Wednesday, 19 February 2014

Insan dan Doa

ABU FAROOQ NIK MOHD SYAZRIN

Boleh dikatakan semua muslim dan muslimat pernah mendengar kalimah “Doa”. Namun disana tidak kurang juga masih ada yang tidak memahami hakikat “doa”.  Jika kita lihat keadaan hari ini, dengan kehadiran pelbagai kelompok atau golongan agama yang mana masing-masing diantara mereka mendakwa merekalah berada dipihak yang benar. Mereka juga telah membawa pelbagai cara fikir agama, berlainan antara satu dengan yang lain. Termasuk dalam perkara yang dibawa oleh mereka adalah cara berdoa dengan lafaz-lafaznya yang mana masih boleh dipastikan samada lafaz-lafaz mereka itu bebas daripada kesalahan atau menepati prinsip agama ataupun tidak.

Sememangnya perselisihan ummat ini telah disebut-sebut oleh Baginda Nabi SAW akan datang menimpa ummatnya akhir zaman. Sebagaimana sabda Nabi SAW,

فإنه من يعش منكم فسيرى اختلفا كثيرا، فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين
“..sesungguhnya sesiapa yang masih hidup (selepasku), akan menyaksikan perselisihan yang banyak, wajib keatas kamu semua (berpegang) dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin yang mendapat pentunjuk..”(Riwayat al-Tirmidzi, beliau berkata hadith ini Hasan Sahih)





Hakikat Doa.

Apakah doa itu sebenarnya? Dalam bahasa ‘arab perkata Da’aa(دعا) adalah kata kerja lampau membawa maksud seru atau panggil dengan satu seruan atau panggilan. Daripada situlah terhasilnya kata terbitan Du’aa’an (دعاء) yang bermaksud seruan atau panggilan. Di sudut istilah pula dapat difahami bahawa Doa adalah satu ibadah yang mana seorang hamba menyeru, memanggil, memohon, dan meminta kepada Allah SWT pertolongan, perlindungan, rahmat, dsb. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT,

Mafhum : “dan Rabbmu berfirman: berdoalah kepadaKu nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada ibadah kepadaKu akan masuk (neraka) jahannam dalam keadaan hina”~al-Ghafir,60

Al-Imam al-Tirmidzi rahimahullah didalam kitabnya al-Jami’ al-Tirmidzi membuka bab didalam Kitab al-Tafsir iaitu bab Surah al-Baqarah. Didalamnya al-Imam al-Tirmidzi membawa hadith Nabi SAW bekenaan tafsiran ayat diatas. Kata Baginda Nabi SAW,

الدعاء هو العبادة
“..doa itu adalah ‘ibadah.”(riwayat al-Tirmidzi dan selainnya. Kata al-Imam al-Tirmidzi : hadith ini Hasan Sahih)

Apabila doa itu salah satu ibadah daripada ibadah-ibadah yang lain, maka disana perlu menuruti disiplin atau syarat ibadah yang tidak boleh dilanggar. Yang pertama atau tunggak syarat bagi doa adalah mengikhlaskan niat hanya kepada Allah SWT. Saya kira syarat ini telah diketahui semua kerana dalilnya amat jelas dan banyak terdapat didalam al-Kitab dan as-Sunnah. Orang yang berdoa juga perlu memenuhi syarat seperti yang disebut oleh al-Syeikh Khalid bin Sulaiman al-Rib’ie didalam tulisannya,

حضور القلب، والخشوع والرعبة فيما عند الله من الثوب والرهبة مما عنده من العقاب قال (الله) –تعالى- "..إنهم كانوا يسارعون في الخيرات ويدعوننا رغبا ورهبا، وكانوا لنا خاشعين"{سورة الأنبياء:٩٠}.

(iaitu mestilah) menghadirkan jantung hati, khusyu’, gembira pada apa yang ada disisi Allah daripada ganjaran-ganjaran pahala, (rasa) gerun lagi takut pada apa yang ada disisiNya daripada azab-azab (sebagaimana) Dia(Allah Ta’ala) berfirman (mafhumnya) “..sesungguhnya mereka adalah  berlumba-lumba dalam (mengerjakan) kebaikan dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan harap dan dalam keadaan gerun lagi takut. Maka mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.”~al-Anbiya’,90.(Min ‘Ajaaib al-Du’a, Khalid bin Sulaiman al-Rib’ie, hal.9)

Saya lihat syarat yang disebutkan oleh al-Syeikh ini umumnya sudah tercabut dalam kalangan kaum muslimin hari ini. Kaum muslimin hari ini berdoa dalam keadaan jiwa yang kontang, mengharap habuan daripada manusia, lalai, dan kadangkala terpesong jauh daripada petunjuk Rasulullah SAW. Mengapa semua ini berlaku?

Disinilah suka untuk diingatkan bahawa hakikat doa yang baik itu bukanlah semata-mata terletak pada lafaz-lafaznya sahaja, iaitu lafaz-lafaz doa yang tsabit daripada Rasulullah SAW atau lafaz-lafaz yang sejahtera daripada noda syirik, bahkan insan dituntut agar menghinakan seluruh anggota badan, menghadirkan jantung hati sepenuhnya, berdoa kepadaNya dengan penuh kefahaman daripada jantung hati yang bersih daripada buruk sangka terhadap Allah, memohon kepadanya dengan penuh harapan. Jika kita lihat doa para Rasul, kadangkala doa mereka ringkas, namun mereka berdoa dengan penuh keyakinan dan pengharapan kepadaNya sehingga doa menjadi mustajab. Maka biarlah berdoa dengan bahasa Melayu atau bahasa-bahasa selain arab sekalipun, jika insan benar-benar berdoa dengan penuh keyakinan dan pengharapan, sungguh Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar rintihan insan.

