Thursday, 14 August 2014

Tafsir Ayat-13 surah al-Hujurat

ABU FAROOQ NIK MUHAMMAD

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Mafhumnya :
Wahai Ummat Manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua daripada lelaki dan perempuan dan  telah Kami ciptakan kamu semua pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu semua saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia (diantara) kamu semua disisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kenal. ~ al-Hujurat(49), 13


 
Tafsiran :
Allah SWT berfirman, : يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ 

mafhumnya : "Wahai Ummat Manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua daripada lelaki dan perempuan.."
Jika kita lihat pada permulaan ayat ini, Allah SWT menyeru seluruh manusia, sedangkan jika kita perhatikan ayat-ayat al-Quran yang lain, Allah SWT menyeru orang-orang yang beriman seperti " يا أيها الذين ءامنوا "(Wahai orang-orang yang beriman.."), maka dimanakah kemunasabahan pada ayat ini dalam pada Allah menyeru seluruh manusia?. Menurut al-Syeikh al-Muhaddith Mustafa al-'Adawy hafizahullah didalam karyanya berjudul al-Tashil li Ta'wil al-Tanzil bahawa kemunasabahannya adalah pada firmanNya (mafhum) "..seungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua daripada lelaki dan perempuan..". Iaitu setiap manusia umumnya berasal daripada seorang lelaki dan seorang perempuan yang melakukan persetubuhan lalu berlaku proses persenyawaan antara air mani lelaki dan perempuan, tidak terhad kepada orang-orang beriman sahaja bahkan seluruh manusia umumnya melalui proses tersebut.
 Namun tidak semua manusia dicipta daripada lelaki dan wanita, kata al-Syeikh al-Muhaddith Musatafa al-Adawy ,


بستثناء آدم عليه السلام فقد خلق من تراب، وحواء عليها السلام خلقت من ضلع، وعيسى عليه السلام خلق بكلمة : (كن) وله أم وليس له أب

"..kecuali Adam AS, dia telah dicipta daripada tanah, Hawa AS dia telah dicipta daripada rusuk, 'Isa AS dia telah dicipta dengan kalimah "kun"(jadilah) maka baginnya ibu (sahaja) tiada baginya bapa."(al-Tashil li Ta'wil al-Tanzil Surah al-Hujurat, Mustafa al-'Adawy, Dar Majid 'Asiry 1432H, hal.190)

Menurut al-Imam al-Syanqiti rahimahullah didalam karyanya Adhwa' al-Bayan bahawa pada firmanNya ini, Allah SWT ingin memberi tahu kesempurnaan kekuasaanNya dalam penciptaan manusia daripada awal kejadian manusia sehingga akhir iaitu :
1. Allah jadikan manusia tanpa bapa(lelaki) dan tanpa ibu(perempuan) iaitu Adam AS.
2. Allah jadikan manusia tanpa ibu(perempuan), sebaliknya daripada lelaki sahaja iaitu Hawa AS.
3. Allah jadikan manusia tanpa bapa(lelaki), sebaliknya daripada ibu(perempuan) sahaja iaitu Isa AS.
4. Allah jadikan manusia daripada bapa(lelaki) dan ibu(perempuan) iaitu seluruh anak Adam AS.
  
Seterusnya Allah SWT berfirman : وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ

mafhumnya : "..dan  telah Kami ciptakan kamu semua pelbagai bangsa dan bersuku-puak,.."

 Perkataan شعوب(Syu'oob) adalah perkataan jama'(plural) bagi perkataan شعب(sya'bun) iaitu membawa maksud :


الجماعة الكبيرة ترجع لأب واحد، وهو أوسع من القبيلة. الجماعة من الناس تخضع لنظام اجتماعي واحد

"Sekumpulan (manusia) yang besar merujuk kepada bapa yang satu, ia lebih besar daripada Qabilah(suku). Sekumpulan daripada manusia tertaluk kepada sistem masyarakat yang satu.."(al-Mu'jam al-Wasit)

