Friday, 10 October 2014

Fiqh Dalam Memuji Seseorang



ABU FAROOQ NIK MUHAMMAD

1.      عن أبي موسى ألأشعري رضي الله عنهه قال سمع النبي صلى الله عليه وسلم رجلا يثنى على رجل ويطريه في المدحة, فقال : أهلكتم أو قطعتم ظهر الرجل. (متفق عليه)
Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.’anhu, beliau berkata : “Nabi SAW mendengar seorang lelaki memuji atas seseorang dan dia berlebihan dalam memujinya, maka (Nabi) bersabda : “kamu telah membinasakan  atau mematahkan belakang lelaki itu”(muttafaqun ‘alaih. Riyadh al-Solihin, Dar Ibn Kathir 2007M, tahqiq Dr. Maher Yasin al-Fahl, hal.495)

2.      عن أبي بكرة رضي الله عنه أن رجلا ذكِرَ عند النبي صلى الله عليه و سلم، فأثنى عليه رجل خيرا، فقال النبي صلى الله عليه و سلم : ويحك قطعت عنق صاحبك. يقوله مرارا. و إن كان أحدكم مادحا لا محالة، فليقل : أحسب كذا و كذا و إن كان يرى أنه كذالك، و حسيبه الله، ولا يزكي على الله أحد.( متفق عليه)
Daripada Abu Bakrah r.’anhu, bahawa seorang lelaki disebut disisi Nabi SAW, lalu telah memuji keatasnya oleh seseorang (dengan) kebaikan, maka Nabi SAW bersabda : “Aduhai kamu! Kamu telah mematahkan leher sahabat kamu. Baginda ulang beberapa kali. Jika sekiranya salah seorang diantara kamu memuji, tidak dapat tidak sebutlah “aku mengira itu dan ini..” sekiranya  dia menyaksikan demikian itu. Allahlah menghitungnya, dan jangan dipuji seseorangpun melebihi Allah.”(muttafaqun ‘alaih. Riyadh al-Solihin, Dar Ibn Kathir 2007M, tahqiq Dr. Maher Yasin al-Fahl, hal.496)

3.      عن همام بن الحارث عن المقداد رضي الله عنه : أن رجلا جعل يمدح عثمان رضي الله عنه, فعمد المقداد فجثا على ركبتيه, فجعل يحثو في وجهه الحصباء. فقال له عثمان : ما شأنك؟ فقال : إن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا رأيتم المداحين فاحثوا في وجوههم التراب. (رواه مسلم)
Daripada Hammam bin al-Harith, daripada al-Miqdad r.’anhu, bahawa seorang lelaki memuji ‘Uthman, lalu al-Miqdad bangun dan duduk atas kedua lututnya, lalu beliau(al-Miqdad) menabur di wajahnya batu-batu kecil. ‘Uthman berkata kepadanya : “apa hal kamu?” Maka dia(al-Miqdad) berkata : “sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “apabila kamu melihat orang-orang yang memuji maka taburlah diwajah mereka dengan pasir””(riwayat Muslim. Riyadh al-Solihin, Dar Ibn Kathir 2007M, tahqiq Dr. Maher Yasin al-Fahl, hal.496)



Syarah
Al-Imam al-Nawawi rahimahullah telah mengumpulkan ketiga-tiga hadith diatas dibawah satu bab didalam karyanya berjudul Riyadh al-Solihin, iaitu :
باب كراهة المدح في الوجه لمن خيف عليه مفسدة من إعجاب ونحوه وجوازه لمن أمن ذلك في حقه

Mafhum : bab makruh(tidak disukai) pujian dihadapan bagi sesiapa yang khuatir keatas orang yang dipuji itu mafsadah(kebinasaan) disebabkan rasa kagum dan seumpanya, dan dibolehkannya (memuji) bagi sesiapa yang bebas daripada itu pada haknya”(Riyadh al-Solihin, Dar Ibn Kathir 2007M, tahqiq Dr. Maher Yasin al-Fahl, hal.495)

Setelah beliau menyeraikan hadith-hadith tersebut, kata beliau :
فهذه الأحاديث في النهي, وجاء في الإباحة أحاديث كثيرة صحيحة.
“Hadith-hadith ini adalah pada (menyatakan) larangan (dalam memuji), sedang telah datang juga banyak hadith yang sahih pada (menyatakan) boleh (dalam memuji).” (Riyadh al-Solihin, Dar Ibn Kathir 2007M, tahqiq Dr. Maher Yasin al-Fahl, hal.496)

Jelaslah disini dengan kata-kata al-Nawawi rahimahullah bahawa seakan-akan telah berlaku kontradiktif dalam bab ini dimana terdapat ucapan Nabi SAW yang melarang memuji seseorang, dalam masa yang sama terdapat juga hadith-hadith yang sahih menunjukkan perbuatan Baginda SAW sendiri memuji para sahabatnya. Oleh yang demikian, al-Imam al-Nawawi rahimahullah telah bawakan pendapat ilmuan yang mana menurut mereka, jika sekiranya orang yang dipuji itu sempurna iman dan keyakinannya, tidak tertipu/terleka dengan pujian, tidak sombong apabila dipuji, atau lain-lain lagi sifat keji tidak terjadi padanya, maka tidak haram dan tidak juga makruh untuk memuji orang tersebut. Namun sekiranya khawatir keatasnya sesuatu daripada sifat keji ini berlaku, dimakruhkan memuji dihadapannya dengan makruh yang kuat (iaitu makruh yang hamper kepada haram). Demikianlah perincian yang dibuat oleh ilmuan dalam memurnikan hadith-hadith yang kelihatan seperti kontradik dalam bab ini.


Bahasa ‘Arab
Jika kita lihat pada hadith yang ketiga dalam bab ini, kita dapati antara perkataan yang disebut oleh Nabi SAW adalah المداحين(al-maddaaheen) iaitu kata jamak bagi  المداح(al-maddaah) “orang yang memuji”. Sebenarnya terdapat perkataan lain yang membawa makna hampir sama bagi “orang yang memuji” iaitu المادح(al-maadih) atau jamak baginya المادحين(al-maadiheen). Kedua-dua perkataan itu mungkin sama jika diterjemah kedalam bahasa melayu, tetapi menurut al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin rahimahullah didalam karyanya berjudul Syarah Riyadh al-Solihin bahawa “al-maddaaheen” adalah orang-orang yang memuji seseorang yang ternama, berpangkat, atau seumpanya dikhalayak ramai dengan satu pujian yang berlebih-lebihan. Manakala “al-maadiheen” adalah orang-orang yang memuji sahaja secara umum.

No comments:

Post a Comment