ABU AL-HARITH NIK MUHAMMAD SYAZRIN
Alhamdulillah disini saya ingin kongsikan sedikit bekenaan tertib
belajar kitab-kitab hadith sebagaimana yang disebut oleh guru kami Ustaz
Maulana Muhammad Asri hafizahullah yang saya perolehi melalui rakaman suara
kuliah beliau mengenainya. Insya-Allah dikesempatan ini saya cuba ringkaskan
apa yang telah beliau sebutkan dan menambah beberapa isi yang dirasakan penting
untuk dikongsikan juga. Kitab-kitab hadith yang ada begitu banyak sekali, bahkan
setiap kitab hadith itu terdapat jenis-jenisnya yang tersendiri pula. Namun kitab
hadith yang paling masyhur adalah kitab hadith yang enam atau disebut sebagai
Sunan Sittah iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Nasa’i, Sunan Abu
Daud, al-Jami’ al-Tirmidzi[1],
dab Sunan Ibn Majah. Menurut Maulana Asri, jika kita ingin susun mengikut
tertib bermula dengan yang paling sahih, maka ia bermula dengan Sahih
al-Bukhari, Sahih Muslim[2],
Sunan al-Nasa’i, Sunan Abu Daud, al-Jami’ al-Tirmidzi, dan Sunan Ibn Majah.
Mengikut pendapat lain pula ada yang mengatakan bermula dengan Sahih
al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasa’i, al-Jami’
al-Tirmidzi, dan Sunan Ibn Majah. Menurut sesetengah ulama lain pula bermula
dengan Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Jami’ al-Tirmidzi, dan diikut dengan
yang lain. Walaubagaimana menurut Maulana Asri sendiri, yang lebih tepat samada
tertib yang pertama atau yang kedua. Mengapa kitab-kitab hadith yang enam ini
masyhur, sedangkan disana terdapat banyak lagi kitab-kitab hadith?. Sebenarnya
ia masyhur kerana menurut ulama ia lengkap untuk dijadikan silibus pengajian
kitab-kitab hadith dan sesiapa yang telah selesai belajar keenam-enam
kitab-kitab hadith itu (insya-Allah) dapat menguasai sebahagian besar
hadith-hadith Nabi SAW samada yang berbentuk sahih ataupun dha’if. Jika dalam
sistem pengajian kitab-kitab hadith di India khususnya, menurut Maulana Asri
susunannya bermula dengan kitab al-Jami’ al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sahih
al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah. Menurut beliau
juga, tertib kitab-kitab hadith dalam pengajian ini wujud setelah wujud sistem pengajian
hadith yang disebut sebagai “Daurah Hadith”, adapun sebelum itu atau zaman
sebelum itu lagi seperti zaman Syah Abdul Ghani, Syah Ishaq, Syah Waliyullah,
Syah ‘Abdul ‘Aziz, tiada lagi sistem pengajian yang disebut sebagai “daurah
hadith” yang mengikut tertib pengajian kitab-kitab hadith seperti itu.
Faedah-faedah pengajian kitab-kitab hadith mengikut tertib.
Terdapat beberapa faedah pengajian kitab-kitab hadith mengikut
tertib kitab-kitab hadith sebagaimana yang saya sebutkan diatas tadi iaitu
bermula dengan kitab al-Jami’ al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sahih al-Bukhari,
Sahih Muslim, Sunan Al-Nasa’i, dan Sunan Ibn Majah. Faedah-faedahnya seperti
berikut ;
1. al-Jami’ al-Tirmidzi.
Didahulukan kitab al-Jami’ al-Tirmidzi kerana tujuan utama disamping
terdapat juga tujuan-tujuan lain penulisannya adalah penulis al-Jami’
al-Tirmidzi ingin beritahu mazhab atau pegangan ulama-ulama mujtahid dalam
sesuatu masalah/bab/isu. Penulis kumpulkan hadith bekaitan sesuatu
masalah/isu/bab didalam satu bab didalamnya yang menjadi khilaf/perbezaan
pendapat dalam mazhab-mazhab dalam fiqh. Oleh itu, penulis al-Jami’ al-Tirmidzi
membawa juga pendapat-pendapat ulama mujtahid selepas penulis membawa
hadith-hadith didalamnya.