Oleh yang demikian kita dapat fahami bahawa perkataan "sya'bun" adalah sama erti dengan perkataan "bangsa/kaum", sebagaimana yang diterjemah oleh kamus-kamus moden 'arab-melayu sekarang. Maka "bangsa" asasnya memiliki beberapa persamaan disudut sistem kemasyarakatannya seperti bahasa yang sama, adat resam yang sama, jenis pakaian yang sama, jenis makanan yang sama, dan lain-lain lagi. Allah SWT menjadikan manusia dalam keadaan pelbagai bangsa sehingga menatijahkan kewujudan pelbagai sistem kemasyarakatan yang disebutkan tadi. Apabila terdapat pelbagai bangsa, didalam sesuatu bangsa itu ada pula قبائل(qabaa'il) iaitu jama'(plural) bagi perkataan قبيلة(qabiilah) yang bermaksud "suku-puak". Sebagao contoh didalam bangsa melayu sendiri terpecah kepada pelbagai suku pula.

 Seterusnya firman Allah SWT : لِتَعَارَفُوا
mafhumnya : "..supaya kamu semua saling berkenal-kenalan.."

pada firman Allah SWT yang sebelum ini, Allah SWT beritahu bahawa umumnya manusia daripada seorang lelaki dan perempuan yang asalnya daripada Adam dan Hawa seterusnya daripada itu berkempang luas menjadi pelbagai bangsa dan suku-puak. Walaupun manusia itu diciptakan dalam pelbagai bangsa dan suku-puak, tujuannya Allah SWT beritahu disini adalah untuk saling berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain, bukannya mencari-cari perbezaan untuk meninggi diri atau berbalah, lebih-lebih lagi atas dasar bangsa atau suku-puak. Kata al-Imam Mujahid rhm dalam menafsirkan firman Allah ini, 

لتعارفوا، كما يقال فلان ابن فلان من قبيلة كذا وكذا 

"..supaya kamu semua saling berkenal-kenalan..", (iaitu) seperti dikatakan "fulan bin(anak) fulan daripada qabilah(suku) itu dan ini.."(Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, Muhammad 'Ali al-Sobuni, Dar al-Quran al-Karim, Beirut 1402H, jilid.3, hal.367)

maksud firman Allah SWT ini juga boleh diertikan dengan "..nikah menikahi.." antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Hal ini demikian kerana tidak ada jalan yang dapat untuk mengenali lebih dalam antara satu bangsa dengan bangsa yang lain lebih daripada jalan pernikahan. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berkahwin dengan suku lain seperti isterinya Sofiyah bin Huyaiy r.'anha. Saya sendiri secara peribadi pernah bertanya kepada Dr. Zubaidi hafizahullah melalui ruang bual peribadi Facebook beberapa tempoh yang lalu tentang kahwin campur(berlainan bangsa), apakah ia baik disudut kesihatan.? Ringkasnya jawapan beliau adalah baik dan digalakkan juga. Oleh yang demikian, berdasarkan ayat ini saya yang lemah ini berpendapat Islam juga menggalakkan kahwin campur(berlainan bangsa). Walaubagaimanapun ciri yang perlu diutamakan adalah yang bagus agamanya, barulah lihat kepada ciri yang disebutkan ini.

Kata al-Syeikh Abdurrahman bin Nasir al-Sa'di,

وفي هذه الآية دليل على أن معرفة الأنساب مطلوبة مشروعة، لأن الله جعلهم شعوبا وقبائل لأجل ذلك
"..dan pada ayat ini (adalah) dalil bahawa mengenali ansab(keturunan) dituntut lagi disyariatkan, hal ini demikian kerana Allah menjadikan mereka(manusia) dalam pelbagai bangsa dan suku-puak untuk tujuan itu (iaitu saling berkenal-kenalan)"(Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, Dar Ibn Hazm 1424H, hal. 767)

seterusnya Allah berfirman : إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

mafhumnya : "..Sesungguhnya semulia-mulia (diantara) kamu semua disisi Allah ialah yang paling bertaqwa.."

