ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN
Sudah beberapa bulan saya tidak
menulis, tiba-tiba rasa ingin menulis pula. Bukanlah diri ini terlalu sibuk
dengan hal-hal yang bermanfaat, tetapi mungkin saya tidak pandai mengurus masa
dengan baik dan itulah kelemahan diri ini yang perlu selalu diperbaiki.
Alhamdulillah pada bulan April 2013 yang lepas saya telah tamat pengajian dalam
bidang Kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara(UiTM) Pulau Pinang. Walaupun
keputusan saya tidaklah terlalu cemerlang, namun saya akur tanpa pertolongan
dan rahmat Allah SWT saya tidak mampu memperoleh keputusan yang begitu.
Kembara Ilmu ke
Pulau Pinang.
Sebenarnya saya
lahir di negeri Kelantan, namun menetap di Alor Setar, Kedah sudah belasan
tahun. Maka saya bersekolah rendah dan menengah juga di Alor Setar, Kedah.
Setelah saya tamat pengajian di peringkat sekolah menengah iaitu SMK Dato’ Syed
Omar saya dapat tawaran daripada UiTM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat
tinggi pula dalam bidang Mechanical Engineering (Kejuruteraan Mekanikal).
Mungkin tawaran itu tidak seberapa pada sebahagian orang, namun bagi saya ia
satu rezeki yang bernilai kerana disana tetap masih ada orang yang tidak
mendapat sebagaimana yang saya dapat. Alhamdulillah, tawaran itu saya terima
dan berangkat ke UiTM Pulau Pinang dengan perasaan yang terharu lagi
ternanti-nanti (pada Jun 2010).
Pada semester pertama saya berdiri
membacakan puisi bahasa enggeris di dataran awam UiTM P.Pinang
Saya amat
meminati bidang kejuruteraan sejak peringkat sekolah menengah lagi, dan
bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera yang mahir suatu hari nanti. Oleh
itu, kembara saya ke Pulau Pinang selain daripada berbekalkan ilmu sains
fizikal dan metamatik yang memenuhi kelulusan untuk bidang itu, kembara saya
itu juga bersama semangat dan keinginan saya yang tinggi untuk belajar.
Saya sedang menjalani ekseprimen bagi
subjek sains fizikal. UiTM P.Pinang
Selain daripada
subjek-subjek yang berkaitan dengan pengajian kejuruteraan, UiTM menetapkan
juga subjek-subjek agama Islam (Islamic Thought) yang mana termasuk dalam
silibus pengajian yang wajib dipelajari dan diambil kira dalam permakahan akhir
semester. Bagi saya itu adalah satu usaha yang baik yang dilakukan oleh pihak
UiTM (mungkin university yang lain juga) kerana pengajian agama Islam tidak
dipisahkan dengan pengajian lain justeru dapat mempelajarinya walaupun seorang
pelajar kejuruteraan. Oleh kerana terdapat subjek pengajian Islam maka wujudlah
Islamic Center (Pusat Islam) yang berfungsi sebagai menyebar luas kefahaman
Islam dan disitulah berkumpulnya tenaga pengajar (para ustaz/ustazah).
Alhamdulillah, selain daripada menghadiri kelas pengajian Islam didalam kelas
(secara silibus), saya mengambil peluang untuk memenuhi tempat duduk di Pusat
Islam yang diadakan majlis ilmu agama hampir setiap malam selepas solat marghrib. Maka pada saya,
tidak wajar bagi seorang pelajar dalam bidang kejuruteraan sekalipun beralasan
tidak mengetahui perihal agama Islam kerana bukan pelajar dalam bidang
Pengajian Islam secara khusus sedang Pusat Islam begitu dihidupkan dengan
majlis ilmu.
Semangat saya
untuk belajar di UiTM P.Pinang semakin bertambah dek kerana persekitaraan yang
amat-amat baik dengan kelas pengajian yang seimbang rohani dan jasmani tidak
dapat saya gambarkan kenikmatan yang saya perolehi daripda Allah SWT itu
(Alhamdulillah), hari demi hari saya di UiTM Pulau Pinang memupuk semangat itu
dengan menghadiri kelas pengajian agama secara rutin dikelas mahupun di Pusat
Islam setiap selepas solat marghrib bahkan minat saya untuk mempelajari agama
Islam dengan lebih dalam timbul sedikit demi sedikit.
Pada semester dua saya(kiri) dan
rakan(Yazid) sekelas, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM P.Pinang.
