Thursday, 5 June 2014

Jatuhlah dalam harapan dan rahmat Tuhan

ABU FAROOQ NIK MUHAMMAD

Mungkin ada dalam kalangan kita pernah ditimpa satu musibah, yang mana musibah itu telah menggoncang iman terhadap Tuhan. Muncullah ucapan-ucapan seperti “apakah salah aku?” atau “apa dosaku sehingga aku diuji begini?” atau seumpama dengannya. Samada ucapan itu diungkap dalam keadaan sedar atau tidak, sebenarnya ia telah mengeluarkannya daripada zon kesabaran dan pergi kepada zon putus asa dengan rahmat Tuhan.

Didalam riwayat yang sahih oleh al-Bukhari, menceritakan kisah yang menarik telah berlaku dizaman Rasul al-Amin Muhammad SAW dimana ketika Baginda SAW melintasi seorang wanita yang sedang menangis disisi satu kubur (dalam riwayat lain ia adalah kubur anaknya), maka Baginda Nabi SAW secara ringkas menasihatinya dengan berkata :

اتقي الله واصبري
Terjemahan : “bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah..”(sahih. Riwayat al-Bukhari)


Hakikat sabar
Sebahagian orang apabila dinasiti demikian agar bertaqwa kepada Allah dan bersabar atas ujian yang menimpa, mereka katakan “kamu tak tahu, aku yang kena musibah ini”, atau “kamu tak faham penderitaan aku,” atau “cakap memang mudah..” dan lain-lain lagi.

Berbalik kepada hadith yang saya sebutkan pada awal tadi sebenarnya hadith itu tidak berhenti disitu, apa kata wanita yang dinasihati oleh Baginda SAW itu? Kata dia kepada Baginda SAW :

إليك عني فإنك لم تصب بمصيبتي ولم تعرفه
Terjemahan : “..pergi kamu daripada aku sesungguhnya kamu tidak ditimpa dengan musibahku dan kamu tidak mengetahuinya..”

Ya! Sememangnya ucapan begitu tidak patut dilontarkan kepada seorang insan paling mulia Rasulullah SAW, namun lihatlah bagaimana musibah menggoncang iman seseorang insan dan halusnya kejahatan masuk. Sebenarnya wanita tersebut tidak mengetahui kepada siapa yang beliau ucapkannya, setelah diberi tahu, dia terus rasa bersalah dan pergi berjumpa Baginda SAW untuk mohon maaf. Pertemuan diantara dia dan Baginda SAW ini memberi manfaat yang besar pada ummat seluruhnya hari ini tentang hakikat sabar apabila Baginda SAW bersabda padanya :

إنما الصبر عند الصدمة الأولى
Terjemahan : “..hanya sesungguhnya sabar itu ketika kejutan yang pertama.”(sahih. Riwayat al-Bukhari)

Hadith yang mulia ini sangat penting untuk ummat dalam berinteraksi dengan musibah.

Musibah dan perisai muslim
Apakah perisai seorang muslim ketika ditimpa musibah? Sebagaimana yang keluar daripada mulut Rasulullah SAW, itulah dua perisai ampuh dalam berdepan dengan musibah iaitu Taqwa dan Sabar. Setinggi-tinggi darjat kesabaran itu adalah pada kejutan pertama musibah itu datang, kerana insan tidak mampu berbuat apa-apa ketika musibah menimpa melainkan sabar namun yang membezakan antara sabar seseorang dengan yang lain adalah pada kejutan pertama musibah itu datang.

Seketika syaitan sentiasa mencari-cari peluang untuk menyesatkan manusia, tidak terkecuali ketika manusia yang beriman itu ditimpa musibah.

Bagaimana?

Itulah syaitan akan mengheret manusia daripada “zon” kesabaran kepada “zon” putus asa daripada rahmat Tuhan. Oleh yang demikian, kerana hamba yang beriman itu tidak dibiar berjalan begitu sahaja tanpa diuji, mereka akan diuji, maka Taqwa dan Sabar bagai “jaket kebal” bukan sahaja untuk berhadapan dengan musibah bahkan jarum halus syaitan dari arah yang tidak diduga-duga itu.

Biarkanlah air mata mengalir ketika diberi musibah, kerana insan adalah insan, namun jangan sekali-kali keyakinan memburuk sangka keputusan Tuhan.

Harapan
Islam agama yang memberi harapan pada insan. Allah SWT Maha Pengasih terhadap hamba-hambaNya dan sentiasa menyantuni hamba-hambaNya. Seketika syaitan sering menyeru manusia agar putus asa pada rahmat Tuhan, sebaliknya Allah sentiasa memberi harapan dan rahmatNya terhap manusia.

لا تقنطوا من رحمة الله
Terjemahan : “..jangan kamu putus asa daripada rahmat Allah..”~al-Zumar,53

Sungguh putus asa daripada rahmat Allah SWT itu besar kesannya, barangkali seseorang boleh kufur, akibat hilangnya taqwa dan sabar dalam diri. Betapa ramai kita lihat manusia bunuh diri kerana putus harapan. Maka Allah SWT sentiasa bersama orang-orang yang sabar, firmanNya :

يا أيها الذين آمنوا استعينوا بالصبر والصلاة إن الله مع الصابرين
Terjemahan : “Wahai orang-orang yang beriman mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”~al-Baqarah,153

Rintihlah kepada Allah SWT didalam doa, dikeheningat malam dimana waktu mustajabnya doa, rintihlah dengan serintih-rintihnya. Dimanakah kekuatan jiwa yang sebenar itu jika tidak disandarkan pada Yang Maha Kuat?


Agar diri sentiasa gagah, hadapilah kehidupan yang singkat ini berpaksikan Tuhan yang Maha Perkasa. 

Jatuhlah dalam harapan dan rahmat Tuhan.

No comments:

Post a Comment