Thursday, 12 June 2014

Aku Ingin Kembara Lagi

ABU FAROOQ NIK MUHAMMAD

Alhamdulillah segala puji-pujian milikNya jua. Nikmat yang Allah berikan kepada kita tidak dapat dihitung, bahkan terlalu banyak.

Kita akan menjadi manusia yang tidak berterima kasih kepada Tuhan, jika asyik mempertikai dan menyoal setiap sudut yang kita tidak miliki. Karenah ini bukan sahaja tidak mensyukuri nikmat Tuhan, bahkan hilang kemuliaan diri terhadap sesama manusia.

Syukur bukanlah sekadar lafaz dibibir “Aku bersyukur..”, atau “Alhamdulillah..” lebih pada itu, sekiranya syukur dengan harta yang diberi, berbelanja pada jalanNya dan pada jalan-jalan yang diredhaiNya.

Syukur dengan anggota badan yang sempurna, dengan menggerakkan anggota badan untuk mentaati perintahNya, samada laranganNya atau suruhanNya.

Konsep syukur yang salah bukan sahaja merosakkan manusia lain dengan durjana-durjana yang dilakukan, lebih parah diri terasa sudah banyak bersyukur.

Nikmat
Kembara menuntut ilmu merupakan sebuah nikmat bagi saya pada ketika ini. Saya sebenarnya tidak pernah terfikir ia menjadi sebuah nikmat buat saya, Allah SWT merezeqikan nikmat pada hamba-hambaNya dengan jalan yang pelbagai.

Saya pernah coretkan dilapangan ini beberapa ketika yang lalu bekenaan kembara saya ke Darul Hadith, Kelantan. Banyak perkara yang saya pelajari disitu, berupa pengajian ilmu Islam secara langsung khususnya ilmu bahasa ‘arab dan fiqh al-hadith.


Penuntut ilmu
Ada dalam kalangan rakan-rakan di laman sosial saya bertanya saya melalui ruang bual peribadi soalan-soalan berkaitan hadith dan lain-lain lagi. Ada juga yang gelar saya dengan gelaran “ustaz”. Sekiranya kalimah “ustaz” itu adalah predikat untuk seseorang yang menguasi banyak ilmu-ilmu Islam, maka saya tidak layak untuk itu. Saya penuntut ilmu.

Ada juga yang memuliakan saya dengan gelaran “tuan”. Saya hanya penuntut ilmu dan saudara pada kaum muslimin seluruhnya.

Saya hanya memiliki sedikit kelebihan ilmu, dan ini adalah semata-mata peluang belajar yang Allah kurniakan kepada saya. Ikhlaskah saya menuntut ilmu? Soalan ini saya sendiri tidak mampu menjawabnya sebaliknya mohon doa semua agar Allah mengikhlaskan kita dalam segala amal baik kita.


Aku ingin kembara lagi
Saya ingin kembara lagi. Dengan izin dan kurnianya, saya ingin kembara ke Madrasah(pondok) Darul Uloom, Jerteh, Terangganu pada malam ini untuk bersama dalam Daurah Tafsir al-Quran bersama ilmuan dalam bidang tafsir al-Quran yang tidak ramai yang mengenali beliau iaitu Maulana Abdul Hadi, mudir kepada madrasah tersebut. Mohon doa para pembaca yang dikasihi buat saya agar dapat menamatkan pengajian selama 40hari disitu lengkap tafsir 30juz al-Quran.

Bagi sesiapa yang belum mengenali al-Fadhil Maulana Abdul Hadi, beliau boleh diumpamakan sebagai permata di dasar laut yang walaupun alim(berilmu) tetapi tidak dikenali ramai. Beliau adalah kelahiran  madrasah Binori Town Karachi, Pakistan.  Beliau telah memberi perhatian yang besar kepada ilmu  tafsir  sejak menjadi pelajar lagi.

Tidak hairanlah sekembalinya ke tanah air beliau telah menghidupkan program pengajian kilat tafsir yang dinamakan sebagai Daurah Tafsir.  Silsilah ilmu tafsir yang diperolehi oleh beliau ialah menerusi turutan berikut:

Mufti Muhammad, Syeikh Abdul Ghani (juga bapanya),  Syeikh Ghulamullah, Syeikh Husain Ali al-Wani, Syeikh Muhammad Mazhar (pengasas madrasah Mazahir Uloom Saharanpur) dan Syeikh Rashid Ahmad Gangohi (salah seorang penaung madrasah Darul Uloom Deoband). Guru beliau Mufti Muhammd bin Abd Ghani tinggal di Rahimankhan, Rawalpendi.

Manhaj(metodologi)  yang digunakan oleh Maulana Abdul Hadi dalam pengajaran tafsir adalah berasal daripada Maulana Husin Ali al-Wani yang merupakan sahabat kepada Maulana Yahya iaitu ayah kepada Maulana Zakaria Kandahlawi.(lihat : http://basooir.com/lesson/daurah-tafsir-maulana-abdul-hadi/)

Sebenarnya saya pernah buat lawatan ke Madrasah Darul Uloom itu bersama rakan-rakan seperjuangan semasa belajar di Darul Hadith al-Nabawi, Kelantan tidak lama dahulu. Ketika itu saya melihat beliau adalah seorang yang mesra, ucapannya jelas, dan nasihatnya membekas.


Gambar Maulana Abdul Hadi yang sempat saya ambil ketika mendengar nasihat daripada beliau.

Pada ketika itu saya telahpun terdetik dibenak ini untuk hadir sekali lagi di madrasah beliau bukan untuk ziarah, tetapi untuk “menadah” kitab dengan beliau. Alhamdulillah, Allah SWT Maha Kaya, merezeqikan kepada saya detik yang diidamkan ketika itu kurang daripada sehari sahaja lagi. Sekali lagi saya mohon doa para pembaca yang dikasihi agar Allah membetulkan niat-niat kita dalam kebaikan.


 
ini kawasan belajar di Madrasah Darul Uloom tersebut. Beliau mengekalkan sistem dan suasana belajar sebagaimana di pusat-pusat  pengajian hadith di India dan Pakistan.

Kata ahli hadith, "ilmu tidak dapat diperolehi dengan badan yang manja".

Sungguh, aku ingin kembara lagi.



1 comment:

  1. Assalamualaikum warahmatullah..
    Anta ikuti daurah tafsir di pondok Maulana Abdul Hadi tahun berapa..?

    ReplyDelete