Saya agak pelik dengan kenyataan sebahagian pihak yang mendakwa bahawa semua hadith didalam al-Sunan al-Sittah adalah sahih atau diterima(maqbul) justeru boleh disebarkan semuanya tanpa perlu perincian takhrijnya.
Ini adalah pendapat yang sangat keliru dan sangat kurang berhati-hati dalam melontarkan kaedah.
Saya katakan begitu kerana telah terbukti didalam al-Sunan al-Sittah terdapat hadith yang dha'if. Bahkan dha'if yang berat dan teruk seperti dha'if jiddan(sangat lemah) dan maudhu'(palsu/direka).
Lebih mendukacitakan saya dan ramai lagi pihak terutama sekali para pengkaji hadith, dakwaan ini dilontarkan oleh golongan yang dipanggil sebagai 'ustaz' dalam kalangan masyarakat.
Oleh yang demikin, saya ingin bawakan disini beberapa riwayat daripada al-Sunan al-Sittah yang dha'if bahkan dha'if yang teruk.
Didalam Sunan Ibn Majah, al-Imam Ibn Majah meriwayatkan hadith dengan berkata:"telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basyar, telah menceritakan kepada kami Abu Daud, telah menceritakan kepada kami Kharijah bin Mus'ab, daripada Yunus bin 'Ubaid, daripada al-Hasan, daripada 'Utaiy bin Dhamrah al-Sa'diy, daripada 'Ubaiy bin Ka'ab, beliau berkata:"Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya bagi wudhu' itu ada Syaita (yang) dipanggil ia Walhaan, maka takutlah kalian (daripada) was-was air"(Sunan Ibn Majah, Ibn Majah, Mu`assasah al-Risalah 1430H, jil.1 hal.270)Pada sanad hadith ini menurut al-Syeikh al-Muhaddith Syu'aib al-Arnaut rhm ketika membuat tahqiq Sunan Ibn Majah terdapat 2 perawi yang bermasalah iaitu Kharijah bin Mus'ab dan 'Utaiy bin Dhamrah.
Mengenai perawi Kharijah bin Mus'ab, para nuqqad mutaqaddimin berkata seperti berikut:
Kata al-Imam Ahmad rhm :"Tidak ditulis hadithnya."
Kata 'Abdullah bin Ahmad rhm (anak kepada al-Imam Ahmad):"Aku dilarang oleh ayahku untuk aku tulis daripada Kharijah bin Mus'ab satu hadith pun,"
Kata Yahya bin Ma'in:"tidak thiqah, pendusta, lemah"
Kata al-Bukhari:"telah meninggalkannya (daripada ambil hadith) oleh Ibn al-Mubarak dan Waki'"
Kata al-Nasa`i: "lemah, tidak thiqah, matrukul hadith"
(Tahzib al-Kamal, Jamaluddin al-Mizzi, Mu`assasah al-Risalah 1407H, jil.8 hal.18-20)
al-Tirmizi mendha'ifkannya didalam al-Jami' beliau.(al-Jami' al-Tirmizi, al-Tirmizi, Dar al-Gharb al-Islamiy 1996M, jil.1 hal.101)
Oleh yang demikian, hadith ini tidak sahih disisi muhaddith mutaqaddimin seperti al-Imam al-Tirmizi rhm bahkan sebagaimana dapatan saya, tidak ada juga muhaddith muta'akhirin yang mesahihkannya.
Maka al-Syeikh al-Muhaddith Syu'aib al-Arnaut rhm menyebut mengenai hadith ini dalam takhrijnya:
"sanadnya dha'if jiddan(sangat lemah), (perawi) Kharijah bin Mus'ab adalah matrukul hadith, dan 'Utaiy bin Dhamrah padanya jahalah."(Sunan Ibn Majah, Ibn Majah, Mu`assasah al-Risalah 1430H, jil.1 hal.270)Maka setakat ini sahaja kita sudah dapati bahawa didalam Sunan Ibn Majah dan al-Jami' al-Tirmizi terdapat hadith yang dha'if.
Contoh lain daripada Sunan Ibn Majah, kata al-Imam Ibn Majah rhm:"telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Musaffa al-Himsiy, telah menceritakan kepada kami Baqiyyah, daripada Muhammad bin al-Fadhl, daripada bapanya (al-Fadhl), daripada Salim, daripada Ibn 'Umar beliau berkata:"Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki sedang berwudhu`, lalu Baginda bersabda:
"Jangan membazir! jangan membazir!""(Sunan Ibn Majah, Ibn Majah, Mu`assasah al-Risalah 1430H, jil.1 hal.212)Hadith ini dengan sanad sebegini maudhu'(palsu) kerana didalam sanadnya terdapat perawi bernama Muhammad bin al-Fadhl. Sebagaimana menurut al-Imam al-Zahabi rhm didalam al-Jarh wa al-Ta'dil bahawa telah sepakat para nuqqad mutaqaddimin bahawa beliau dha'if lagi matruk.
kata al-Imam Ahmad rhm mengenai Muhammad bin al-Fadhl:"tidak terpakai, hadithnya adalah hadith daripada para pendusta"(Tahzib al-Kamal, Jamaluddin al-Mizzi, Mu`assasah al-Risalah 1407H, jil.26 hal.282)
Saya kira dengan dua hadith diatas sudah cukup untuk membatalkan kaedah yang keliru segelintir orang bahawa "semua hadith didalam al-Sunan al-Sittah adalah sahih(maqbul), boleh disebarkan tanpa perincian semuanya".
Bagi mereka yang musykil mengenai tindakan para muhaddith dalam kalangan mutaqaddimin meletakkan hadith-hadith dha'if dalam karya mereka, akan saya kongsikan pencerahan daripada kemusykilan itu pada masa akan datang insya-Allah. Namun untuk peringatan awal, tidak layak untuk sesiapapun mengatakan mereka jahil mengenai hadith-hadith dha'if tersebut justeru itu mereka meletakkannya didalam karya mereka. Ini satu kekeliruan yang nyata. Mereka memang sengaja meletakkannya atas beberapa sebab yang akan saya kongsikan kelak.
Allah Maha Tahu.
Abu Farooq,
Alor Setar, Kedah,
No comments:
Post a Comment