau dipuji dan diuji? Masing-masing tahu jawapannya. Entah yang membaca artikel ini mungkin lebih ikhlas daripada yang menulisnya, entah yang duduk diatas lantai mendengar ilmu disampaikan disana-sini mungkin lebih ikhlas daripada yang bercakap diatas kerusi empuk, entah berapa ramai manusia yang tidak dikenali pun dalam kalangan penduduk bumi mungkin lebih ikhlas dan soleh daripada beberapa orang tokoh agama. Semua perhitungan ini tidak diketahui melainkan Allah SWT yang tidak tersembunyi disisiNya segala sesuatu pun.

Sarjana hadith besar dalam Islam yang namanya tidak asing lagi pada masyarakat Islam terutama sekali dalam kalangan penuntut ilmu hadith iaitu al-Imam al-Bukhari rahimahullah memulakan karya agungnya yang dikenali sebagai Sahih al-Bukhari telah meletakkan hadith niat diawal-awal penulisannnya. Walaupun disana terdapat perbahasan panjang dalam kalangan sarjana selepas al-Imam al-Bukhari akan perbuatan al-Imam al-Bukhari rhm meletakkan hadith niat itu kerana secara tersurat ia tidak sesuai diletakkan dibawah tajuk Permulaan Wahyu(bukan niat). Namun tidak kurang juga sarjana Islam yang mengatakan ia seolah-olah menggambarkan bahawa al-Imam al-Bukhari rhm menginginkan agar sesiapa yang membaca tulisannya itu khususnya hadith-hadith Nabi SAW untuk membetulkan niat-niat masing-masing, ikhlas semata-semata kerana Allah SWT.


Ikhlas sesuatu yang dicari

Ikhlas adalah sesuatu yang perlu dicari. Insan perlu bermujahadah(bersungguh-sungguh) mencari keikhlasan sebagaimana insan bermujahadah dalam perkara-perkara lain. Oleh yang demikian sarjana besar dalam bidang fiqh al-Syafi’e dan bidang hadith, al-Imam al-Nawawi rahimahullah membuka bab diawal-awal karyanya berjudul Riyadh al-Soliheen :

باب الإخلاص وإحضار النية في جميع الأعمال والأقوال والأحوال البارزة والخفية.
“bab Ikhlas dan menghadirkan(mendatangkan) niat dalam seluruh perbuatan, ucapan, keadaan, (dalam keadaan) nyata dan tersembunyi(rahsia).”

Lalu dibawah bab itu beliau membawa hadith-hadith Nabi SAW yang berkaitan dengan niat secara kolektif. Antaranya hadith Nabi SAW ketika Baginda SAW memberitahu isterinya Aisyah r.’anha, Sabda Baginda SAW :

يغزو جيش الكعبة فإذا كانوا ببيداء من الأرض يخسف بأولهم وآخرهم. (قالت) قلت : يا رسول الله كيف يخسف بأولهم وآخرهم وفيهم أسواقهم ومن ليس منهم؟ قال : يخسف بأولهم وآخرهم ثم يبعثون على نياتهم. متفق عليه وهذا لفظ البخاري.

“akan diserang ka’bah itu oleh segolongan tentera, maka apabila mereka berada di bumi Baida’[1], dihapuskan mereka dari awal hingga akhir.” Aisyah berkata : “Wahai Rasullah, bagaimana (pula) dihapuskan dari awal hingga akhir (sedangkan) dalam kalangan mereka ada orang awam(rakyat) dan juga orang yang bukan daripada mereka(tentera)?” Sabda Baginda SAW : dihapuskan mereka dari awal hingga akhir kemudian mereka dibangkitkan nanti atas niat-niat mereka (masing-masing)”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim dan ini adalah lafaz (riwayat) al-Bukhari)

Lihatlah menerusi hadith ini, betapa sarjana Islam memperingati ummat agar sentiasa niat itu perlu dibetulkan dan betapa ikhlas itu menjadi “pintu” amal diterima. Demikian juga Allah SWT telah memperingati kita agar jauhi syaitan dan jadikan ia sebagai musuh, bagaimana? Firman Allah SWT :

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ. إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ.

“(iblis) berkata : demi kemuliaanMu, pasti akan aku sesatkan mereka(hamba-hambaMu) semua. Kecuali hamba-hambaMu dalam kalangan mereka (yang) Mukhlas”~Sad,82-83

Syaitan boleh menyesatkan sesiapa sahaja kecuali orang yang “mukhlas”, iaitu menurut guru kami Dr.Mohd Asri hafizahullah salah satu tafsirannya adalah orang-orang yang diikhlaskan oleh Allah SAW. Maka sesiapa sahaja boleh syaitan sesatkan tidak kira samada ustaz, tuan syeikh, dan lain-lain, tetapi bukan orang-orang yang diikhlaskan oleh Allah SWT. Ayat ini sekaligus mengangkat kedudukan ikhlas itu ditempat yang tertinggi dalam rangka menjadikan syaitan sebagai musuh untuk dijauhi. Demikianlah “ikhlas” sesuatu yang perlu dicari dengan bersungguh-sungguh bukan sekadar ucapan dibibir.

Usah mengejar “bangkai anak kambing cacat”.




[1] . Baida’ : dikatakan nama satu kawasan yang berada diantara Makkah dan Madinah.

No comments:

Post a Comment