Oleh yang demikian, apabila seseorang itu telah mempelejari
al-Jami’ al-Tirmidzi, dia akan ketahui bahawa dalam Islam ini bukan ada satu
sahaja mazhab atau sekolah pemikiran atau empat sahaja mazhab dalam memahami
hadith-hadith Nabi SAW. Kerana penulis al-Jami’ al-Tirmidzi bukan sahaja
membawa pendapat mazhab al-Syafi’e bahkan pendapat-pendapat imam-imam lain
seperti Ibn al-Mubarak, Ahmad, al-Thauriy, Waki bin al-Jarrah, dan lain-lain
lagi.
2. Sunan Abu Daud.
Setelah seseorang itu habis belajar al-Jami’ al-Tirmidzi dan
mengetahui melaluinya bahawa dalam Islam terdapat banyak mazhab(sekolah
pemikiran) serta mengetahui juga hadith-hadith yang mereka berbeza pendapat itu
secara ringkas, seseorang itu perlu belajar pula Sunan Abu Daud untuk
mengetahui dalil-dalil pendapat-pendapat mazhab masing-masing secara terperinci.
Hal ini demikian kerana penulis Sunan Abu Daud membawakan sebahagian besar
hadith-hadith berkaitan dengan hukum khususnya yang digunapakai oleh
ulama-ulama mujtahid dalam mengelurkan hukum. Menurut Maulana Asri, sebab
itulah menurut ulama bahawa sudah memadai Sunan Abu Daud bagi seorang ulama
mujtahid itu untuk mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith. Ia menunjukkan
bahawa betapa lengkap hadith-hadith yang terkandung dalam Sunan Abu Daud
memadai bagi seseorang ulama itu rujuk untuk mengeluarkan hukum.
3. Sahih al-Bukhari.
Sahih al-Bukhari berada pada kedudukan ketiga dalam silibus
pengajian kitab-kitab hadith bukanlah menunjukkan tahap kesahihannya pada
tangga ketiga. Sebagaimana yang dijelaskan diawal tadi Sahih al-Bukhari adalah
pada kedudukan pertama jika disusun mengikut kesahihan. Susunan dalam silibus
pengajian kitab-kitab hadith bukanlah disusun mengikut kesahihan, sebaliknya ia
disusun untuk memudahkan seseorang itu belajar dan memahami hadith-hadith Nabi
SAW sekaligus dapat menjadikan dia seorang yang mengetahui sebahagian besar
hadith-hadith Nabi SAW dan jenis-jenisnya yang pelbagai.
Setelah seseorang itu belajar tentang kepelbagaian mazhab-mazhab
dan hadith-hadith yang digunakapakai oleh ulama-ulama mazhab secara terperinci,
seseorang itu perlu belajar pula Sahih al-Bukhari. Hal ini demikian kerana,
tujuan atau maksud utama penulis Sahih al-Bukhari disamping terdapat juga
tujuannya yang lain adalah untuk mengajar cara-cara istinbat atau mengeluarkan
hukum daripada hadith-hadith Nabi SAW. Maka, mempelajari Sahih al-Bukhari dapat
juga memahamkan seseorang itu mengapa ulama umumnya berbeza pendapat. Oleh itu,
jika kita lihat dalam Sahih al-Bukhari kadangkala penulisnya hanya membawakan
hadith sahaja, tanpa bab, atau disebut “bab” sahaja lalu terus membawakan
hadith dibawahnya. Ini kerana penulis Sahih al-Bukhari bermaksud ingin melatih
cara mengeluarkan hukum dengan hadith yang dibawanya sekaligus dapat memberi “bab”
bagi hadith tersebut.
Mempelajari Sahih al-Bukhari juga dapat seseorang itu mengetahui
hadith-hadith yang tinggi kesahihannya dalam hukum-hakam islam secara
khususnya, dan hadith-hadith selain hukum-hakam umumnya.
4. Sahih Muslim.
Seterusnya mempelajari Sahih Muslim untuk mengetahui hadith-hadith
yang sahih dengan terperinci lagi. Hal ini demikian kerana, dalam Sahih
al-Bukhari kadangkala penulisnya hanya bawakan satu atau dua hadith sahaja
dibawah sesuatu bab itu, atau satu atau dua jalan(tariq) hadith sahaja. Maka
mempelajari Sahih Muslim dapat menambah pengetahuan seseorang itu bentuk-bentuk
hadith sahih dan jalan-jalan riwayatnya yang pelbagai dengan lebih terperinci
lagi.
Maka mempelajari Sahih al-Muslim setelah mempelajari Sahih
al-Bukhari, dapat mengetahui bahawa kadangkala sesuatu hadith yang sahih itu
datang pada kita bukan dengan satu jalur/jalan(tariq) riwayat sahaja, bahkan
banyak dan pelbagai.
