ABU FAROOQ
NIK MUHAMMAD
Mungkin ada
dalam kalangan kita pernah ditimpa satu musibah, yang mana musibah itu telah
menggoncang iman terhadap Tuhan. Muncullah ucapan-ucapan seperti “apakah salah
aku?” atau “apa dosaku sehingga aku diuji begini?” atau seumpama dengannya.
Samada ucapan itu diungkap dalam keadaan sedar atau tidak, sebenarnya ia telah
mengeluarkannya daripada zon kesabaran dan pergi kepada zon putus asa dengan
rahmat Tuhan.
Didalam riwayat
yang sahih oleh al-Bukhari, menceritakan kisah yang menarik telah berlaku dizaman
Rasul al-Amin Muhammad SAW dimana ketika Baginda SAW melintasi seorang wanita
yang sedang menangis disisi satu kubur (dalam riwayat lain ia adalah kubur
anaknya), maka Baginda Nabi SAW secara ringkas menasihatinya dengan berkata :
اتقي الله
واصبري
Terjemahan : “bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah..”(sahih. Riwayat
al-Bukhari)
Hakikat sabar
Sebahagian orang apabila dinasiti demikian agar bertaqwa kepada Allah
dan bersabar atas ujian yang menimpa, mereka katakan “kamu tak tahu, aku yang
kena musibah ini”, atau “kamu tak faham penderitaan aku,” atau “cakap memang
mudah..” dan lain-lain lagi.
Berbalik kepada hadith yang saya sebutkan pada awal tadi sebenarnya
hadith itu tidak berhenti disitu, apa kata wanita yang dinasihati oleh Baginda
SAW itu? Kata dia kepada Baginda SAW :
إليك عني فإنك
لم تصب بمصيبتي ولم تعرفه
Terjemahan : “..pergi kamu daripada aku sesungguhnya kamu tidak ditimpa
dengan musibahku dan kamu tidak mengetahuinya..”
Ya! Sememangnya ucapan begitu tidak patut dilontarkan kepada seorang
insan paling mulia Rasulullah SAW, namun lihatlah bagaimana musibah menggoncang
iman seseorang insan dan halusnya kejahatan masuk. Sebenarnya wanita tersebut
tidak mengetahui kepada siapa yang beliau ucapkannya, setelah diberi tahu, dia
terus rasa bersalah dan pergi berjumpa Baginda SAW untuk mohon maaf. Pertemuan
diantara dia dan Baginda SAW ini memberi manfaat yang besar pada ummat
seluruhnya hari ini tentang hakikat sabar apabila Baginda SAW bersabda padanya
:
إنما الصبر
عند الصدمة الأولى
Terjemahan : “..hanya sesungguhnya sabar itu ketika kejutan yang pertama.”(sahih.
Riwayat al-Bukhari)
Hadith yang mulia ini sangat penting untuk ummat dalam berinteraksi
dengan musibah.
Musibah dan perisai muslim
Apakah perisai seorang muslim ketika ditimpa musibah? Sebagaimana yang
keluar daripada mulut Rasulullah SAW, itulah dua perisai ampuh dalam berdepan
dengan musibah iaitu Taqwa dan Sabar. Setinggi-tinggi darjat kesabaran itu
adalah pada kejutan pertama musibah itu datang, kerana insan tidak mampu
berbuat apa-apa ketika musibah menimpa melainkan sabar namun yang membezakan
antara sabar seseorang dengan yang lain adalah pada kejutan pertama musibah itu
datang.
Seketika syaitan sentiasa mencari-cari peluang untuk menyesatkan
manusia, tidak terkecuali ketika manusia yang beriman itu ditimpa musibah.
Bagaimana?
Itulah syaitan akan mengheret manusia daripada “zon” kesabaran kepada “zon”
putus asa daripada rahmat Tuhan. Oleh yang demikian, kerana hamba yang beriman
itu tidak dibiar berjalan begitu sahaja tanpa diuji, mereka akan diuji, maka
Taqwa dan Sabar bagai “jaket kebal” bukan sahaja untuk berhadapan dengan
musibah bahkan jarum halus syaitan dari arah yang tidak diduga-duga itu.
Biarkanlah air mata mengalir ketika diberi musibah, kerana insan adalah
insan, namun jangan sekali-kali keyakinan memburuk sangka keputusan Tuhan.
Harapan
Islam agama yang memberi harapan pada insan. Allah SWT Maha Pengasih terhadap
hamba-hambaNya dan sentiasa menyantuni hamba-hambaNya. Seketika syaitan sering
menyeru manusia agar putus asa pada rahmat Tuhan, sebaliknya Allah sentiasa
memberi harapan dan rahmatNya terhap manusia.
لا تقنطوا من
رحمة الله
Terjemahan : “..jangan kamu putus asa daripada rahmat Allah..”~al-Zumar,53
Sungguh putus asa daripada rahmat Allah SWT itu besar kesannya, barangkali
seseorang boleh kufur, akibat hilangnya taqwa dan sabar dalam diri. Betapa ramai
kita lihat manusia bunuh diri kerana putus harapan. Maka Allah SWT sentiasa
bersama orang-orang yang sabar, firmanNya :
يا أيها الذين
آمنوا استعينوا بالصبر والصلاة إن الله مع الصابرين
Terjemahan : “Wahai orang-orang yang beriman mohonlah pertolongan dengan
sabar dan solat sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”~al-Baqarah,153
Rintihlah kepada Allah SWT didalam doa, dikeheningat malam dimana waktu
mustajabnya doa, rintihlah dengan serintih-rintihnya. Dimanakah kekuatan jiwa
yang sebenar itu jika tidak disandarkan pada Yang Maha Kuat?
Agar diri sentiasa gagah, hadapilah kehidupan yang singkat ini
berpaksikan Tuhan yang Maha Perkasa.
Jatuhlah dalam harapan dan rahmat Tuhan.
No comments:
Post a Comment