Firman Allah SWT,

Mafhumnya : “dan apabila hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentangKu (katakanlah) sesungguhnya Aku hampir. Aku mustajabkan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu..”~al-Baqarah,186

Mengapa Insan perlu berdoa?

Sebab yang utama bagi persoalan ini adalah kerana perintah daripada Allah SWT Pencipta yang sempurna. Sebagaimana firman Allah SWT,

Mafhum : “dan hanya milik Allah itu nama-nama yang indah, berdoalah kepadaNya dengan nama-namaNya itu..”~al-A’raaf,180

Selain itu, doa juga amalan para Nabi dan RasulNya. Maka hal ini telah diketahui bahawa ia sunnah yang disyari’atkan. Mungkin juga tidak perlu lagi saya mengemukakan dalilnya kerana hal ini telah diketahui umum. Cumanya antara sebab lain insan perlu berdoa pada Rabbul Jaleel adalah kerana insan itu faqir terhadap Allah SAW. Firman Allah SWT,

Mafhum : "Wahai insan, kamulah yang faqir kepada Allah, Dan Allah, Dia lah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji."~al-Fatir,15

Hakikat insan amatlah faqir terhadap Allah SWT, sedang Allah SWT Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Menurut guru kami al-Fadhil Ustaz Halim Hasan bekenaan ayat ini, bahawa mengapa Allah SWT menggabungkan antara sifat Maha Kaya dengan sifat Maha Terpuji? Kerana Allah SWT itu kekayaanNya ketika Dia memberi, sedikitpun tidak terjejas disisiNya walau sedikit. Sangatlah faqir insan, kerana walau sekaya manapun insan didunia, apabila dia memberi maka ketika itu hartanya menjadi kurang dan berkurang. Maka insan perlu memohon pada Allah SWT pemilik segala kekayaan.

Doa sangat ajaib.

Jika kita lihat pada peringkat awal dakwah Rasulullah SAW, Baginda ditindas, sahabat-sahabat Baginda yang sedikit jumlahnya juga ditindas oleh musyrikin. Selain daripada mereka memiliki Iman yang sempurna terhadap janji-janji Allah SWT, apakah yang membuatkan mereka terus kuat menghadapi keperitan ditindas oleh orang-orang kafir? Itulah “Doa”!. Maka kita lihat al-Quran sering merakamkan kisah-kisah para Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW bersama-samanya juga Allah SWT membawakan doa mereka dalam menghadapi mehnah dakwah. Nabi Yunus AS ketika ditelan oleh ikan besar, setelah beliau merasakan dirinya tidak berdaya menghadapi kaumnya, Baginda berdoa memunajat pada Allah,

“..maka dia(Yunus) pun menyeru(berdoa) dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dalam kalangan orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”~al-Anbiya’,87

Lalu Nabi Yunus AS diselamatkan oleh Allah SWT. Antara doa para Nabi lain yang boleh kita lihat didalam al-Quran adalah doa Nabi Adam AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Isa AS, dll.

Doa sangat ajaib, berapa ramai orang yang resah-gelisah, menemui ketenangan apabila duduk berdoa/merintih kepada Allah. Berapa ramai orang yang sedih, dukacita, sepi, menemui keceriaan setelah berdoa kepadaNya. Berapa ramai yang patah semangat, menemui semangat baru apabila mengadu pada Rabnya. Berapa ramai pula orang yang rasa hilang arah, menemui jalan keluar dari jalan yang tidak disangka setelah berdoa kepada Allah. Semua ini membukti betapa berdoa/merintih kepada Allah SWT mampu merobah keadaan dengan izinNya.


Burulah kemustajaban doa.

Dalam berdoa kepada Allah SWT, disana terdapat waktu-waktu yang khusus dimana doa menjadi mustajab. Antaranya ketika akhir malam. Sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Mafhum : “Rabb kita (iaitu Allah) turun pada setiap malam ke langit dunia pada satu per-tiga akhir malam lalu berfirman, “sesiapa yang memohon kepadaKu maka Aku mustajabkan baginya, sesiapa yang meminta padaKu maka aku  berikan padanya, sesiapa yang memohon ampun kepadaKu maka Aku ampuninya””(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lihatlah betapa Maha Bijaksana Allah SWT menjadikan antara waktu mustajabnya doa adalah ketika dikepekatan malam, waktunya yang hening lagi sepi, insan apabila bangun dikeheningan malam dengan hati yang ikhlas seorang diri berdoa dan memunajat pada Allah SWT dalam keadaan suasana yang amat tenang. Didalam riwayat Muslim pula Rasulullah SAW bersabda,

Mafhum : “jarak paling hampir seorang hamba pada Rabnya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa”(Riwayat Muslim)

Maka insan bangun dikeheningan malam, dirikan solat, lalu perbanyakkanlah doa didalam setiap sujud, rintihlah apa saja yang ingin dirintihkan didalam sujud, sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mendengar rintihan hambaNya dan Maha Luas kurnaanNya.

No comments:

Post a Comment