ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN
Seperti yang semua sedia maklum bahawa sebagai seorang muslim, kita diwajibkan bersolat lima waktu sehari semalam sehinggakan setiap hari tidak dapat tidak kita akan melalui suatu waktu yang membuatkan kita perlu membaca surah al-Fatihah atau mendengar surah itu dibacakan oleh imam solat berjema'ah. Didalam surah al-Fatihah terdapat satu ayat yang terkandung didalamnya istilah "Shiratol Mustaqiim" dimana kita meminta kepada Allah SWT agar berikan kita petunjuk untuk berada diatas "Shiratol Mustaqiim". Namun apakah sebenarnya yang kita mohon itu?
Secara literalnya "shiratol mustaqiim" diterjemahkan sebagai "jalan yang lurus" atau "jalan yang tegak". Kata Prof. Dr. Hamka didalam kitab tafsirnya yang terkenal dalam kalangan masyarakat ummat Islam di malaysia iaitu Tafsir Al-Azhar,
"..menurut keterangan sesetangah ahli tafsir (iaitu ulama tafsir), perlengkapan menuju jalan yang lurus yang dimohonkan kepada Allah itu ialah :
Pertama, (1) al-Irsyad. ertinya agar dianugerahkan kecerdikan dan kecerdasan, sehingga dapat membezakan yang salah dengan yang benar.
Kedua, (2) at-Taufiq. iaitu bersesuai hendaknya dengan apa yang dirancangkan (oleh) Tuhan.
Ketiga, (3) al-Ilham, diberi petunjuk supaya dapat mengatasi sesuatu yang sukar.
Keempat, (4) ad-Dilalah, ertinya diberi petunjuk dalil-dalil dan tanda-tanda dimana tempat merbahaya, dimana yang tidak boleh dilalui dan sebagainya.."
Prof. Dr. Hamka tidak terhenti disitu sahaja, beliau juga riwayat tentang tafsiran daripada sahabat Baginda SAW iaitu Ibn 'Abbas dan Ibn Mas'ud radhiyallahu 'anhum. Antaranya yang disebut oleh beliau bahawa Ibn 'Abbas RA menafsirkan "shiratol mustaqiim" adalah "agamaMu yang benar" sedang Ibn Mas'ud RA menyatakan "shiratol mustaqiim" adalah "Kitab Allah"(al-Quran). Selain itu, beliau turut membawakan riwayat daripada Rasulullah SAW yang mana Baginda SAW sendiri yang menafsirkan "shiratol mustaqiim".
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, at-Tirmidzi, an-Nasa'i, Ibn Jarir, Ibnul Munzir, Abu Syaikh, al-Hakim, Ibnu Mardawaih, dan al-Baihaqi.. Daripada an-Nawwas Ibn Sam'an, pernah Rasulullah SAW berkata, bahawa Allah Ta'ala telah membuat satu perumpamaan tentang "Shiratol Mustaqim" itu, bahawa di kedua belah jalan itu ada dua buah dinding tinggi. Pada kedua dinding itu ada beberapa pintu terbuka, dan di atas tiap-tiap pintu itu ada lansir penutup. Sedang di hujung jalan yang lurus (shiratol mustaqim) itu ada seorang berdiri memanggil-manggil;"wahai sekalian manusia, masuklah ke dalam shirat ini semuanya, jangan kamu berpecah-belah.", dan ada pula seorang penyeru dari atas shirat. Maka apabila manusia hendak membuka salah satu daripada pintu-pintu itu berkatalah dia;"celaka! jangan engkau buka itu! Kalau ia engkau buka, nescaya engkau akan terperosok ke dalam." Maka kata Rasulullah selanjutnya; jalan Shirat itu ialah Islam, dan kedua dinding sebelah menyebelah (di kiri dan kanan) itu ialah segala batas-batas (iaitu hukum-hukum) yang ditentukan Allah. Penyeru yang menyeru di hujung jalan itu ialah Kitab Allah (iaitu al-Quran), dan penyeru yang menyeru daripada atas itu adalah Wa'izh(Pemberi nasihat) daripada Allah yang ada dalam setiap diri muslim". Berkata Ibn Kathir didalam tafsirnya bahawa hadith ini hasan sahih.
Demikianlah yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Hamka didalam tafsirnya dengan sedikit saya alih bahasa agar mudah difahami kerana tafsirnya menggunakan bahasa melayu klasik iaitu mendekati bahasa indonesia. Oleh itu, seperti kaedah yang ditetapkan oleh al-Hafiz Ibn Kathir bahawa tafsiran yang diberikan oleh Rasulullah SAW itulah tafsiran yang tertinggi. Maka dapat difahami daripada riwayat tersebut bahawa "shiratol mustaqiim" adalah jalan yang tegak atas petunjuk daripada al-Quran. Jika Rasulullah SAW tidaklah diutuskan melainkan untuk menerangkan al-Quran, maka disimpulkan bahawa "shiratol mustaqiim" jalan yang di atas petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
Semoga kita semua diatas shiratol mustaqiim, insyaa'Allah.
No comments:
Post a Comment