Tuesday, 13 May 2014

Tertib atau Susunan Belajar Kitab Hadith

ABU AL-HARITH NIK MUHAMMAD SYAZRIN



Alhamdulillah disini saya ingin kongsikan sedikit bekenaan tertib belajar kitab-kitab hadith sebagaimana yang disebut oleh guru kami Ustaz Maulana Muhammad Asri hafizahullah yang saya perolehi melalui rakaman suara kuliah beliau mengenainya. Insya-Allah dikesempatan ini saya cuba ringkaskan apa yang telah beliau sebutkan dan menambah beberapa isi yang dirasakan penting untuk dikongsikan juga. Kitab-kitab hadith yang ada begitu banyak sekali, bahkan setiap kitab hadith itu terdapat jenis-jenisnya yang tersendiri pula. Namun kitab hadith yang paling masyhur adalah kitab hadith yang enam atau disebut sebagai Sunan Sittah iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Nasa’i, Sunan Abu Daud, al-Jami’ al-Tirmidzi[1], dab Sunan Ibn Majah. Menurut Maulana Asri, jika kita ingin susun mengikut tertib bermula dengan yang paling sahih, maka ia bermula dengan Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim[2], Sunan al-Nasa’i, Sunan Abu Daud, al-Jami’ al-Tirmidzi, dan Sunan Ibn Majah. Mengikut pendapat lain pula ada yang mengatakan bermula dengan Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasa’i, al-Jami’ al-Tirmidzi, dan Sunan Ibn Majah. Menurut sesetengah ulama lain pula bermula dengan Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Jami’ al-Tirmidzi, dan diikut dengan yang lain. Walaubagaimana menurut Maulana Asri sendiri, yang lebih tepat samada tertib yang pertama atau yang kedua. Mengapa kitab-kitab hadith yang enam ini masyhur, sedangkan disana terdapat banyak lagi kitab-kitab hadith?. Sebenarnya ia masyhur kerana menurut ulama ia lengkap untuk dijadikan silibus pengajian kitab-kitab hadith dan sesiapa yang telah selesai belajar keenam-enam kitab-kitab hadith itu (insya-Allah) dapat menguasai sebahagian besar hadith-hadith Nabi SAW samada yang berbentuk sahih ataupun dha’if. Jika dalam sistem pengajian kitab-kitab hadith di India khususnya, menurut Maulana Asri susunannya bermula dengan kitab al-Jami’ al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah. Menurut beliau juga, tertib kitab-kitab hadith dalam pengajian ini wujud setelah wujud sistem pengajian hadith yang disebut sebagai “Daurah Hadith”, adapun sebelum itu atau zaman sebelum itu lagi seperti zaman Syah Abdul Ghani, Syah Ishaq, Syah Waliyullah, Syah ‘Abdul ‘Aziz, tiada lagi sistem pengajian yang disebut sebagai “daurah hadith” yang mengikut tertib pengajian kitab-kitab hadith seperti itu.

Faedah-faedah pengajian kitab-kitab hadith mengikut tertib.

Terdapat beberapa faedah pengajian kitab-kitab hadith mengikut tertib kitab-kitab hadith sebagaimana yang saya sebutkan diatas tadi iaitu bermula dengan kitab al-Jami’ al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Al-Nasa’i, dan Sunan Ibn Majah. Faedah-faedahnya seperti berikut ;

1. al-Jami’ al-Tirmidzi.

Didahulukan kitab al-Jami’ al-Tirmidzi kerana tujuan utama disamping terdapat juga tujuan-tujuan lain penulisannya adalah penulis al-Jami’ al-Tirmidzi ingin beritahu mazhab atau pegangan ulama-ulama mujtahid dalam sesuatu masalah/bab/isu. Penulis kumpulkan hadith bekaitan sesuatu masalah/isu/bab didalam satu bab didalamnya yang menjadi khilaf/perbezaan pendapat dalam mazhab-mazhab dalam fiqh. Oleh itu, penulis al-Jami’ al-Tirmidzi membawa juga pendapat-pendapat ulama mujtahid selepas penulis membawa hadith-hadith didalamnya.

