Tuesday, 26 March 2013

"Jenazah" samada aku dahulu, atau mereka

ABU FAROOQ  NIK MOHAMAD SYAZRIN


Alhamdulillah pada 23hb-24hb Mac 2013 yang lepas saya berkesempatan menghadiri sebuah program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim (IQ) Pulau Pinang iaitu Pengurusan Jenazah Dari Kacamata Sunnah. Program yang dibimbing oleh guru kami Ustaz Muhammad Abdul Kadir bin Sahak telah membawa kepada kami beberapa faedah khususnya bekenaan pengurusan jenazah.



Mati sebuah kepastian
Ya! Kematian adalah sebuah kepastian yang tidak dapat disangkal lagi oleh sesiapapun. Tidak kira samada seseorang itu muslim atau selainnya, setiap individu yang berakal sihat pasti meyakini akan kematian. Yang menjadi perbezaan antara muslim dan selainnya dalam konteks kematian ini bahawa, muslim meyakini bahawa selepas kematian (di dunia) akan beralih insan daripada alam dunia ke alam barzakh lalu ke alam akhirat. Sudah pasti bahawa alam akhirat itu lebih baik dan kekal sebagaimana firman Allah SWT,

“dan akhirat itu lebih baik dan kekal”~al-A’la,17


Nabi SAW juga memberi wasiat kepada kita agar memperbanyakkan mengingati mati. Sabda Nabi SAW,

“Banyakkanlah daripada mengingati pemutus kelazatan (iaitu kematian)”(riwayat An-Nasa’I dan Ibn Majah. Disahihkan oleh al-Albani didalam Sahih an-Nasa’I dan Sahih Ibn Majah. Demikian juga an-Nawawi didalam al-Azkar)

Apakah faedah kepada mengingati “pemutus kelazatan (dunia)”? Manusia akan terarah dan semakin jelas hala tuju sehingga seorang mukmin akan cuba sedaya upaya menjauhi sebarang hal/pekerjaan yang dapat memberinya mudharat di akhirat dan mendekati apa yang dapat memberinya manfa’at di akhirat.


Hal yang berkaitan kematian
Sebenarnya ada banyak perkara yang saya ingin kongsikan bersama para pembaca, namun jika dimuatkan dalam tulisan ini pasti menjadi terlalu panjang lebar, namun saya cuba ringkaskan dengan mengambil bahagian yang saya kira penting untuk diambil peringatan bersama. 

            Mungkin ramai dalam kalangan kita telah mahir dan terbiasa dalam mengurus jenazah sehingga tiada kekalutan berlaku apabila terjadinya kematian tambahan pula ketika awal kematian. Namun tidak kurang juga yang belum pernah menghadapi situasi itu, dikhawatiri akan timbul kegelisahan dan sebagainya terutama sekali pada peringkat awal kematian. Disini saya kongsikan ilmu, peringatan, nasihat, tunjuk ajar, bimbingan, yang diperolehi daripada guru kami Ust. Ibn Sahak antaranya :
1. Ketika nazak.
Dituntun untuk mentalkinkan dengan lafaz “Laa ilaaha illAllah” ke telinga orang yang hampir mati. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW,

“Talkinkan orang-orang yang hampir mati dalam kalangan kamu dengan “Laa ilaaha illAllah”(riwayat Muslim)

Terdapat fadhilat(kelebihan) bagi sesiapa yang akhir ucapannya adalah kalimah tauhid itu sebagaimana yang tercantum dalam hadith, 

“..sesiapa yang akhir kalamnya dengan “Laa ilaaha illAllah”, wajib baginya syurga.”(riwayat Ahmad, Abu Daud. Dihasankan oleh al-Albani didalam Irwa’ al-Ghalil)
Talkin ini hanya dituntut bagi orang yang hampir-hampir mati, dan apabila orang itu telah menyebut kalimah itu (satu kali) sudah memadai (tidak perlu ulang). Talkin perlu diulang apabila orang yang hampir mati itu menyebut perkataan lain selepas menyebut kalimah tauhid sehingga menjadikan akhir kalamnya adalah kalimah tauhid.

2. Sebaik sahaja kematian.
Sebelum pergi kepada perkara-perkara yang perlu dilakukan, terlebih dahulu diingatkan bahawa tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan si mati, mati dalam keladaan “su’ul khatimah”(kematian yang buruk). Hanya kebelakangan ini ada pelbagai tanggapan dan filem-filem yang dibuat kononnya perlaku maksiat mati dalam keadaan hitam wajahnya, begitu dan begini tiada asas sama sekali, sebaliknya memburukkan lagi imej Islam.

        Setelah dipastikan bahawa seseorang itu telah mati, maka perkara-perkara yang perlu dilakukan seperti :


-       Menutup mata si mati. Hal ini perlu segera dilakukan kerana jika tidak mata akan terus terbuka hingga sukar untuk ditutup lagi. Mata yang sukar ditutup apabila telah lama dibiar terbuka sesudah mati bukan kerana petanda buruk, sebaliknya tubuh mayat apabila tiada ruh didalamnya maka organ-organnya tidak berfungsi dan menjadi kaku tambahan apabila dibiar lama.

-       Menyelimuti badan mayat. Dianjurkan bagi keluarga terdekat si mati atau mahram si mati untuk melembutkan sendi-sendi badannya yang kaku dengan menggunakan minyak. Hal ini penting demi kemaslahatan bagi para pemandi nanti untuk meratakan air di seluruh tubuh mayat.

-       Menyegerakan pengurusan pengkebumian.

-       Dibenarkan mencium mayat.

-       Perbanyakkan bersabar dan dibenarkan menangis selagi mana tidak meratap/meraung.

-       Dikebumikan mayatnya dibandar dia meninggal dunia.

-     Warisnya segera melunaskan hutangnya daripada hartanya walaupun termaksa menggunakan semuanya. Boleh juga untuk orang lain bantu membayarnya jika ada.

-       Harus memberitahu kematian, dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang.

-     Bagi yang mendengar berita kematian, hendaklah mendoakan orang yang ditimpa musibah. Dan harus mengucapkan istirja’ (innalillahi..).



Demikian sebahagian perkara yang perlu dilakukan pada peringkat awal kematian terhadap mayat. Seterusnya adalah peringkat memandikan mayat, mungkin saya akan kongsikan pada masa yang akan datang. Namun saya sebut sedikit disini orang-orang yang layak memandikan mayat :

1. suami/isteri si mati.
2. orang yang diwasiatkan oleh si mati untuk memandikannya (selagi orang-orang itu mahram dan berkesempatan).
3. ahli keluarga si mati.
4. muslimin umumnya yang merupakan mahram si mati. 


*untuk mendapatkan dalil-dalil sahih pada setiap isi yang dibangkitkan, para pembaca boleh rujuk didalam kitab :
- Ahkamu Janaa’iz oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani
- Ahkamu Janaa’iz oleh Syeikh Mustafa al-Adawi

No comments:

Post a Comment