Monday, 5 August 2013

Syi'ah dan Malaysia



ABU FAROOQ NIK MUHAMMAD SYAZRIN


Dewasa ini Malaysia dihebohkan dengan isu syi’ah. Ramailah yang bercerita mengenainya, ada juga yang tidak tahu apa-apa, ada juga yang tidak mahu ambil peduli langsung, ada juga hanya berdiam diri, dan ada juga yang mencari dan mengkaji. Saya masih ingat dahulu, Syi’ah merupakan satu fahaman yang diiktiraf sebagai satu mazhab sehingga sesiapa yang berfahaman syi’ah ketika itu dianggap biasa dan boleh mengamalkan fahamannya itu, malah tidak mendapat perhatianpun oleh masyarakat Islam Malaysia secara umumnya sebagaimana yang berlaku sekarang. Pada hari ini yang berlaku adalah sebaliknya, fahaman Syi’ah tidak lagi dianggap sebagai satu cabang mazhab yang diiktiraf dalam Islam oleh sebahagian pihak malah ada pihak yang meletakkan mereka pada satu agama baru selain Islam. Walaubagaimanapun, ia adalah lebih baik malah boleh dikatakan satu peningkatan dalam pemikiran umat Islam di Malaysia sekarang kerana mula mencari kebenaran disebalik kekaburan.

Apakah kita telah kenal Syi’ah?
Bagi saya, jika ingin meletakkan syi’ah sebagai salah satu cabang mazhab, maka lebih tepat syi’ah diletakkan didalam cabang mazhab ‘aqidah(pegangan) sebagaimana terdapat mazhab ‘aqidah yang lain contohnya muktazilah, qadariyah, murji’ah, dan lain-lain lagi, ia bukanlah cabang mazhab fiqh (seperti mazhab 4 imam). Hal ini demikian kerana, perbezaan yang wujud antara Syi’ah dan Ahlus Sunnah Wal Jama’aah(ASWJ) tidak terbatas sekadar perkara-perkara furu’iyyah(cabang) seperti perbezaan pendapat dalam kalangan para Imam mazhab, bahkan perbezaan turut wujud dalam perkara-perekara usuliyyah(asas) yang mana ia tidak boleh diperselisihi sehingga menyebabkan terkeluar daripada Islam. 

Syi’ah sebenarnya satu golongan yang telah wujud lama iaitu setelah wafatnya Rasulullah SAW, Abu Bakar as-Siddiq dan ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu ‘anhuma. Ia muncul ketika di akhir kepimpinan khalifah ‘Utsman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu apabila muncul seorang Yahudi bernama ‘Abdullah bin Saba’. Di telah membawa ideologi baru bahawa ‘Ali bin Abi Tolib radhiallahu ‘anhu lebih mulia daripada sahabat-sahabat Nabi yang lain dan ‘Ali bin Abi Tolid radhiallahu ‘anhu paling layak untuk menjadi pemimpin berbanding sekalian sahabat lain. Fitnah yang dibawa oleh ‘Abdullah bin Saba’ ini berterus sehinggalah terbunuhnya khalifah ‘Utsman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu. Kewujudan ‘Abdullah bin Saba’ dalam merencanakan idelogi ini telah disepakati oleh sumber-sumber ASWJ mahupun sumber-sumber Syi’ah sendiri. Malah terdapat salah satu kelompok daripada syi’ah itu golongan Saba’iyyah merujuk kepada nama “ ‘Abdullah bin Saba’ “. Walaupun terdapat sanggahan atau penafian akan kewujudan ‘Abdullah bin Saba’ itu dan peranan beliau dalam syi’ah, ia hanya muncul pada akhir-akhir ini oleh tokoh syi’ah moden. 


Khomeini salah seorang “tokoh” syi’ah yang meninggal pada tahun 1989 diberi gelaran “ayatollah”.


Hakikat Syi’ah
                Setiap firqah(golongan) yang wujud pasti memiliki ciri-ciri khas dan ciri-ciri umum baginya sehingga  boleh didefinasikan dan boleh dikenalpastikan. Seperti yang telah disebutkan bahawa syi’ah sangatlah berbeza dengan ASWJ apabila ia dilihat disudut ‘aqidah(pegangan) mereka bahkan sungguh terdapat banyak perbezaan ‘aqidah antara Syi’ah dan ASWJ. Oleh kerana saya tidak mahu menjadikan artikel ini terlalu panjang, maka cukup bagi saya untuk bawakan 2 ‘aqidah mereka daripada sumber-sumber rujukan mereka sendiri sehingga pembaca boleh menilai dimanakah sepatutnya mereka diletakkan, samada zon Islam atau zon bukan Islam.
1. ‘Aqidah Syi’ah terhadap al-Quran.
Menurut Syi’ah, al-Quran yang dimiliki oleh kaum muslimin sekarang tidak lagi asli, bahkan telah dirobah oleh para sahabat Rasulullah SAW, melainkan yang ada pada ‘Ali bin Abi Tolib. Hal ini secara jelas disebut didalam salah satu kitab utama rujukan mereka iaitu Usuul al-Kafiy ditulis oleh “tokoh” Syi’ah Muhammad bin Ja’far al-Kulaini :

“sesiapa yang mendakwa bahawa ia telah menghimpun semua ayat al-quran sebagaimana ia diturunkan Allah, bererti ia telah berbohong kerana tidak seorangpun yang telah menghafal dan menghimpun semua ayat al-quran kecuali ‘Ali bin Abi Tolib dan keturunannya.”(al-Kafiy min Usuul, I/634; cetakan 1968)

Disebut juga oleh “tokoh” lain Syi’ah iaitu ‘Ali bin Ibrahim al-Qummi didalam kitabnya yang merupakan kitab tafsir tertua disisi Syi’ah menyebut didalam muqaddimahnya,
“Al-Quran di antara ayatnya ada yang memansukhkan, ada yang dimansukhkan, ada yang muhkam dan ada yang mutasyabih, ada yang umum dan ada yang khusus, ada yang terdahulu dan ada yang terkemudian, ada yang terputus dan ada yang bersambung, ada yang diletakkan satu huruf di tempat satu huruf yang lain dan di antaranya ada yang berlainan dari apa yang diturunkan oleh Allah Taala”(Tafsir Al-Qummi, Muqaddimah, jilid 1, hal.6)

2. Syi’ah berkeyakinan bahawa kebanyakkan sahabat kafir setelah wafatnya Rasulullah SAW kecuali beberapa orang sahaja yang kekal dalam iman. Mereka juga petah mencerca para Sahabat Rasulullah dan Ummahat al-Mukminin(para Isteri Rasulullah). Kata “tokoh” Syi’ah Al-Kulaini meriwayatkan dari Abu Ja’far katanya,
“Para sahabat telah menjadi murtad sepeninggalan Rasullullah SAW kecuali tiga orang daripada mereka.” Aku bertanya (kata perawi): “Siapakah yang tiga itu?” Abu Ja’far menjawab, “Miqdad bin al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al- Farisi.”(ar-Raudhah Min al-Kafi,  jil.8, hal.245)

Muhammad bin al-Baqir al-Majlasi seorang “tokoh” mereka berkata didalam Jalaa’ al-‘Uyuun,
“Sesungguhnya Abu Bakar dan ‘Umar, mereka berdua (seperti): Fir’aun dan Haamaan.”

“Tokoh” Syi’ah menganggap bahawa tafsiran surah at-Tahrim ayat ke-10 adalah mengherdik kedua isteri Nabi SAW iaitu ‘Aisyah dan juga Hafsah radhiallahu ‘anhuma. Berkata al-Qummi didalam tafsirnya “Tafsir al-Qummi” ketika menafsir ayat itu,
“Demi Allah! Yang dimaksudkan dengan kalimat “fakhaanataahumaa(lalu kedua isteri itu berkhianat)” tidak lain ialah curang atau tegasnya berbuat zina. Oleh kerana itu, hukuman had(hudud) perlu dijatuhkan kepada si Fulanah(Aisyah dan Hafsah) yang telah dilakukannnya di jalan..”


Buku ini mengungkap hakikat Syi’ah daripada sumber rujukan Syi’ah sendiri.


Pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama’ah terhadap Al-Quran dan Para Sahabat.
‘Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah terhadap al-Quran yang ada pada kaum muslimin sekarang adalah tulen sepertimana yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril AS tanpa ada perubahan atau penyelewengan daripada mana-mana pihak. Hal ini kerana, al-Quran dijamin oleh Allah SWT sendiri akan ketulenannya melalui firmanNya,

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan az-Zikr(al-Quran), dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya”~al-Hijr,9

Kata al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, “Tiada khilaf (iaitu sepakat), dalam kalangan orang-orang islam bahawa sesiapa yang menafikan al-Quran (samada) satu surah, ayat, kalimah, atau huruf ketahuilah keatasnya bahawa dia kafir”(Lam’ah al-I’tiqad Bab Al-Quran Adalah Kalam Allah, jil.1, hal.17)

Kata guru kami Dr. Abdullah Yasin hafizahullah didalam kitabnya ‘Aqidah Ahl as-Sunnah wa Al-Jama’ah, “Menurut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah : Kafir hukumnya orang yang meyakini atau menduga bahawa sebahagian daripada al-Quran yang ada sekarang ini telah berubah daripada yang aslinya, dan hukumnya sama dengan mengingkari(menafikan) keseluruhan al-Quran”(‘Aqidah Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah, Abdullah Yasin, jil.3, hal.28)

                Bekenaan para Sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’in, ASWJ mecintai kesemuanya dan memuliakan mereka sebagai ahli syurga kerana al-Quran dan Hadith sahih dengan jelas memuliakan mereka dan mengesahkan kesolehan mereka. Firman Allah SWT,

“orang terdahulu yang lebih awal memeluk Islam iaitu Muhajirin(para sahabat yang berhijrah), Ansar(para sahabat di madinah ketika peristiwa hijrah), dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir didalamnya sungai-sungai. Mereka kekal didalamnya selamanya, itulah kemenangan yang besar.”~at-Taubah, 100

Kata al-Imam Ibn Katsir (w.774) dalam menafsir ayat ini, “Alangkah celaka orang yang membenci ataupun mencerca mereka(para sahabat), ataupun mencerca dan membenci sebahagian daripada mereka. Lebih-lebih lagi membenci penghulu para sahabat selepas Rasulullah SAW meninggal dunia, yang paling baik dan afdhal dalam kalangan mereka iaitu as-Siddiq al-Akbar, khalifah yang agung iaitu Abu Bakar bin Abi Quhafah. Sesungguhnya..”(Ibn Katsir, Tafsir al-Quran al-Azhim, jil.2, hal.39)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda,
“Janganlah kamu mencerca para sahabatku. Sesungguhnya, jika ada dalam kalangan kamu membelanjankan emas sebesar Bukit Uhud sekalipun, itu tidak mencapai nilai secukap makanan atau setengahnya yang dibelanjakan oleh mereka(para sahabat)”(sahih: riwayat al-Bukhari dan Muslim)

                Sungguh banyaklah ayat-ayat al-Quran dan Hadith sahih yang memuliakan dan menjamin kesolehan para Sahabat radhialllahu ‘anhum ajma’in, namun cukup sekadar itu untuk kita mengetahui betapa jauh pendirian Syi’ah dan ASWJ terhadap al-Quran dan para Sahabat Baginda. Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (w.728H), “Ahlus Sunnah Wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan al-Rafidhah(Syi’ah), yang membenci dan mencerca para Sahabat. Mereka(ASWJ) juga berlepas diri daripada golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahli Al-Bait(keluarga Rasulullah) dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah Wa al-Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri perihal pertelingkahan yang berlaku antara para Sahabat. Mereka(ASWJ) mengatakan, kisah-kisah yang direkodkan perihal keburukan para Sahabat, antaranya adalah dusta, ataupun sengaja ditokok tambah, ataupun dikurangkan, ataupun diubah daripada ceritanya yang asal”(Ibn Taimiyyah, al-‘Aqidah at-Wasatiyyah, hal.201)

Syi’ah dan Malaysia
                Walaupun dimalaysia ‘aqidah syi’ah seperti yang disebutkan diatas dijauhi oleh umat Islam dan masih dalam keadaan selamat, namun disana terdapat amalan-amalan Syi’ah yang diamalkan oleh kuam muslimin di Malaysia yang mendakwa berpegang dengan ‘aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah itu. Hal ini bagi saya amat merbahaya kerana, disebalik setiap amalan Syi’ah itu sebenarnya tersembunyi keyakinan-keyakinan yang tidak berasas lagi menyanggahi ‘aqidah ASWJ bahkan ia sangat memberi kesan dalam mengamati Sunnah Rasulullah SAW. Salah satu ‘amalan syi’ah yang amat popular dan telah lama dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia adalah membuat bubur ‘asyura pada bulan Muharram. Walaupun ada sebahagian pihak cuba mengaitkan amalan itu dengan beberapa riwayat hadith seperti kisah Nabi Nuh AS, ternyata ia sia-sia kerana hadith-hadith bekenaan itu tiada satupun yang terlepas daripada kritikan dan kecacatan. Jika dilihat pula didalam buku-buku para ilmuan mujtahid tidak juga terkandung akan sunnah mengadakan bubur ‘asyura pada bulan muharram. Maka daripada manakah datangnya hal ini? 

                Guru kami Ust. Halim Hasan pernah menuntut di ‘Iraq satu ketika dahulu lalu menceritakan kepada kami keadaan golongan Syi’ah disitu ketika datangnya bulan Muharram. Tidak asing lagi bagi mereka untuk melakukan bubur ‘asyura pada bulan Muharram dengan keyakinan bahawa didalam bubur yang mereka masak itu dimasukkan satu jenis kacang yang tidak pernah dimakan oleh ‘Aisyah radhiallahu ‘anha sehingga menjadikan bubur itu suci dan  dimakan oleh mereka untuk menyucikan diri daripada kenajisan ‘Aisyah. Bahkan didalam memorandum daripada Majlis Syi’ah Malaysia yang dihantar kepada Sultan Mizan, mereka mengakui bahawa itu adalah ‘amalan mereka. Apakah kita merasa senang mengikuti satu golongan yang mengingkari al-Quran dan mencerca para Sahabat?

                Tidak kurang juga unsur Syi’ah masuk melalui kisah Sirah Nabi SAW seperti dalam peristiwa isra’ dan mikraj, peristiwa hijrah ke Madinah, dan lain-lain lagi. Sehinggakan saya pernah terfikir, mengapa air minuman untuk menguatkan tenaga batin lelaki dinamakan Tongkat ‘Ali? Bagi perempuan pula kacip Fatimah?. Janganlah kita hanya menjadi penentang Syi’ah hanya kerana dewasa ini tergempar isu di Syria akan pembunuhan yang dilakukan oleh Syi’ah terhadap Sunni. Sebaliknya penentangan ini asasnya atas dasar keyakinan dan kepercayaan serta penyelewengan yang mereka lalukan semenjak dahulu lagi. Telah menentang golongan Syi’ah ini oleh para Imam ASWJ zaman berzaman demi ‘aqidah yang sejahtera menurut al-Quran dan as-Sunnah dengan kefahaman para Sahabat radhiallahu ‘anhum. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada segala bentuk fitnah dan berada diatas jalanNya. Hanya Allah SWT Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata.

No comments:

Post a Comment