Oleh yang demikian, apabila seseorang itu telah mempelejari al-Jami’ al-Tirmidzi, dia akan ketahui bahawa dalam Islam ini bukan ada satu sahaja mazhab atau sekolah pemikiran atau empat sahaja mazhab dalam memahami hadith-hadith Nabi SAW. Kerana penulis al-Jami’ al-Tirmidzi bukan sahaja membawa pendapat mazhab al-Syafi’e bahkan pendapat-pendapat imam-imam lain seperti Ibn al-Mubarak, Ahmad, al-Thauriy, Waki bin al-Jarrah, dan lain-lain lagi.

2. Sunan Abu Daud.

Setelah seseorang itu habis belajar al-Jami’ al-Tirmidzi dan mengetahui melaluinya bahawa dalam Islam terdapat banyak mazhab(sekolah pemikiran) serta mengetahui juga hadith-hadith yang mereka berbeza pendapat itu secara ringkas, seseorang itu perlu belajar pula Sunan Abu Daud untuk mengetahui dalil-dalil pendapat-pendapat mazhab masing-masing secara terperinci. Hal ini demikian kerana penulis Sunan Abu Daud membawakan sebahagian besar hadith-hadith berkaitan dengan hukum khususnya yang digunapakai oleh ulama-ulama mujtahid dalam mengelurkan hukum. Menurut Maulana Asri, sebab itulah menurut ulama bahawa sudah memadai Sunan Abu Daud bagi seorang ulama mujtahid itu untuk mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith. Ia menunjukkan bahawa betapa lengkap hadith-hadith yang terkandung dalam Sunan Abu Daud memadai bagi seseorang ulama itu rujuk untuk mengeluarkan hukum.

3. Sahih al-Bukhari.

Sahih al-Bukhari berada pada kedudukan ketiga dalam silibus pengajian kitab-kitab hadith bukanlah menunjukkan tahap kesahihannya pada tangga ketiga. Sebagaimana yang dijelaskan diawal tadi Sahih al-Bukhari adalah pada kedudukan pertama jika disusun mengikut kesahihan. Susunan dalam silibus pengajian kitab-kitab hadith bukanlah disusun mengikut kesahihan, sebaliknya ia disusun untuk memudahkan seseorang itu belajar dan memahami hadith-hadith Nabi SAW sekaligus dapat menjadikan dia seorang yang mengetahui sebahagian besar hadith-hadith Nabi SAW dan jenis-jenisnya yang pelbagai.

Setelah seseorang itu belajar tentang kepelbagaian mazhab-mazhab dan hadith-hadith yang digunakapakai oleh ulama-ulama mazhab secara terperinci, seseorang itu perlu belajar pula Sahih al-Bukhari. Hal ini demikian kerana, tujuan atau maksud utama penulis Sahih al-Bukhari disamping terdapat juga tujuannya yang lain adalah untuk mengajar cara-cara istinbat atau mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith Nabi SAW. Maka, mempelajari Sahih al-Bukhari dapat juga memahamkan seseorang itu mengapa ulama umumnya berbeza pendapat. Oleh itu, jika kita lihat dalam Sahih al-Bukhari kadangkala penulisnya hanya membawakan hadith sahaja, tanpa bab, atau disebut “bab” sahaja lalu terus membawakan hadith dibawahnya. Ini kerana penulis Sahih al-Bukhari bermaksud ingin melatih cara mengeluarkan hukum dengan hadith yang dibawanya sekaligus dapat memberi “bab” bagi hadith tersebut.

Mempelajari Sahih al-Bukhari juga dapat seseorang itu mengetahui hadith-hadith yang tinggi kesahihannya dalam hukum-hakam islam secara khususnya, dan hadith-hadith selain hukum-hakam umumnya.

4. Sahih Muslim.

Seterusnya mempelajari Sahih Muslim untuk mengetahui hadith-hadith yang sahih dengan terperinci lagi. Hal ini demikian kerana, dalam Sahih al-Bukhari kadangkala penulisnya hanya bawakan satu atau dua hadith sahaja dibawah sesuatu bab itu, atau satu atau dua jalan(tariq) hadith sahaja. Maka mempelajari Sahih Muslim dapat menambah pengetahuan seseorang itu bentuk-bentuk hadith sahih dan jalan-jalan riwayatnya yang pelbagai dengan lebih terperinci lagi.

Maka mempelajari Sahih al-Muslim setelah mempelajari Sahih al-Bukhari, dapat mengetahui bahawa kadangkala sesuatu hadith yang sahih itu datang pada kita bukan dengan satu jalur/jalan(tariq) riwayat sahaja, bahkan banyak dan pelbagai.