5. Sunan al-Nasai’i.
Setelah mempelajari hadith-hadith sahih daripada pelbagai lafaz
dan jalur riwayat, maka seterusnya perlu mempelajari pula Sunan al-Nasa’i untuk
mengetahui ‘ilal(kecacatan tersembunyi) bagi sesuatu hadith itu sehingga ulama
tidak terima sesuatu hadith itu. Hal ini demikian kerana, penulis Sunan al-Nasa’i
bertujuan untuk memberitahu bahawa dimana ‘ilal bagi sesuatu hadith itu. Untuk
mengetahui ‘ilal bagi sesuatu hadith itu bukanlah suatu perkara yang mudah.
Maka setelah mempelajari khilaf mazhab, dalil-dalil mazhab secara terperinci,
hadith-hadith sahih, jalur-jalur riwayat hadith sahih, maka barulah pergi
kepada mempelajari ‘ilal bagi sesuatu hadith.
Namun bukanlah bermaksud mempelajari Sunan al-Nasai’i dapat
mengetahui semua ‘ilal bagi sesuatu hadith itu, sebaliknya ia dapat
memberitahui pada seseorang itu antara kaedah untuk mengetahui ‘ilal bagi
hadith, dengan mempelajari sunan al-Nasa’i setelah belajar al-Jami’
al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sahih al-Bukhari, dan Sahih Muslim.
Sekali lagi perlu diingatkan bahawa untuk mengetahui ‘ilal hadith
sangatlah susah dan perlu kepada kajian yang mendalam dan cermat.
6. Sunan Ibn Majah.
Kitab hadith yang akhir sekali adalah Sunan Ibn Majah, kerana
didalamnya penulis masukkan pelbagai jenis darjat hadith samada hadith sahih
atau hadith dha’if merangkumi dha’if, dha’if jiddan, bahkan yang maudhu’(palsu)
sekalipun. Sebenarnya jika kita lihat disudut kesahihannya, Sunan Ibn Majah ini
bukanlah kitab hadith yang tinggi kesahihannya bahkan kitab-kitab hadith yang
lain lebih tinggi kesahihannya berbanding Sunan Ibn Majah seperti Sunan al-Darimi
atau Muwatta’. Bahkan hadith-hadith yang bersambung sanadnya didalam Muwatta’
itu adalah sahih dan lebih tinggi kedudukannya berbanding hadith-hadith didalam
Sunan Ibn Majah. Jawapnya adalah, kerana kitab Sunan Ibn Majah dimasukkan
didalam Sunan Sittah bukan untuk menyatakan ia adalah kitab-kitab hadith yang
tertinggi berbanding yang lain-lain, tetapi bermaksud untuk belajar dalam rangka
melahirkan seorang muhaddith.
Maka mempelajari Sunan Ibn Majah dapat mengesan bentuk-bentuk
hadith yang pelbagai darjatnya khususnya bentuk-bentuk hadith dha’if merangkumi
yang dha’if ringan, dha’if bersangatan, ataupun maudhu’(palsu), setelah
mempelari khilaf ulama, dalil-dalil terperenci ulama, cara mengeluarkan hukum
daripada hadith, bentuk-bentuk hadith sahih, jalur-jalur riwayat hadith sahih,
dan kaedah-kaedah mengetahui ‘ilal hadith.
Penutup
Maka apabila seseorang itu telah habis belajar keenam-enam kitab
terpilih ini dengan betul dan bersungguh-sungguh insya-Allah, dia akan menjadi
seorang yang mengeuasai sebahagian besar hadith-hadith Nabi SAW dengan
bentuk-bentuknya yang pelbagai.
Alhamdulillah kita lihat pengajian hadith dimasa ini khususnya
dalam konteks Malaysia semakin berkembang dan mula diterima.
[1].
Sesetengah orang memanggilnya Sunan al-Tirmidzi. Namun bagi saya ia lebih tepat
dipanggil Al-Jami’ al-Tirmidzi kerana ia dinamakan oleh penulis sendiri sebagai
“al-Jami” dan kandungannya sesuai dengan nama itu.
[2].
Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Sahih Muslim lebih sahih berbanding
Sahih al-Bukhari. Namun pendapat yang lebih tepat adalah Sahih al-Bukhari lebih
tinggi kesahihannya berbanding Sahih Muslim.

Terbaek saudara..
ReplyDeleteAlhamdulillah..ilmu dikongsi
ReplyDelete