Tuesday, 12 December 2017

Tafsir ayat 21, surah ar-Room

Dalam seminggu ini saya tidak dapat “move on” dengan ayat 21 daripada surah ar-Room ini, ketika bersendirian teringat ayat ini, ketika diatas motosikal teringat ayat ini, ketika ingin memandu teringat ayat ini. Pendek kata, ayat ini meng’hantu’i saya seminggu ini dimana sahaja.

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ – 30:21

Allah SWT berfirman:
“Dan diantara tanda-tanda (kekuasaan)Nya ialah, Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan(suami/isteri) daripada (jenis) kamu sendiri, supaya kamu (merasa) tenang kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu mawaddah dan rahmah, Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”~ ar-Room, 21.


Saya tahu dan sedar ayat ini biacara mengenai kebesaran Allah SWT dalam mengatur hidup manusia yang berlainan jantina, hidup berkeluarga, berkasih dan bercinta, membangun keluarga. Namun ayat ini masih mengheret saya untuk membuka semula lembaran-lembaran kitab tafsir al-Quran agar dapat mencukil apa yang tersirat daripada apa yang tersurat, antaranya Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Sa’di, dan Tafsir Ibn Soleh al-‘Uthaimin.

Kitab-kitab tafsir dalam simpanan saya, cumanya saya sedih nota saya ketika menuntut ilmu tafsir al-Quran bersama guru kami Maulana Abdul Hadi hfz saya tinggal di perpustakaan kecil saya di Kota penuh duka, Alor Setar.

Saya hanya ingin tumpu kepada beberapa poin untuk disusun tafsirnya:
-       “..supaya kamu (merasa) tenang kepadanya..”
-       “..mawaddah..”
-       “..rahmah..”

“..supaya kamu (merasa) tenang kepadanya..”

Al-Quran sangat ‘precise’. Inilah ‘tips’ yang paling agung dalam memilih pasangan. Kita merasa tenang melihatnya, tenang ketika berbicara dengannya, tenang berada disampingnya. Ia sangatlah subjektif, sehingga setiap insan yang melewati ayat yang mulia ini akan faham apakah  sepatutnya jiwa perlu rasa tatkala pemilihan bercelaru? Pilihlah yang kalian “merasa tentang”.

“..mawaddah..”

Kata al-Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin rhm:
المودة: خالص الحب
“al-mawaddah: cinta suci.”
(rujuk: Tafsir al-Quran al-Karim, Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Mausu’ah al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin 1436H, hal. 109)

Ya, cinta suci. Menurut guru kami Dr. Mohd ‘Asri hfz, mawaddah itu cinta yang berkehendak kepada seks. Demikian hal sebabnya maksud ‘nikah’ didefinisikan didalam kitab-kitab fiqh sebegitu.
Adakah berpasangan hanya berbekalkan cinta suci? Seks?

“..rahmah..”

Jika sebuah pernikahan hanya berkisar pada cinta suci dan seks, maka manusia tidak berpasangan melainkan hanya diusia mereka muda sahaja. Apabila sudah menginjak umur 60-an, 70-an, cinta suci tidak lagi mampu lagi membawa kepada kemuncaknya iaitu seks.

Namun bekalnya apa sebuah pasangan itu kekal walaupun usia menginjak hampir ke hujung nyawa?
Berbekalkan ‘rahmah’.

Kata al-Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin rhm:
الرحمة:الرأف، والحنو، والعطف
“al-Rahmah: kasihan, simpati, kasih”
(rujuk: Tafsir al-Quran al-Karim, Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Mausu’ah al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin 1436H, hal. 109)

Ya! Maka selain cinta suci yang tidak lagi dapat berlabuh di hamparan seks, pasangan tua kekal berpasangan diatas ‘rahmah’. Si suami melihat si isteri dalam keadaan lemah dengan penuh ‘rahmah’. Perasaan dan pandangan kasihan, simpati, dan kasih kerana sanggup hidup sejak awal pernikahan bersama, dan demikian sebaliknya.

Inilah intipati kepada kehidupan berpasangan.


Sebelum menyelak lembaran-lembaran buku berjudulkan “kebahagian rumahtangga”, marilah disini sebentar, merenung apa kata si Pemberi kebahagian.

No comments:

Post a Comment