Pertubuhan
Kebajikan al-Qayyim (Institut al-Qayyim) P.Pinang
Seiring dengan
semangat saya untuk menuntut ilmu agama Islam itu, saya usaha mencari
majlis-majlis ilmu agama diluar kampus pula memandangkan saya sudah
berkenderaan ketika itu seperti di masjid-masjid dan surau-surau yang
berdekatan dengan kampus. Malahan pernah saya pergi ke masjid Negeri Pulau
Pinang untuk menghadiri kuliah pengajian agama yang agak jauh dari kampus. Pada
hujung semester ke-3 (2011) saya ditunjukkan oleh seorang saudara yang amat
baik (iaitu Abg Zainal) untuk menghadiri kuliah pengajian syarah(keterangan)
hadith di Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim (institute al-Qayyim,IQ) yang terletak
di Mengkuang, P.Pinang (tidak jauh dari kampus UiTM P.Pinang). IQ adalah sebuah
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diasaskan oleh Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin,
beliau merupakan pensyarah dalam Pengajian Islam di USM P.Pinang juga tenaga
pengajar di IQ. Tidak lupa juga bekas pengerusi IQ dan juga tenaga pengajar IQ
Ustaz ‘Abd al-Rasyid Idris lulusan dari Universiti al-Urduniyyah, Jordan.
Alhamdulillah keberadaan mereka disitu, saya banyak mengambil ilmu daripada
mereka.
Saya(kiri) bersama guru saya yang amat
saya kasihi Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Di situlah
semangat yang sedia ada untuk mendalami ilmu agama semakin bertambah dan
bertambah terutama sekali dalam bidang hadith. Di situ jugalah saya mula
mengkaji sumber agama Islam iaitu al-Quran dan Hadith dengan lebih mendalam
lagi berbanding sebelumnya. Di situ jugalah saya mempelajari ilmu-ilmu alat
untuk memahami al-Quran dan Hadith seperti ‘Uluum al-Hadith dan Ushuul al-Fiqh.
Di IQ juga saya melibatkan diri dalam latihan dakwah pada non-muslim dan
perbandingan agama yang dianjurkan oleh pihak IQ sendiri. Di situ jugalah saya diajar untuk menerima pendapat-pendapat yang lain dalam kalangan 'ulama Ahl as-Sunnah wa Al-Jama'aah dan meraikan perbezaan pendapat dalam kalangan 'ulama. al-Quran dan as-Sunnah menjadi teras dalam segala hal dengan melihat kepada pencerahan terhadap al-Quran dan as-Sunnah daripada pelbagai 'ulama Ahl as-Sunnah wa al-Jamaa'ah. Sungguh banyak
kenangan saya berada di IQ, jika hendak dicoretkan semua disini mungkin
menjadikan tulisan ini terlalu panjang, namun saya sedia menerima kunjungan
untuk menceritanya secara peribadi jika ada yang mahu.
Saya bersama rakan-rakan di IQ juga
merupakan pelajar ijazah sarjana muda di UiTM P.Pinang. dari kiri saya, izdi,
dan azzam.
Berubah
Haluan Pengajian
Pada April 2013
tamat sudah pengajian Kejuruteraan di UiTM P.Pinang iaitu selama 6 semester
(iaitu hampir 3 tahun). Saya telah berazam untuk menyambung pengajian, namun
tidak lagi dalam bidang kejuruteraan sebaliknya dalam bidang pengajian Islam
khususnya bidang hadith. Sebenarnya keinginan ini timbul sejak saya berada pada
semester ke-3 lagi (ketika di UiTM), namun ada beberapa faktor penghalang untuk
saya tinggalkan pengajian kejuteraan itu di tengah jalan lalu meneruskannya
sehingga tamat (alhamdulillah). Berubah haluan ke pengajian Islam bukan
bermakna saya tidak lagi meminati ilmu kejuruteraan, hanya saja minat terhadap
pengajian hadith lebih tinggi daripada pengajian kejuruteraan dan pada saya
pengajian hadith lebih memberi saya inspirasi, motivasi, dan ketenangan.
Kini saya
sedang membuat persiapan untuk ke Mesir (insyaa’Allah) untuk merialisasikan
kehendak saya itu. Suka juga disini saya berkongsi dengan para pembaca
hadith-hadith Nabi SAW yang membuatkan saya semakin semangat untuk mendalami
ilmu pengajian Islam. Antaranya :
Rasulullah SAW
bersabda,
“Sesiapa yang
Allah inginkan kebaikan daripadanya, difahamkannya dalam (ilmu) agama”(sahih:
riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW
bersabda,
“..sesiapa yang
menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah mudahkan baginya jalan ke
syurga..”(sahih:riwayat muslim dan selainnya)
Sebenarnya
sungguh banyak ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW yang menjadi
faktor kepada keinginan dan semangat saya untuk mempelajari agama Islam secara
khusus dan terus mengkaji kedua-dua sumber yang agung itu secara terperinci.
Semoga para pembaca yang budiman sekalian mendoakan kejayaan saya kelak. Hanya Allah SWT Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata.
Sebahagian daripada buku-buku rujukan
saya dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal (Aeroangkasa). Mungkin tidak lagi saya
rujuk, namun saya menyanginya.
Abu Farooq,
25 Ramadhan 1434
Alor Setar, Kedah





Selamat maju jaya. Insyaa Allah
ReplyDeleteameen. t.kasih
Delete