Sunday, 2 February 2014

Insan dan Sistem Masa



ABU FAROOQ NIK MOHAMAD SYAZRIN

Hari demi hari, masa silih berganti. Setiap insan tidak dapat tidak perlu mengharungi masa ini dalam apa jua keadaan sekalipun tanpa boleh menyekat masa daripada berjalan dan terus berjalan. Sistem masa itu sendiri adalah makhluk Allah SWT yang sangat ajaib. Allah SWT bersumpah dengan makhluk ciptaanNya ini iaitu “masa” dalam surah al-‘asr,

“Demi masa. Sesungguhnya insan itu benar-benar dalam kerugian.”~al-‘Asr,1-2

Demikian juga Allah SWT bersumpah dengan waktu dhuha,

“Demi (waktu) dhuha. Dan demi malam apabila telah sunyi”~al-Dhuha,1-2

Terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang lain yang berbicara mengenai masa. Sungguh “Masa” makhluk yang sangat ajaib, sehingga dikaji oleh orang-orang yang berfikir dalam kalangan muslim atau non-muslim. Sebagaimana karya Stephen Hawking dengan tajuk “A Brief History of Time” membicara tentang sistem masa.

Hari Kiamat

Jika kita dapat lihat hari kiamat pada sudut lain, sebenarnya hari kiamat juga berbicara tentang masa/waktu. Iaitu satu masa atau waktu yang telah Allah SWT tetapkan yang hanya pengetahuannya ada disisi Allah SWT.  Sabda Nabi SAW,

بعثت أنا والساعة كهاتين
“(waktu) dantara aku diutuskan dengan as-saa’ah(kiamat) seperti dua ini (iaitu jari telunjuk dan jari tengah)”(Riwayat al-Bukhari)

Hadith ini membawa maksud betapa singkatnya waktu yang berbaki sejak Nabi Muhammad SAW diutuskan sehingga terjadinya kiamat. Jika ketika hayat Baginda SAW sudah sedemikian rupa permisalannya, maka apatah lagi sekarang ini yang mana telah beberapa kurun berlalu setelah kewafatan Baginda SAW.




Insan berubah

Dalam sistem masa ini juga seorang insan berubah daripada satu keadaan kepada keadaan lain, daripada satu keputusan kepada keputusan yang lain, daripada satu watak kepada watak yang lain. Oleh itu sering didengari percakapan dalam kalangan orang ramai, “si fulan dahulu lain, sekarang sudah burabah”, atau “si fulan dahulu miskin, sekarang kaya”. Lihatlah betapa masa itu mengambil tempat disetiap gerak geri insan, samada secara sedar ataupun tidak sedar.

Guru saya Dr. Mohd Asri hafizahullah menulis artikel yang menarik bertajuk “Jika Mahu Insan Boleh Berubah..” pada awal artikel itu beliau membawakan kisah yang beliau pernah sebut didalam kuliah iaitu kisah salah seorang perawi thiqah(terpercaya) didalam Muwatta’ Imam Malik, Abdullah bin Maslamah bin Qa’nab al-Harithi atau dikenali sebagai al-Qa’nabi (221H). Kisah yang sangat menarik untuk diambil sebagai sumber motivasi, iaitu dengan berlakunya satu peristiwa terhadapnya, al-Qa’nabi menjadi “totally changed” kepada satu watak yang unggul tercatat namanya didalam Mutawatta’ karya al-Imam Malik rahimahullah.

Nilai Masa Disisi Ulama’

Al-Syeikh al-Muhaddith Abdul Fattah Abu Ghuddah pernah menulis kitab berjudul Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama’(Nilai Masa Disisi Ulama’). Pada permulaan tulisannya beliau memulakan dengan pembahagian nikmat iaitu Usul al-Ni’am(nikmat asas) dan Furu’ al-Ni’am(nikmat sampingan). Beliau memberi contoh dibawah setiap pembahagian itu, dan diantara nikmat asas itu adalah nikmat Iman, nikmat sihat, nikmat ilmu, dan termasuk didalamnya juga adalah nikmat masa. Alasan utama beliau meletakkan “masa” termasuk didalam nikmat asas atau diantara nikmat yang besar adalah, kata beliau :

فالزمن هو عمر الحياه،  وميدان وجود الإنسان.. وجاءت آيات كثيرة ترشد إلى قيمة الزمن، ورفيع قدره وكبير أثره.
“..kerana masa adalah usia kehidupan, dataran wujudnya manusia.. dan telah datang banyak ayat-ayat (al-Quran) menunjukkan nilai masa, dan (masa) sempit kadarnya dan besar kesannya.”( Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama’, Abdul Fattah Abu Ghuddah, hal.17)

Antara ayat yang beliau bawakan adalah firman Allah SWT (mafhumnya),

“dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya adalah malam, siang, matahari, dan bulan, janganlah kamu semua sujud kepada matahari dan bulan, dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannya sekiranya kepadaNya sahaja kamu sembah.”~al-Fusilat,37

Sekiranya masa itu amat penting bagi seorang usahawan, doktor, jurutera, peniaga, pemerintah negara, maka apatah lagi masa itu teramat penting bagi seorang penuntut ilmu dan ulama’.



Al-Imam an-Nawawi Rahimahullah

Al-Imam an-Nawawi rahimahullah (676H) seorang ulama’ yang tidak asing lagi bagi ummat Islam masa ini. Karya beliau yang banyak tersebar diseluruh dunia samada diperingkat tinggi, sederhana, mahupun rendah semuanya mengambil manfaat daripada karya tulis beliau. Beliau antara ulama yang tersenarai sebagai ulama yang meninggal dunia pada usia muda, iaitu sekitar umur beliau 40-an. Pun begitu, karya beliau sangat banyak seperti Riyadhus Soliheen, Hadith al-Arba’in, al-Majmu’ Syarah Muhazzab, Syarah Sahih Muslim, al-Taqrib, dll. Jika ingin disesuaikan karya-karya beliau dengan kadar waktu beliau hidup tidaklah dapat dipastikan berapa jam beliau ambil masa untuk tidur, belajar, urus diri, menulis, mencari rezeki, dan sebagainya.

Namun sedarlah kita bahawa al-Imam an-Nawawi rahimahullah bukan sahaja hebat dalam ilmu Islam, bahkan hebat dalam mengurus masa sehingga dikurniakan olehNya keberkatan masa.

Sebelum saya akhiri tulisan ini, suka saya nakalkan ucapan al-Imam al-Hasan al-Basri rahimahullah,

الإنسان بضعة أيام ، كلما انقضى يوم ، انقضى بضع منه
“Insan itu (seperti) bilangan-bilangan hari, apabila telah lalu sehari, telah lalulah sebahagian daripadanya.”


No comments:

Post a Comment