5. Sunan al-Nasai’i.

Setelah mempelajari hadith-hadith sahih daripada pelbagai lafaz dan jalur riwayat, maka seterusnya perlu mempelajari pula Sunan al-Nasa’i untuk mengetahui ‘ilal(kecacatan tersembunyi) bagi sesuatu hadith itu sehingga ulama tidak terima sesuatu hadith itu. Hal ini demikian kerana, penulis Sunan al-Nasa’i bertujuan untuk memberitahu bahawa dimana ‘ilal bagi sesuatu hadith itu. Untuk mengetahui ‘ilal bagi sesuatu hadith itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Maka setelah mempelajari khilaf mazhab, dalil-dalil mazhab secara terperinci, hadith-hadith sahih, jalur-jalur riwayat hadith sahih, maka barulah pergi kepada mempelajari ‘ilal bagi sesuatu hadith.

Namun bukanlah bermaksud mempelajari Sunan al-Nasai’i dapat mengetahui semua ‘ilal bagi sesuatu hadith itu, sebaliknya ia dapat memberitahui pada seseorang itu antara kaedah untuk mengetahui ‘ilal bagi hadith, dengan mempelajari sunan al-Nasa’i setelah belajar al-Jami’ al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sahih al-Bukhari, dan Sahih Muslim.

Sekali lagi perlu diingatkan bahawa untuk mengetahui ‘ilal hadith sangatlah susah dan perlu kepada kajian yang mendalam dan cermat.

6. Sunan Ibn Majah.

Kitab hadith yang akhir sekali adalah Sunan Ibn Majah, kerana didalamnya penulis masukkan pelbagai jenis darjat hadith samada hadith sahih atau hadith dha’if merangkumi dha’if, dha’if jiddan, bahkan yang maudhu’(palsu) sekalipun. Sebenarnya jika kita lihat disudut kesahihannya, Sunan Ibn Majah ini bukanlah kitab hadith yang tinggi kesahihannya bahkan kitab-kitab hadith yang lain lebih tinggi kesahihannya berbanding Sunan Ibn Majah seperti Sunan al-Darimi atau Muwatta’. Bahkan hadith-hadith yang bersambung sanadnya didalam Muwatta’ itu adalah sahih dan lebih tinggi kedudukannya berbanding hadith-hadith didalam Sunan Ibn Majah. Jawapnya adalah, kerana kitab Sunan Ibn Majah dimasukkan didalam Sunan Sittah bukan untuk menyatakan ia adalah kitab-kitab hadith yang tertinggi berbanding yang lain-lain, tetapi bermaksud untuk belajar dalam rangka melahirkan seorang muhaddith.

Maka mempelajari Sunan Ibn Majah dapat mengesan bentuk-bentuk hadith yang pelbagai darjatnya khususnya bentuk-bentuk hadith dha’if merangkumi yang dha’if ringan, dha’if bersangatan, ataupun maudhu’(palsu), setelah mempelari khilaf ulama, dalil-dalil terperenci ulama, cara mengeluarkan hukum daripada hadith, bentuk-bentuk hadith sahih, jalur-jalur riwayat hadith sahih, dan kaedah-kaedah mengetahui ‘ilal hadith.

Penutup

Maka apabila seseorang itu telah habis belajar keenam-enam kitab terpilih ini dengan betul dan bersungguh-sungguh insya-Allah, dia akan menjadi seorang yang mengeuasai sebahagian besar hadith-hadith Nabi SAW dengan bentuk-bentuknya yang pelbagai.

Alhamdulillah kita lihat pengajian hadith dimasa ini khususnya dalam konteks Malaysia semakin berkembang dan mula diterima.


[1]. Sesetengah orang memanggilnya Sunan al-Tirmidzi. Namun bagi saya ia lebih tepat dipanggil Al-Jami’ al-Tirmidzi kerana ia dinamakan oleh penulis sendiri sebagai “al-Jami” dan kandungannya sesuai dengan nama itu.
[2]. Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Sahih Muslim lebih sahih berbanding Sahih al-Bukhari. Namun pendapat yang lebih tepat adalah Sahih al-Bukhari lebih tinggi kesahihannya berbanding Sahih Muslim.

2 comments: