Thursday, 7 November 2013

Sebuah Coretan di Negeri Serambi Mekah

ABU FAROOQ NIK MOHAMAD SYAZRIN

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, saat ini saya berada di Negeri Kelantan Darul Naim atau negeri yang diberi julukan sebagai negeri "Serambi Mekah". Sebenarnya saya merupakan anak kelahiran negeri ini. Namun telah lama saya meninggalkan negeri ini sejak kecil lagi saya tinggal di Alor Setar,Kedah bersama keluarga sebelah ibu. Namun pada saya negeri ini tidak asing bagi saya kerana saya juga memiliki saudara-mara disini dan beberapa kali datang negeri ini untuk menziarahi mereka. Pada saya, negeri Kelantan adalah negeri yang paling menonjol usaha islamisasinya. Tidak dinafikan negeri ini memiliki beberapa kekurangan atau kelemahan jika dilihat daripada beberapa sudut. Namun usaha islamisasi di negeri ini yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri Kelantan dan sokongan daripada rakyat, khususnya yang beragama Islam satu perkara positif yang tidak boleh dinafikan lagi.

Kita hanya mampu merancang

Ada dalam kalangan rakan-rakan saya bertanya kepada saya tentang hasrat saya untuk berangkat ke Mesir iaitu sepertimana yang saya rancangkan pada bulan Ogos yang lalu. Dalam perancangan saya itu sepatutnya pada 16 September 2013 saya akan berangkat ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam pengajian Islam. Namun rancangan saya itu terpaksa dibatalkan atas beberapa faktor. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam menghadapi "kegagalan" untuk mencapai matlamat saya seperti yang dirancang walaupun acap kali terlintas dihati ini untuk berbuat demikian, kerana hakikatnya kita hanya mampu merancang, sebaliknya Allah SWT yang menentukan segalanya. Hal ini mengingatkan saya pada potongan firman Allah SWT,

(mafhumnya)"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah jualah Yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya."~al-Baqarah,216

Walaupun ayat ini turun bekenaan peperangan, namun keumuman maksud ayat ini tetap boleh di sabitkan pada setiap ketentetuan Allah SWT, bahawa boleh jadi apa yang ditetapkan oleh Allah SWT itu amat terasa tidak senang pada insan, namun ia untuk kebaikan insan jua kerana Allah SWT Maha Mengetahui keperluan bagi insan cintaanNya.

Darul Hadith an-Nabawiy,Kelantan

Dalam pada saya kebingungan mencari tempat pengajian yang dapat saya elak daripada faktor-faktor penghalang yang ada, (Alhamdulillah) Allah SWT temukan saya dengan  Ma'ahad Darul Hadith an-Nabawiy, Kota Bharu,Kelantan. Maka kaki ini mengorak langkah dari utara ke pantai timur demi mencapai hasrat saya untuk menceburi dalam bidang pengajian Islam secara khusus. Walaupun ada dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan saya bertanya mengapa saya tidak terus melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda sahaja dalam bidang kejuruteraan yang merupakan bidang khusus saya diperingkat diploma? Suka saya jawap soalan ini cukup dengan dua hadith Nabi SAW ini;

 "sesiapa yang Allah ingin kebaikan padanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama"(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"sesiapa yang menempuh suatu jalan dalam rangka menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan ke syurga"(Riwayat Muslim)

Maka, mudah-mudahan disini saya dapat mengamalkan sekurang-kurangnya dua hadith diatas yang merupakan jawapan kepada persoalan itu.


kami bersama guru kami Ust Wan Qomaruzzaman di Darul Hadith an-Nabawiy masak untuk hidangan makan tengah hari.

Selain daripada mempelajari ilmu alat, tafsir al-Quran, dan syarah Hadith, kami disini diajar untuk berdikari, bekerjasama, dsb. dalam rangka untuk mematangkan fikiran dan menambah lagi ilmu-ilmu lain selain ilmu agama. Bagi saya, sistem belajar secara talaqqi yang dipraktikkan disini amat memberi kesan positif dalam setiap sudut samada dalam penerimaan ilmu oleh pelajar daripada guru mahupun hubungan mesra antara guru dengan murid. Hal ini amat berbeza dengan sistem yang digunakan di universiti ketika saya di universiti dahulu kemesraan antara guru dengan murid tidak seperti disini.


hidangan (Nasi Palau Afghani) yang telah siap. Makan bertalam sesama pelajar menjadi cara makan yang utama disini. Sungguh mengeratkan hubungan antara kami.

Allah SWT beri ganti, yakinlah
menurut guru saya Dr.Mohd 'Asri hafizahullah, tidak semua perkara yang Allah SWT redha itu Dia izin dan tidak semua perkara yang Allah SWT izin itu Dia redha. Sebagaimana diketahui bahawa pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji/umrah adalah perkara yang diredhai oleh Allah SWT, namun jika Allah SWT tidak izinkan masih tidak berpeluang untuk melaksanakannya. Demikian juga dengan maksiat bahawa Allah SWT sama sekali tidak redha, namun perlu diketahui tanpa izinNya maksiat tidak akan berlaku. Setiap sesuatu yang berlaku itu disebaliknya terkandung hikmah yang kadangkala tidak mampu untuk insan mengetahuinya.

كلمتان حبيبتان إلى الرحمن، خفيفتان على اللسان: سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم


No comments:

Post a Comment