Sebagaimana yang Allah SWT firmankan ini, demikianlah hakikat nilai setiap manusia disisi Allah, bukanlah Allah menilai manusia menerusi bangsa, keturunan, warna kulit, jenis bahasa, dan lain-lain lagi sifat kejadian yang Allah kurniakan, sebaliknya manusia dinilaiNya dengan kadar ketaqwaan masing-masing. Kata al-Imam Ibn Kathir rahimahullah, 

أي إنما تتفاضلون عند الله تعالى بالتقوى لا بالأحساب
"..Iaitu : Hanya sesungguhnya yang lebih baik dalam kalangan kamu semua disisi Allah SWT adalah dengan ketaqwaan bukan dengan kemuliaan asal-usul atau keturunan."(Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, Muhammad 'Ali al-Sobuni, Dar al-Quran al-Karim, Beirut 1402H, jilid.3, hal.367)

Daripada Abu Hurairah r.a, Sabda Rasulullah SAW : 
إن الله لا ينظر إلى صوركم وأموالكم ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa-rupa kamu dan harta-harta kamu, sebaliknya Dia melihat kepada jantung hati kamu dan amalan-amalan kamu."(Riwayat Muslim dan Ibn Majah)

Suka juga saya memetik tafsiran Prof. Dr. Hamka didalam karyanya Tafsir al-Azhar bekenaan firman Allah ini, kata beliau, 

"..kemuliaan sejati yang dianggap bernilai oleh Allah lain tidak adalah kemuliaan hati, kemuliaan budi, kemuliaan perangai, ketaatan kepada Ilahi. Hal ini dikemukakan oleh Tuhan dalam ayat ini, untuk menghapuskan perasaan setengah manusia yang hendak menyatakan bahawa dirinya lebih dari yang lain, kerana keturunan, bahawa dia bangsa raja, orang lain bangsa budak(hamba). Bahawa dia bangsa keturunan 'Ali bin Abi Thalib dalam perkahwinannya dengan Siti Fatimah anak perempuan Rasulullah, dan keturunan lain lebih rendah dari itu.."(Tafsir al-Azhar, Hamka, Cet. Surabaya 1982M, juz.26, hal.245)

Maksud Dr. Hamka rhm adalah, ada dalam kalangan manusia yang hanya melihat kepada luaran sahaja termasuklah keturunan, bangsa, harta benda, dan lain-lain lagi untuk dimuliakan. Padahal itu semua tidak dinilai mulia oleh Allah SWT pun. Kata beliau lagi, 

".. Kerana agama dan budi timbul dari sebab taqwa kepada Allah, maka taqwa itulah yang meninggikan gengsi dan martabat manusia. Tetapi setengah manusia tidak memperdulikan agama itu. Dia hanya mempeturutkan hawa nafsu kerana mempertahankan keturunan; seorang anak perempuan bangsa Syarifah, tidak boleh kahwin dengan laki-laki yang bukan Sayid, walaupun laki-laki itu beragama yang baik dan berbudi yang terpuji... sehingga diamlah dalam seribu bahasa kalau terjadi hubungan di luar nikah, dan ributlah satu negeri kalau ada pemuda yang bukan Sayid padahal dia berbudi dan beragama, kalau dia mengahwini seorang Syarifah.."(Tafsir al-Azhar, Hamka, Cet. Surabaya 1982M, juz.26, hal.246)

 akhir sekali Allah SWT berfirman : إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
mafhumnya : "..Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kenal."

Menurut guru kami Syeikhul Hadith fi Dar al-Uloom, Maulana Abdul Hadi  hafizahullah, sifat Allah عليم(Maha Mengetahui) iaitu Allah mengetahui sebesar-besar perkara yang zahir mahupun yang batin(tersembunyi) manakala خبير(Maha Kenal) iaitu Allah SWT mengenali sekecil-kecil perkara yang zahir mahupun yang batin.

Boleh juga difahami dengan, Allah mengetahui dengan pengetahuan yang hakiki perihal amal perbuatan zahir dengan sifatNya عليم('aliim) dan mengetahui dengan pengetahuan yang hakiki perihal keadaan yang batin(tersembunyi) dengan sifatnya خبير(khabir). 

Wallahu a'lam.

~abu farooq

9 comments:

  1. semoga bermanfaat. terima kasih.

    ReplyDelete
  2. terima kasih, semoga bermanfaat.

    ReplyDelete
  3. boleh saya thu sumber carian ni dalam buku ape?

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya telah sertakan setiap rujukan selepas menyebut pendapat/ucapan ulama disitu.

      Delete
  4. Terangkan intisari dari ayat di atas boleh kahh sbb mau buat modul

    ReplyDelete
  5. الحمد لله على بنعمه تتم الصالحات يا حبيب، بارك الله فيك!

    ReplyDelete